Pengikut

Sabtu, November 20, 2010

MANIPULASI sejarah untuk jaga kepentingan

SEJARAH, suatu peristiwa yang telah berlaku.  Dalam al Quran pun banyak cerita sejarah zaman-zaman sebelum Nabi Muhammad s.a.w.  Semua cerita mengenai nabi yang ada dalam kitab Allah itu adalah peristiwa sejarah.  Tidak diragukan lagi bahawa Allah memaparkan sejarah nabi-nabi dan manusia zaman dahulu sebagai peringatan untuk manusia zaman nabi dan kita pada akhir zaman.

Orang zaman sekarang pun akan mengenang sejarah, tetapi jika ada kepentingannya.  Namun jika persitiwa sejarah itu berguna untuk kepentingannya, selalunya berlaku eksploitasi dan tafsiran yang berat sebelah untuk menyokong kepentingannya.


Perhatikan bagaimana Peristiwa Majlis Tahkim (tahun 37 Hijrah) yang dikatakan sebagai majlis pemutus pertikaian antara Khalifah Ali bin Abi Talib dengan Gabenor Syam, Muawiyah bin Abu Sufyan.  Kepada puak Syiah Ali, dilakukan tokok tambah dan tafsiran yang memburukkan peribadi Muawiyah dan sebagiannya diterimapakai oleh generasi muslim hari ini.

Kemudian peristiwa di Karbala yang menimpa cucu Rasulullah, iaitu Hussein bin Ali.  Memang telah berlaku penyerangan terhadap cucu Rasulullah dan baginda terbunuh, dan puak Syiah telah menggunakan peristiwa sejarah ini dengan sebaik-baiknya untuk menggambarkan kezaliman khalifah Yazid bin Muawiyah.  Tidak lain, bermula dengan penyelewengan fakta, tokok tambah dan tafsiran yang memang memihak kepada puak Syiah.

Di negara kita, Peristiwa 13 Mei yang merakamkan rusuhan kaum dan mengorbankan banyak jiwa berlaku akibat semangat perkauman dan kemenangan parti pembangkang (perkauman Cina) dalam pilihan raya tahun 1969.  Pihak yang terancam dengan kekalahan politik akan menggunakan peristiwa ini sebagai ancaman jika para pengundi memilih parti pembangkang dalam pilihan raya. 

Di pihak Pas, peristiwa Memali yang berlaku pada November 1985 memang dirasakan satu kezaliman terhadap ahli-ahlinya.  Dengan terbunuhnya 14 jiwa, maka setiap penceramah Pas pasti akan menggambarkan yang pihak polis telah melakukan kezaliman terhadap ahli-ahli Pas.  Eksploitasi dan manipulasi peristiwa Memali pasti berlaku untuk membakar semangat membenci politik Umno yang memerintah.  Ini sama sahaja dengan eksploitasi peristiwa karbala untuk melahirkan kebencian muslim kepada kerajaan Umayyah.  Selagi politik Umno dan Pas masih bermusuhan, peristiwa Memali akan terus dijadikan wirid politik Pas.

Apabila dalam Perhimpunan Agung umno tahun 2010 diputuskan bahawa pelajaran Sejarah akan diwajibkan lulus untuk calon SPM pada masa akan datang, pasti ada muslihat politiknya.  Bukan sahaja hal ini diumumkan dalam perhimpunan politik, malah jelas ada kepentingan politik parti untuk mata pelajaran sejarah.  Bolehkah tafsiran peristiwa sejarah bebas negara bebas daripada membawa kepentingan parti politik Melayu itu?

Saya kasihan kepada anak-anak muda yang gagal memahami eksploitasi peristiwa sejarah yang dijuruskan kepada kepentingan sesuatu pihak.  Bagaimana agaknya mereka diasuh berfikir sebelum ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan