Pengikut

Isnin, November 23, 2009

APA salahnya tauhid rububiyah?


TERBARU Syeikh Uthman el-Muhammady (UeM) menyerang tauhid rububiyah mengaitkan dengan wahabi.  Saya tak tahu apa maksud wahabi berdasarkan kehendak UeM. Namun beliau mengulas tauhid rububiyah sebagai tidak tentu hala, saya jadi resah. Bentuk tauhid rububiyah ini dipelajari dengan baik oleh murid-murid sekolah, tetapi UeM menyerangnya.  Murid-murid akan keliru.  Orang awam yang tidak menelususi perbedaan manhaj juga terpinga-pinga membaca persepsi UeM.

Antara tulisan Syeikh Uthman dalam Berita Minggu 22 November 2009, “Hujahnya ialah penyembah berhala itu bertauhid dengan tauhid rububiah iaitu mengakui Tuhan menjadikan alam, memberi rezeki, berkuasa dan lainnya. Dia menyembah berhala itu sebagai perantara untuk berdampingan dengan Tuhan. Kata mereka, ini sama dengan orang yang mengucap 'Lailahaillallah' pergi berdoa di kubur nabi atau kubur orang soleh untuk mendapat berkat sebagai perantara dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu hajat. Kata pengasas golongan Wahabi, ia seperti penyembah berhala yang menyembah berhala, yang ini menyembah kubur, lalu dipanggil kuburriyun, penyembah kubur. Istilah ini hanya ada pada golongan Wahabi saja, tidak ada pada golongan lain.”



Ayat-ayat al-Quran dijadikan sandaran untuk memahami tauhid rububiyah.  Memang semua manusia percaya bahawa Allah itu sebagai Tuhan.  Allah telah menjadikan salah satu fitrah manusia ialah mencari dan menerima kuasa Tuhan.  Allah telah menjelaskan perkara ini dalam surah al-A’raf ayat 172, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam daripada sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman) ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’  Mereka menjawab, ‘Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi’.  (Kami lakukan demikian itu) agar pada hari kiamat kamu tidak mengatakan, ‘sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini’

Perhatikan semua manusia sejak zaman dulu lagi, bahawa fitrah atau kecenderungan mencari dan memahami adanya kuasa besar yang ghaib iaitu kuasa Tuhan.  Apa saja kepercayaan mereka mengenai Tuhan, ialah Tuhan mempunyai kuasa luar biasa dan sangat layak disembah.  Sesuai dengan ayat62 surah az-Zumar, “Allah menciptakan segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu.”

Adakah orang-orang bukan Islam seperti penyembah berhala percaya adanya Tuhan yang hebat? Jawabnya ada dalam al-Quran ayat 84-89, surah al-Mukminun, ““Katakanlah: "Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya, jika kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah." Katakanlah: "Maka apakah kamu tidak ingat?" Katakanlah: "Siapakah yang di tangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari (azab) -Nya, jika kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah." Katakanlah: "(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kamu ditipu?"

Saya belum terjumpa lagi atau diberitahu oleh para ustaz bahawa para sahabat pada zaman Rasulullah atau selepas wafatnya baginda,  mereka akan ke kubur para nabi atau orang-orang yang salih untuk berdoa dengan menyeru roh para nabi itu.  Adakah sahabat pergi ke kubur sayyidina Hamzah yang syahid di Uhud dan menyeru rohnya untuk diperkenankan permohonannya kepada Allah?  Kalau tidak ada, tidak ada sebab umat Islam hendak menyeru roh orang mati disamping menyampaikan hajat kepada Allah.

Saya turunkan tulisan Sdr Mohd Yaakub b Mohd Yunus mengenai tindakan Khalifah Umar al Khattab mengenai bertawasul dengan arwah nabi, para wali atau orang saleh.

“Pada zaman‘Umar r.a. tentera Islam telah berjaya menawan kubu Tustar. Ibnu Ishaq di dalam kitabnya al-Maghazi telah meriwayatkan bahawa tentera Islam telah menemui sekujur mayat yang tidak reput di atas sebuah katil di dalam Balai Perbendaharaan al-Hurmuzan. Di atas kepala mayat tersebut terdapat sebuah kitab lalu ia diserahkan kepada ‘Umar. ‘Umar kemudian mengarahkan Ka’ab r.a untuk menterjemahkan kandungan kitab tersebut. Ternyata kitab tersebut menceritkan kisah-kisah umat yang lampau serta kejadian yang bakal berlaku dan diyakini bahawa mayat tersebut merupakan mayat seorang Nabi Allah bernama Danial a.s..


“Sekiranya terjadi musim kemarau maka masyarakat setempat di situ akan membawa keluar katil dan mayat tersebut untuk dijadikan perantaraan dalam meminta hujan. Apakah arahan ‘Umar terhadap mayat tersebut? Adakah beliau menyuruh agar dibina kuburan berserta kubah yang besar agar mudah untuk masyarakat tersebut bertawassul dengan zat atau kehormatan Nabi Danial di sisi kuburnya?


“Ternyata hal itu tidak berlaku. ‘Umar mengarahkan untuk digali tiga belas liang lahad secara berselerakkan pada siang hari. Pada sebelah malamnya mereka menguburkan jasad Nabi Danial di dalam salah satu liang tersebut dan dikambus kesemuanya agar masyarakat di situ tidak dapat menjejak di mana kubur Nabi Danial. Ini merupakan bukti yang kukuh bahawa ‘Umar dan para sahabat tidak mengiktiraf amalan tawassul di kuburan para Nabi s.a.w. bahkan orang-orang soleh kerana Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengajar mereka tatacara doa sedemikian rupa.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan