Pengikut

Sabtu, November 07, 2009

DR Abdul Shukor Husin: Ahli Sunnah Wal Jamaah


Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin di dalam kertas kerja beliau berjudul ‘Ahli Sunnah Wal-jamaah, Pemahaman Semula’ menyebut:

“Berdasarkan pegangan dan penghayatan masyarakat Islam Malaysia, budaya ilmu dan pengajian serta kekuatan undang-undang penguatkuasaan yang tersurat dan tersirat, ternyata meluas dan kukuhnya pengaruh aliran Ahli Sunah khususnya Asyairah dan Maturidiah dalam masyarakat Islam di Malaysia. Tidak keterlaluan jika kita rumuskan bahawa masyarakat Islam Malaysia khususnya orang awam dalam aspek akidah, fahaman aliran Asyairah adalah sinonim dengan Ahli Sunah. Sementara aliran lain seperti Salaf - Ibnu Taimiah dan Wahabiah tidak begitu dikenali atau tidak dianggap sebahagian daripada aliran Ahli Sunah. Oleh itu apabila aliran ini dibincang dan diketengahkan ke dalam masyarakat walaupun untuk tujuan ilmiah, masyarakat Islam terasa ganjil dan resah kerana terdapat kelainan dengan apa yang mereka fahami dan hayati”.

“Fahaman dan pegangan masyarakat Islam kepada aliran Asyairah dan Maturidiah sebagai Ahli Sunah Waljamaah adalah benar dan secara tidak langsung memberikan sumbangan yang membina kepada kesatuan akidah dan rohani masyarakat Islam. Ini kerana fahaman Asyairah dan Maturidiah pada hakikatnya adalah sebahagian daripada Ahli Sunah Waljamaah tetapi fahaman tradisi ini tidak dapat memberikan kefahaman yang tepat dan menyeluruh tentang Ahli Sunah Waljamaah. Fahaman ini juga tidak mampu merentasi generasi Islam yang berada di abad awal Islam yang dikenali sebagai Ahli Salaf atau generasi sebelum Abu Hasan Asyaari dan Abu Mansur Maturidi.

"Berdasarkan pegangan dan fahaman tradisi masyarakat Islam maka Ahli Salaf dan generasi berikutnya tidak tergolong dalam Ahli Sunah Waljamaah. Oleh itu pemahaman tradisi ini harus dinilai kembali berasaskan pendekatan yang patut ditonjolkan bagi memahami aliran Ahli Sunah yang sebenar dengan lebih terbuka supaya fahaman yang sangat terbatas dan keresahan rohani serta perbezaan pendapat dapat dikurangkan.


"Ahli Salaf dari perspektif metodologi ini tidak berakhir pada generasi pertama Islam. Malahan ia berterusan dan diperjuangkan oleh ulama yang ikhlas seperti Imam Malik bin Anas (w. 179H), Imam Ahmad bin Hanbal (w. 241H) dan pengikut-pengikut mereka. Pada awal abad ke-7 Hijrah lahir Imam Ahmad bin Abdul Halim (Ibnu Taimiah) dan Ibnu Qayyim Jawziyyah (w. 751H). Beliau adalah seorang murid setia kepada Ibnu Taimiah. Kemudian pada abad ke-12 Hijrah lahir pula di Semenanjung Tanah Arab seorang tokoh bernama Muhammad bin Abdul Wahab yang mengasas aliran Wahabiah. Walaupun kehadiran dan peranan tokoh-tokoh di atas berbeza dari sudut dan situasi persekitaran, namun faktor itu membuatkan mereka sentiasa mendahulukan petunjuk Quran dan Sunnah. Mereka tidak menerima pendekatan lain atau pandangan dari mana-mana sumber sebelum mereka menyelaraskannya dengan Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan