Pengikut

Isnin, Februari 13, 2012

ORANG Islam sudah tidak minat belajar sains dan teknologi


TIBA-TIBA saya sekeluarga menjadi susah hendak membeli barang keperluan asas seperti minyak masak dan tepung. Anak saya mengingatkan jenama yang didakwa mengandungi bahan yang haram dimakan oleh muslim.  Dari satu pasar raya beralih ke kedai runcit biasa, tidak dapat mencari jenama yang tidak disyaki itu. 


Saya yakin jika setiap muslim hendak menjadi teliti mengelakkan bahan makanan yang bebas unsur daging haram (misalnya babi atau haiwan lain yang tidak disembelih mengikut cara Islam), bahan kimia dan pelbagai bahan pengawet yang didakwa membawa kesan sampingan, maka wajiblah kembali ke zaman Jepun (1942-45).  Pada zaman Jepun hampir semua barang makanan diproses sendiri daripada bahan mentah tempatan seperti ubi kayu, beras, keledek, pisang, tebu dan kelapa (sekadar menyatakan beberapa jenis bahan mentah).  Nenek atau moyang kita yang muslim tidak akan mencampurkan bahan yang haram atau yang bukan-bukan. Walaupun tidak ada cap ‘halal’, namun semua makanan produk hiliran waktu itu dimakan tanpa waswas.

Salah siapa jika hari ini hampir semua bahan makanan di pasaran diragui kesucian dan kehalalannya?

Sepatutnya, para pengeluar hukum mencermin dahulu pemikiran dan sikap mereka terhadap umah dan masalahnya.  Walaupun benar yang halal dan haram tetap hukum, namun adakah orang yang kerjanya memperincikan produk yang diragui suci dan halalnya telah bertahun-tahun berkempen kepada anak-anak atau remaja supaya menceburi pelajaran yang berasaskan sains dan pemakanan?  Jangan hanya tahu menyenaraikan produk yang wajib dihindari oleh umat Islam, tetapi tidak ada pemikiran langsung untuk mengubah paradigm muslim agar menghantar anak-anak muslim menjadi pengeluar makanan secara moden.

Awal tahun ini kerajaan telah mendedahkan kemerosotan 29 peratus pelajar yang mengambil aliran sains.  Sehingga hari ini tidak ada respon daripada orang yang mendakwa pejuang umah bahawa kemerosotan pelajar-pelajar di aliran sains merupakan ancaman kemunduran umah pada masa depan.  Semakin kecilnya kemampuan pelajar muslim dalam bidang sains bermakna umah pada masa depan semakin kuat bergantung kepada produk-produk Barat atau mereka yang berpemikiran Barat.

Kita kerap mendengar orang berceramah membanggakan keagungan tamadun Islam pada zaman lampau, dan terus menyalahkan umat Islam zaman sekarang kerana meninggalkan ajaran Islam. Sepatutnya dalam tempoh 30 tahun menyeru umah kembali kepada Islam, masalah produk makanan suci dan halal sudah selesai!

Apa tindakan kebanyakan orang berpendidikan agama selama ini? Saya minta maaf jika berselisih dengan mereka.  Saya ingat salah seorang pemimpin sebuah pertubuhan politik Islam yang berpengaruh (ketua di sebuah negeri) mencadangkan supaya setiap keluarga hendaklah menjadikan seorang daripada anak-anak mereka sebagai ahli agama supaya menjadi pejuang agama.  Maksudnya beliau mahu setiap keluarga muslim di negeri berkenaan akan melahirkan seorang ustaz atau ustazah.  Jika dalam satu-satu kawasan ada 500 keluarga, maka akan lahirlah 500 ahli agama.  Itu pemikiran beliau!

Begitulah pemimpin agama kita hanya melihat agama dari sudut pengenaan hukum halal dan haram, walhal umat Islam memerlukan kepakaran dalam sains dan teknologi dari sekecil-kecil perkara lagi.  Pemikiran mereka ternyata benar apabila pelajar muslim terbaik yang mendapat 17A dalam peperiksaan SPM dikecam dan menjadi isu besar kerana tidak bertudung.  Sekarang, pemikiran muslim kita lebih kepada soal bertudung dan ‘lupakan saja ahli sains dan teknologi yang tidak bertudung’.

Inilah akibat perpecahan masyarakat kita sehingga tidak pernah ada satu pertemuan antara parti-parti politik Islam, NGO-NGO Islam dan badan-badan Islam untuk memperincikan masalah semasa umah dan memutuskan tindakan bersepadu untuk kebaikan umah.  Mereka boleh membuat kongres dan merancang tindakan bersama untuk pembangunan umah.  Dengan ini mengurangkan kebocoran atau keciciran umah dalam mana-mana bidang khasnya sains dan teknologi.

Sabtu, Februari 11, 2012

APABILA tazkirah sebelum azan lebih dihormati berbanding Khutbah


KHUTBAH Jumaat wajib didengar oleh ahli Jumaat, tetapi mereka lebih memberi perhatian kepada tazkirah sebelum azan Jumaat. Penggubal dasar dan pengurusan masjid di jabatan-jabatan agama setiap negeri tahu, tetapi apa yang mereka lakukan.  Nak biarkan saja isi khutbah menjadikan orang lena dan membiarkan tazkirah yang menganggu orang beriktikaf di masjid?

Rabu, Februari 08, 2012

BUKU: 40 Hadis Palsu Popular


SEMUA muslim boleh mendakwa sebagai pencinta Nabi s.a.w.  kita semua akan berusaha mengikuti jalan hidup Nabi s.a.w. yang dikenali sebagai sunahnya. Sebagai pencinta Nabi s.a.w. juga pastilah sangat marah dan dukacita apabila ada pihak yang tidak bertanggung jawab mendakwa baginda Nabi s.a.w. telah berkata sekian-sekian sedangkan sebenarnya nabi s.a.w. tidak pun menyatakan demikian.  Inilah yang dinamakan Hadis Palsu atau Hadis Maudhu.


Sebagai perbandingan bolehkah seorang suami yang sangat sayang isterinya, juga sentiasa menerima pembohongan isterinya itu?  Tentu tidak! Suami pasti akan menyaring setiap perkataan isterinya, dan hanya menerima ucapan yang benar.

Seorang sarjana tempatan Abdul Razak Muthalib telah berjaya menyusun sebuah buku berjudul 40 Hadis Palsu Popular sebagai peringatan dan panduan kepada muslim supaya menghindari amalan berdasarkan hadis-hadis berkenaan. Hadis-hadis popular bermakna hadis yang kerap dibaca, ditulis dan digalakkan kepada orang ramai beramal dengannya.  Malangnya hadis-hadis itu adalah palsu! Antara hadis palsu yang popular ialah berkaitan kelebihan membaca surah Yasin, solat dengan berserban, perselisihan pendapat adalah rahmat, talak menggegar Arasy, menyapu muka selepas solat dan lain-lain lagi.

Pada bahagian awal, penulis telah menerangkan secara ringkas mengenai pembahagian hadis.  Hadis terbahagi kepada Hadis Sahih. Hadis Hasan, Hadis Dhaif (lemah) dan Hadis Maudhu (palsu).  Oleh kerana focus buku ini ialah mengenai Hadis Palsu, maka penulis telah mencatat pendapat sarjana mengenai hukum mengamalkan Hadis Palsu.  Kesimpulan catatan beliau ialah muslim dilarang menyatakan dan menggunakan Hadis Palsu kerana hadis-hadis berkenaan sebenarnya bukanlah daripada Nabi s.a.w. melainkan direka-reka atas nama baginda Nabi s.a.w.

Buku 40 Hadis Palsu Popular diterbitkan oleh PTS pada tahun 2011, dijual pada harga RM9.00.

Sabtu, Februari 04, 2012

APAKAH sebenarnya sunah nabi kita?


SAH tidak dapat disangkal, bulan Rabiul Awal merupakan bulan orang membicarakan hal Nabi Muhammad s.a.w.  Bulan inilah orang merayakan maulidurrasul.  Bagai tidak sempurna dalam kalendar tahunan sesebuah masjid atau surau jika tidak mengadakan majlis maulidurrasul, sekalipun acaranya sama seperti ceramah agama mingguan.  Tidak ada acara mengarak timbunan makanan seperti di Pulau Jawa atau membuat kuih khas dan sebagainya.  Hanya ceramah dan jamuan makan.

Dalam ceramah maulidurrasul itulah diterangkan sejarah nabi besar s.a.w., sekalipun sudah saban tahun dijelaskan. Kesungguhan mengetahui sejarah dan sunah nabi pada saban tahun sangat membanggakan.

Bagaimana membuktikan kita mencintai Rasulullah s.a.w. pada zaman ini?  Tidak ada jawaban lain kecuali menamalkan sunah baginda.  Di mana-mana pun itulah jawabannya.  Tidak kurang sudah diceramahkan mengenai nasib-nasib kita di akhirat kelak apabila mengabaikan sunah nabi di dunia ini.

Secara umum memang setiap muslim suka sunah nabi s.a.w. tetapi agak kurang menggembirakan apabila kebanyakan orang awam Islam tidak diperincikan apa yang dinamakan sunah nabi kita itu.  Kita hanya diberitahu kepentingan sunah dan fadilat-fadilat menjaga sunah nabi.  Satu lagi, kita sangat jarang dijelaskan apa yang berlawanan dengan sunah nabi.  Keadaan ini menyebabkan kefahaman orang Islam awam mengenai agama yang merujuk sunah nabi hanya umum.  Hal ini menyebabkan kuatnya pendapat bahawa apa saja yang dikaitkan dengan agama seperti ada bacaan doa, bacaan al-Quran dan selawat nabi semua dinamakan sunah nabi.

Maksud firman Allah dalam surah al-Ahzab:21 “Demi sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik untuk orang yang senantiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat dan dia banyak menyebut serta mengingati Allah (pada masa susah dan senang).”

Urusan hal sunah yang utama adalah bab ibadah khusus, maka sepatutnya selesaikan dahulu atau mantapkan pemahaman sunah dalam beribadah sebelum mengamalkan sunah dalam kehidupan sosial.  Cuba perhatikan contoh sebagian kita mengurus atau mengatur perjalanan solat Jumaat, setakat manakah sudah memenuhi sunah nabi.

Amalan di Masjid A: 
Pertama – Diadakan kuliah agama selama setengah jam sebelum masuk azan Zuhur (azan pertama)
Kedua – Muazin atau bilal melaungkan azan yang suaranya dipancarkan di pembesar suara menara masjid.
Ketiga – Kebanyakan jemaah menunaikan solat sunat qabliyah (sebelum) Solat Jumaat dua rakaat.
Keempat- Bilal memegang tongkat dan membacakan sepotong ayat al-Quran.
Kelima – Khatib mengambil tongkat dan menaiki mimbar, kemudian mengucapkan salam.
Keenam – Bilal melaungkan azan tanpa menggunakan pembesar suara di bahagian hadapan masjid.
Ketujuh – Khatib berkhutbah sebanyak dua kali.
Kelapan – Dilaksanakan solat Jumaat berjamaah dua rakaat.  Imam berdoa.

Amalan di masjid B.
Pertama - Muazin atau bilal melaungkan azan yang suaranya dipancarkan di pembesar suara menara masjid.
Kedua - Kebanyakan jemaah menunaikan solat sunat qabliyah (sebelum) Solat Jumaat dua rakaat.
Ketiga – memegang tongkat dan membacakan sepotong ayat al-Quran.
Keempat - Khatib mengambil tongkat dan menaiki mimbar, kemudian mengucapkan salam.
Kelima - Bilal melaungkan azan menggunakan pembesar suara di bahagian hadapan masjid tetapi suara azan hanya untuk dalam ruang dalam masjid, bukan dipancarkan dari menara.
Keempat – Sebelum duduk,  bilal membacakan hadis nabi yang memperingatkan para jamaah supaya diam apabila imam membaca khutbah.
Kelima - Khatib berkhutbah sebanyak dua kali.
Keenam - Dilaksanakan solat Jumaat berjamaah dua rakaat.  Imam berdoa.

Antara dua amalan di masjid berkenaan, tentu ada yang menepati sunah dan menyelisihi sunah.  Malangnya, itulah amalan bertahun-tahun, sehingga generasi demi generasi menganggap itulah amalan menunaikan solat Jumaat seperti sunah nabi.  Kita sangat takut hendak membincangkan mana yang sunah dan sebaliknya atas alasan mewujudkan perbedaan pendapat. Saya perpendapat, situasi di Masjid A dan Masjid B sudah jelas adanya perbedaan pendapat.  Tidak ada permusuhan antara kedua-dua masyarakat berkenaan.  Alangkah ruginya keinginan untuk mengamalkan sunah nabi tetapi para ahli agama kita takut untuk menjelaskan kebenaran sunah nabi s.a.w.

Selasa, Januari 31, 2012

12 tahun penjara, nilai cintamu!


SEORANG remaja perempuan berusia 19 tahun, jika meneruskan persekolahannya sedang berada di Tingkatan Enam Atas.  Jika sedang mengikuti mana-mana kursus di kolej, dia sedang berada di semester dua Tahun Pertama  pengajiannya.  Media melaporkan seorang perempuan 19 tahun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM5000.00 oleh sebuah Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor.


Dia didakwa mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 309B yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun  dan denda jika sabit kesalahannya.

Dia dituduh menyebabkan kematian bayi yang dilahirkannya dengan cara mencampakkan bayi itu dari tingkat dua rumahnya di Selayang Segar.  Oleh kerana dia telah mengaku bersalah, iaitu tidak melalui perbicaraan maka dia tidak membuat rayuan terhadap hukuman oleh Mahkamah Sesyen itu.  Lagi pula dia tidak diwakili mana-mana peguam.  Ini bererti dia hadir ke mahkamah dengan menyerahkan sepenuh nasibnya kepada keputusan hakim.

Cerita pembuangan bayi sudah menjadi kebiasaan sekalipun semua catatan berita itu amat menyedihkan dan mengundang amarah masyarakat.  Gadis malang itu juga adalah sebagian masyarakat yang sebelum mengandung (tentu) pernah berkali-kali mendengar atau membaca berita bayi dibuang di pelbagai tempat kerana kehadiran bayi itu membawa malu besar.  Saya pasti asalnya dia tidak menduga akan menjadi pelaku ‘tidak berperikemanusiaan’ itu, namun takdir menentukan dia salah seorang pelakunya.

Saya yakin dahulu semasa bersekolah, dia juga pernah mendengar penjelasan guru-guru mengenai kes pembuangan bayi.  Jika dijadikan tajuk karangan, kes pembuangan bayi boleh dilihat daripada pelbagai aspek seperti sebab-sebab dan kesan kejadian.  Tentu dia juga pernah tahu melalui pendengaran dan perbincangan sumbang-saran sesama rakan di kelas, antara punca pembuangan bayi itu ialah mengandung tanpa nikah.  Tentu saja dia mengetahui bahawa mengandung tanpa nikah itu boleh terjadi melalui persetubuhan haram (zina) dengan kekasih atau menjadi mangsa rogol.

Jika dahulu semasa bersekolah dia bertanya guru mengenai tindakan yang patut dilakukan sekiranya menjadi mangsa rogol, jawabannya ialah melaporkan kepada polis supaya si pengganas itu boleh dihukum penjara  dan denda.  Perogol boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan 24 kali sebatan!  Namun saya agak, jarang sekali pelajar perempuan yang bertanya mengenai cara yang patut dilakukan sekiranya hamil hasil perzinaan.  Oleh itu, cara mengatasi masalah hamil di luar nikah, dia mendapati melalui laporan media iaitu: Setelah usaha menggugurkan kandungan gagal (mungkin takut), maka lahirkan bayi itu secara sembunyi dan buang di mana saja asalkan bayi itu tidak ditemui di sisinya.

Saya yakin, ketika saya sedang mencatat tulisan ini dia sudah berada dalam penjara wanita di Kajang.  Dia akan bermukim di sana selama 12 tahun, atau 12 kali hari raya!  Hari ini umurnya 19 tahun, kelak apabila umurnya 31 tahun barulah dia dibebaskan sebagai manusia biasa.

Apakah punca kehidupan yang sangat tragis ini kepada seorang remaja perempuan yang sewaktu kecil bermanja dengan ibu bapanya.  Sewaktu bersekolah begitu ceria dengan rakan-rakan.  Kini dia akan menjadi seorang banduan.  Oh Tuhan…

Jawaban daripada saya ialah CINTA!  Cinta itulah yang memerangkap dirinya sehingga merasa ‘perlu sangat’ mempunyai teman lelaki.  Cinta itulah yang menyebabkan dia bertemu saja-saja buat pertama kalinya.  Apabila dinasihati oleh orang lain, dia pasti akan menjawab, “kami tak buat apa-apa.”  Cinta itulah yang merelakan dirinya dibelai manja oleh teman lelakinya dan dia merasakan betapa nikmat dan bahagianya menempuh percintaan.  Buat sementara, cinta itu jugalah yang menyebabkan 12 tahun kehidupan masa mudanya di balik tembok batu.  Itulah cerita pengorbanan cinta.  Teman lelakinya mungkin setia menunggu 12 tahun di luar tembok sebagai setia cinta. Mungkin saja!

Sabtu, Januari 28, 2012

IMAM-imam masjid patut ada akaun facebook


DUA SAHABAT saya seorang Imam dan Pengerusi di masjid sedang berkerut dahi memikirkan cara-cara yang dikira munasabah untuk mengajak golongan remaja (anak muda) belajar agama di masjid.  Antara cara yang akan dicuba ialah membawa ustaz yang dapat menerangkan ilmu mengikut laras budaya orang muda.  Saya pun tidak dapat membayangkan caranya.  Satu lagi ialah ilmu yang hendak disampaikan iaitu bab perkahwinan. 

Usaha ini bagus sebab sekarang ini di masjid kampung kami seolah-olah menjadi kelab orang-orang tua.  Dahulu ada seorang ustaz yang membacakan tafsir (termasuk membuat huraian berdasarkan hal semasa) selama lebih 26 tahun.  Beliau dikira berjaya mengumpulkan banyak khalayak termasuk dari kariah luar untuk setiap minggu kelas tafsirnya.  Sejak kematian beliau setahun yang lalu, seakan satu kekosongan yang belum terisi, dan pengurusan masjid sedang berkerut dahi.  Moga-moga dimudahkan Allah.

Di mana anak muda belajar agama?  Saya salut terhadap Ketua Pemuda Pas Pusat yang membuat video ‘Oley’ di Youtube sebagai cara memberi ilmu agama kepada anak muda.  Beliau mengatakan yang dia terpaksa membuat ‘demontrasi’ di alam internet kerana kebayakan anak muda mencari maklumat di sana.  Ya, sambutannya cukup baik.

Buat semantara masih ada pandangan yang tebal mengatakan belajar agama melalui internet ‘bagai tidak sah’.  Bagi pendapat ini, belajar agama hendaklah berhadapan dengan guru.  Murid mendengar ucapan tuan guru yang membacakan kitab dari mula sehingga akhir.  Belajar agama mesti secara talaqi, tidak boleh secara ‘dengar cakap’.  Inilah metod yang selalu diamalkan di masjid-masjid.  Tidak dinafikan baiknya metod ini di samping memastikan khalayaknya setia dengan amalan solat fardu berjamaah.

Internet telah menawarkan pengajian agama yang tidak dapat diberikan oleh masjid!  Itulah hakikat dan kerana itu anak muda menghadap skrin computer berjam-jam berbanding menghadap wajah Tuan Guru di masjid. 

Jika mahu mendengar ceramah agama seperti di masjid, maka Youtube telah menyediakan senarai lengkap isu dan ustaz-ustaznya.  Jika mahu berdiskusi dengan Tuan Guru seperti di masjid, maka hampir semua laman web agama menyediakan ruangan forum yang dikendalikan oleh moderator berilmu dan pengalaman.  Jelasnya, ustaz-ustaz pun sudah beralih ke alam internet dari masjid.  Sebenarnya ruang diskusi di masjid amat terhad dan dibelenggu pula oleh budaya segan dengan khalayak, namun di internet tidak ada segan menyampaikan pendapat sendiri dan bertanya kepada ustaz-ustaz. 

Kemudian, jika seseorang menghadapi masalah tidak pasti hukum sesuatu agama, seseorang boleh terus membuka beberapa laman web.  Dia boleh bertanya kepada sekian banyak pengendali laman atau moderator.  Kebanyakan moderator masa kini pula cukup terlatih memberi status sesuatu hadis, sama ada sahih, daif, palsu atau sebagainya.  Inilah yang tidak dapat disediakan oleh ustaz-ustaz di masjid.

Begtulah masjid yang sejarahnya sebagai pusat ilmu seakan-akan hilang keupayaanya bersama peredaran zaman.  Namun suatu yang tidak boleh ditukar ganti ialah solat  berjamaah itu mesti di masjid.  Sebanyak mana pun maklumat dari internet, sunah solat berjamaah mesti di rumah Allah.  Tidak ada ijtihad baru untuk mengubah hukum ini.

Rasanya elok para pengurus masjid tidak terlalu pening kepala untuk menarik anak muda dari skrin computer ke ruang masjid untuk menghadap Tuan Guru kita.  Yang munasabah ialah berfikir cara untuk menghentikan seketika di skrin computer pada setiap waktu solat, agar mereka pantas ke masjid yang berhampiran.  Nampaknya imam-imam dan pengerusi masjid wajib mempunyai akaun facebook dan memastikan semua anak muda dalam kariah masjisnya menjadi fakan FBnya.  Nampaknya imam muda di kampung saya pun tidak mempunyai akaun FB.  Itulah masalahnya.  

Rabu, Januari 25, 2012

TARIAN Singa vs Tarian Kuda Kepang?


SECARA kebetulan semasa di Kuantan Parade, sekumpulan anak muda Tionghua membuat persembahan Tarian Singa.  Sempat juga kamera saya merakam beberapa ‘scenes’ dalam tarian itu.  Ini hanya mengulang pemerhatian saya bahawa tarian itu yang menjadi satu trademark budaya Cina, tetapi kerap kali saya melihat tarian ini telah dimainkan seperti ‘main-main’.  Penari seperti tidak serius ketika melonjak sehingga tidak dirahsiakan lagi bahawa setiap seekor singa ada dua orang penari yang menggerakkan kostum singa itu.  Kemudian ada pembantu-pembantu yang tidak memakai kostum Singa menunjukkan aksi atau arah seterusnya.  Itu yang saya kata seperti main-main. Maafkan saya.

Mengapa satu tarian yang dilakukan sebegitu boleh bertahan begitu lama dan seakan tidak boleh dilupakan?  Saya tinggalkan dahulu persoalan ini.

saya melihat penari di belakang 'bermain-main' 
dengan tangannya.

Dalam adat atau budaya Melayu juga ada tarian haiwan seperti ‘Tarian Kuda Kepang’.  Satu persoalan baru: Mengapa Tarian Kuda Kepang tidak boleh mendarah daging dalam setiap nadi orang Melayu sebagaimana Tarian Singa terhadap nadi orang Tionghua?

Jawaban untuk soalan di atas, (pada saya) adalah mitos atau kepercayaan dongeng yang sudah diterima sebagai doktrin.  Walaupun  Tarian Kuda Kepang hanya popular di negeri Johor atau daerah yang kedapatan Melayu keturunan Jawa, namun masyarakat Melayu tidak memegang apa-apa mitos mengenai Tarian Kuda Kepang.  Katakan saja jika sejarahnya Tarian Kuda Kepang ini ada kaitan dengan meraikan kemenangan para pahlawan Jawa dalam pertempuran, apabila emosi pertempuran itu kian lupus, maka tarian itu hanya tinggal satu seni sahaja.  Jika ditakdir dahulu Tarian Kuda Kepang dilakukan ada kaitan dengan ‘keberkatan’ atau ‘tuah’ kemenangan para pahlawan, mitos sedemikian pasti gugur dengan konsep tauhid Islam.  Akidah benar Islam menolak adanya tuah dalam apa juga perkara, jika ada dalam sesuatu tarian pun.  Oleh sebab itulah Tarian Kuda Kepang tidak menjadi trademark dalam adat Melayu keturunan Jawa, apa lagi hendak dimainkan pada setiap Idulfitri!

Penjelasan ini secara tidak langsung menjawab mengapa Tarian Singa orang Tionghua terus kekal. Saya merujuk Tarian Singa Selatan yang dipercayai untuk membuang semangat jahat dan meminta tuah. Menjayakan Tarian Singa (memainkan atau mengundang tarian ke rumah / kedai) dipercayai dengan tuah atau keberkatan dalam hidup atau kemajuan perdagangan.  Meninggalkan tarian itu bermakna meninggalkan peluang untuk lebih untung atau berjaya.  Siapa mahu rugi.  Mereka tidak kisah pun khurafat sebab akidah agama mereka tidak menyatakan khurafat dan syirik satu kesalahan  beragama. Itulah salah satu sebab tarian itu terus subur.

Persoalan lain ialah bagaimana dengan muslim yang terlibat dalam Tarian Singa.  Satu pihak sebagai muslim, kita boleh saja menerima Tarian Singa seperti Tarian Kuda Kepang yang tidak ada apa-apa unsur mitos dan khurafat.  Begitu bersih pun muslim menerima Tarian Singa, tidak ada kumpulan budaya Melayu yang memainkan Tarian Singa.  Dengan itu Tarian Singa terus dimainkan oleh anak-anak muda Tionghua yang kekal punya mitos tuah atau keberkatan.

Oleh itu jika peniaga atau rumah muslim tidak ada kena mengena dengan Tarian Singa, tidak perlulah meminta diadakan tarian itu di hadapan kedainya.  Saya harap ada fatwa daripada pihak berwibawa mengenai muslim yang terpaksa melayan adat-adat daripada bukan Islam kerana mematuhi arahan majikan.


Sabtu, Januari 21, 2012

TAHUN Baru Cina: Mahu hadir atau tidak?


KETIKA orang-orang Tionghua akan menyambut tahun baru mereka, ada debat dalam kalangan muslim sama ada melibatkan diri dalam Tahun Baru Cina itu merosakkan akidah muslim atau tidak.  Sewaktu saya remaja dahulu, menekuni agama dengan menghadap seorang kiyai yang membacakan tafsir alquran pada setiap malam Rabu.  Daripadanya saya meneguhkan pendirian bahawa TBC tidak boleh dilibati muslim kerana itu majlis agama bukan Islam. 


Tentu saja dalilnya adalah surah al-kafirun: Lakum diinukum waliyadiin artinya “Bagi kamu agama kamu bagi aku agama aku!  Agama Islam tidak bisa dikompromikan dengan agama lain, misalnya pagi solat di masjid sorenya menyembah berhala di kuil.  Saling merayakan hari kebesaran agama lain juga termasuk berkompromi dalam agama, tambah-tambah atas nama perpaduan nasional.  Itu tidak bisa diterima melalui pengajian saya.

Bertahun-bertahun kemudian, hujah saya dirungkai oleh seorang sahabat saya.  Hujahnya bahawa TBC merupakan adat bangsa Tionghua, bukan hari agama Buddha atau roh nenek moyang yang menjadi sembahan mereka.  Kata sahabat saya, “Cuba lihat di Thailand yang tegar pegangan Buddhanya, mereka tidak merayakan Tahun  Baru Cina.”

Saya cuba menjawab pula, “Bukankah pada pagi hari kebesaran itu kaum Tionghua membakar colok dan melakukan penyembahan?”

Sahabat saya pula membalas, “Sudah menjadi kebiasaan mana-mana masyarakat yang merayakan apa juga kegembiraan akan melahirkan syukur kepada Tuhan.  Kerna mereka Buddha, maka mereka membuat sembahan itu pada pagi hari.”

Saya terdiam.

Dia menambah, “Majlis bertunang bukanlah ajaran agama Islam, itu hanya adat Melayu.  Kita orang Melayu mesti melaksanakan adat itu sebelum perkahwinan.  Kerna pertunangan merupakan hari manis dan gembira, orang yang hadir bersyukur kepada Tuhan.  Sekurang-kurangnya kedua-dua keluarga berharap majlis itu diberkati Tuhan dan bakal membawa perkahwinan yang dihalalkan agama.”

Ya, saya mengalah dengan hujah dan sejak itu menerima pendapat bahawa TBC merupakan adat bangsa Tionghua, bukan perayaan agama.  Prinsip surah al-Kafirun itu benar, tetapi TBC bukanlah contoh untuk muslim menghindarinya.  Contoh untuk dipadankan dengan surah al-kafirun itu tepatnya Deepavali dan Krismas!

Kerna itu apabila seorang remaja Tionghua memeluk Islam tahun 2006, awal-awal lagi saya beritahu bahawa jangan pulaukan keluarga sewaktu TBC.  Hadir dan makanlah, namun jangan makan yang haram.


Begitupun catatan ini hanya berkaitan dasar bolehkah seseorang muslim menghadiri rumah tetangga tionghuanya pada TBC. Soal makan yang disediakan dalam majlis TBC itu adalah hal yang berbeda dan ada kriteria hukum fikah yang lain.

Begitu pun, saya tetap menghormati pendirian pihak yang mengatakan TBC tidak boleh dilibati muslim.  Mereka punya hujah.  Biarlah kita berdiri dengan hujah.

Selasa, Januari 17, 2012

CARANYA Ustaz Fathul Bari nasihati wanita Umno



Salah satu soalan "Jom Chat Bersama... FATHUL BARI MAT JAHYA di Utusan Online"

Soalan daripada Che Mohamad,
Rakyat Islam biasa melihat pemimpin Umno tidak Islamik kerana isteri2 mereka tidak menutup aurat. Ustaz2 Umno segan nak menegur pemimpin Umno, tapi tak segan menegur ulama Pas. Jadi rakyat melihat ustaz2 Umno pentingkan pangkat sahaja.


Jawapan Ustaz Abu Islam Fathul Bari,
Terima kasih Che Mohamad, saya kira tuan tidak mengikuti kajian2 ilmu kami. alhamdulillah kebenaran; telah kami sampaikan tanpa prejudis. Aurat adalah salah satu dari hukum Allah yang besar setiap wanita perlu menutup aurat mereka. Cuma bagi yang bertanya,

1) Nabi SAW sendiri tidak mampu memberikan petunjuk kepada bapa saudara baginda utk memeluk islam, Nabi Musa juga tidak mampu meyakinkan fir'aun, Nabi Nuh juga tidak mampu memberi hidayah kepada anaknya, begitu juga Nabi Luth tidak mampu menjadikan isterinya insan yang beriman; Jika para Nabi pun tidak mampu, apatah lagi saya dan sahabat2 yang kerdil ini.... 

tuan berbicara seolah2 hidayah itu ditangan kami, sedangkan hidayah adalah milik allah secara mutlak.

2. Adakah tuan menghukum kami tidak menegur hanya dengan mencari kenyataan kami di akhbar? atau d internet? Jika demikian, tuan pasti tidak menemuinya. Kami menulis, berceramah, menegur secara berhadapan dan lain2. Bahkan kami juga memberikan teguran secara umum tentang isu aurat. Isu aurat ini melibatkan rakyat malaysia bukan hanya parti UMNO. Tolong jgn prejudis.

Walau bagaimanapun, teguran dan pandangan tuan, akan kami jadikan motivasi untuk tingkatkan ketaqwaan kepada Allah. Terima kasih.

*Tidak berlaku sebarang edit kepada soalan & jawapan.

- Via Abu Mu'aaz Munir Azizan

(SAYA menghormati Ustaz Fathul Bari yang sanggup berada dalam Umno untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah.  Beliau pasti bertemu mehnah dalam Umno, malah dari luar Umno.  Saya yakin beliau jujur melaksanakan dakwah dan mendoakan kemudahan dan kejayaan beliau. NMS)


Ahad, Januari 15, 2012

PEMBOHONG pun tidak suka dibohongi orang lain


DUSTA ialah bohong atau tipu.  Misalnya seseorang tahu bahawa si pulan yang mencuri wang di masjid tetapi apabila ditanya orang, dia mengatakan dirinya tidak tahu apa-apa.  Termasuk dusta juga apabila seseorang yang melakukan sesuatu perbuatan dan dia tidak mengakui bahawa itu adalah perbuatannya.  Banyaklah perbuatan dusta dalam kehidupan yang dilakukan orang, bermula daripada kanak-kanak, murid-murid sekolah, lelaki, perempuan dewasa sehinggalah kepada orang yang menjadi ikutan seperti  pemimpin.

Mengapa berdusta sedangkan tahu bahada dusta adalah kesdalahan di sisi manusia dan agama?  Tujuan orang berdusta adalah untuk mendapatkan sesuatu yang jika dia bercakap benar tidak akan memperoleh apa yang dihajati.  Sebagai contoh, seseorang akan mengatakan pendapatan bulanannya hanya sekitar RM2000 sebulan, dengan itu dirinya berjaya mendapat wang bantuan RM500 yang disediakan pihak kerajaan.  Ada pula seseorang sengaja berdusta apabila didakwa di mahkamah untuk mengelak daripada dijatuhi hukuman.  Nanti dalam soal-siasat perbicaraan akan didustakan beberapa perkara lagi semata-mata untuk dilepaskan daripada hukuman.

Ada pula orang berdusta untuk mengekalkan imejnya yang selama ini dipandang baik oleh orang ramai.  Ada perkara sama dengan ucapan atau perbuatannya memang dikira telah menjejaskan maruah dirinya yang dipandang mulia, maka dia berdusta menafikan hal itu semata-mata menjaga ‘nama baik’ di mata umum.  Kadang-kadang orang berdusta dengan cara mengatakan wartawan yang salah melaporkan ucapan yang dilafazkannya.

Al-Quran merakam banyak kisah pendustaan, dan semua dikeji oleh Allah swt.  Dusta paling besar di sisi Allah ialah menafikan hari kebangkitan atau Hari Akhirat. Arti  firman Allah dalam surah al-Mutaffifin10-13:  “Celakalah pada hari itu bagi orang yang mendustakan,  (iaitu) orang-orang yang mendustakan hari pembalasan.   Dan tidak ada yang mendustakan (hari pembalasan) kecuali setiap orang yang melampaui batas dan berdosa, yang apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berkata ‘itu adalah dongeng orang dahulu-kala’.”

Membuat tuduhan yang tidak dapat diberikan bukti juga adalah dusta. Perhatikan hukuman dunia terhadap pendusta seperti ini. Maksud firman Allah dalam surah An-Nur:4 “Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan baik (berzina) dan mereka tidak dapat membawakan empat  orang saksi, maka deralah mereka 80 kali, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka untuk selama-lamanya.  Mereka itulah orang-orang yang fasik.”

Berdusta satu hal yang salah.  Orang yang memanjangkan dusta-dusta pula membawa kesan buruk.  Pernah berlaku pada zaman Nabi s.a.w. berita dusta mengenai isteri Nabi s.a.w. berlaku curang disebarkan di Madinah.  Maksud firmah Allah dalam surah An-Nur:15-16 “(Ingatlah) ketika kamu menerima (berita bohong) itu dari mulut ke mulut dan kamu mengatakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikitpun, dan kamu menganggapnya remeh (hal kecil saja) padahal pada pandangan Allah itu soal besar.  Dan mengapa kamu tidak berkata ketika mendengarnya ‘Tidak pantas bagi kita membicarakan ini.  Mahasuci Engkau.  Ini adalah berita bohong (dusta) yang besar’.

Di balik kata-kata dusta adalah perkataan yang benar.  Berkata benar adalah fitrah hidup manusia.  Orang yang berdusta dalam sesuatu hal sebenarnya adalah orang yang lebih banyak berkata benar apabila berkata-kata sesama ahli masyarakat dan keluarganya.  Dusta dilakukan semata-mata untuk mencari keuntungan lain.  Pada waktu lain, orang yang berdusta juga membenci orang yang berkata dusta kepada dirinya!

Khamis, Januari 12, 2012

BOLEHKAH orang seperti Bob Lokman mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam?

BOB Lokman asalnya seorang artis, sekarang aktif dalam dakwah.  Orang pun tahu Bob Lokman bukan pemegang diploma atau ijazah yang ada kaitan dengan agama.  Mungkin dia pernah belajar agama di pondok atau pun tidak.  Namun sebagai muslim, setakat mana pengetahuannya dalam agama dan dia berpegang kepada prinsip dakwah, dia akan menyampaikan mesej Islam.  Tentu saja cara Bob Lokman menyampaikan mesej kebenaran Islam tidak seperti ustaz-ustaz yang sudah diasuh berkhutbah dan berceramah sejak umur 10 tahun.


Itulah yang dilakukan oleh Bob Lokman yang masih ada pengaruh dalam kalangan orang muda, kini dengan caranya tersendiri mahu mengajak khalayak bersama-sama beliau mendekati Islam.  Cita-cita dan caranya betul, tetapi tempatnya tidak betul berdasarkan undang-undang.  Di mana-mana negeri dalam Persekutuan Malaysia sesiapa yang hendak bercakap (baca ceramah) di dalam surau, madrasah atau masjid yang ditadbir oleh kerajaan-kerajaan negeri mestilah mempunyai tauliah atau lesen berceramah.  Mantan mufti yang ada ijazah kedoktoran dalam agama pun boleh ditangkap kerana berceramah tanpa tauliah.  Lebih dahsyat jika tempat ceramah itu di rumah persendirian, itu pun boleh ditangkap atas sebab tidak ada lesen.

Hakikatnya, hanya golongan ustaz dan ustazah yang diberi tauliah mengajarkan agama di masjid dan surau.  Hal ini berlaku kerana kebanyakan birokrat agama berfikiran masjid dan surau hanya untuk aktiviti keagamaan.  Agama Islam pula lebih difahami sebagai urusan kerohanian antara manusia dengan Tuhannya.  Sebab itulah, apa-apa ceramah di dalam rumah Allah mesti membicarakan hal hubungan manusia dengan Allah. Masjid di desa saya ada kuliah mingguan yang membicarakan bab taharah.  Kami di masjid sudah tua kerepot, masih diajarkan lagi bab air mutlak dan mustakmal.  Bukan salah, tetapi itulah pusing-pusing kuliah dan ceramah agama.

Pada hemat saya, masjid dan surau adalah pusat ilmu. Islam bukan bab fikah sahaja, malah sekian banyak bab keduniaan lain.  Dalam kehidupan kita hari-hari bab keduniaan jauh lebih besar peratusannya berbanding bab kerohanian atau ibadah khusus. Bab keduniaan itu pun bukan bebas daripada hukum halal dan haram, maka wajiblah juga bab keduniaan disebut dalam ceramah dalam masjis yang dikatakan pusat pembicaraan ilmu.

Sebagai contoh, hal-ehwal pemakanan manusia.  Allah sebut mana yang halal dan haram dalam al-Quran.  Alllah juga menyatakan prinsip yang halal sebagai baik dan yang haram sebagai buruk. Adakah semua ustaz sangat mendalami ilmu pemakanan yang mereka boleh memperincikan kandungan sesuatu makanan, yang terbaik untuk kesihatan berdasarkan umur masyarakat ahli kariah masjid? Kita memerlukan pakar kesihatan atau doctor menerangkan bab ini.  Mereka lebih tahu kerana mereka adalah ahlinya.  Malangnya doctor atau pakar kesihatan bukan ustaz dan tidak mudah mendapat tauliah untuk berceramah di masjid. Saya teringat guru quran (yang pernah saya ikuti pengajarannya), mendakwa betapa susahnya mendapatkan tauliah itu. Dua tahun baru dapat!

Oleh itu susahlah pakar-pakar ilmu keduniaan lain seperti ahli sains, ahli undang-undang, ahli psikologi termasuk juga ahli seni (seperti Bob Lokman) memperoleh tauliah.  Hari-hari kehidupan muslim dalam lingkungan sains dan teknologi, undang-undang, seni, sastera, sejarah dan sebagainya.  Tidak mudah pula hal-hal yang saban hari dilalui oleh muslim boleh diperjelas dalam masjid sedangkan asasnya masjid adalah pusat ilmu yang sangat diperlukan untuk kehidupan muslim.

Keadaannya, kita seperti sedang terperangkap yang tidak tahu hujung pangkalnya. 

Rabu, Januari 04, 2012

DILEMA: Mahu solat berjamaah atau di rumah saja


SEJAUH manakah kita benar-benar mengambil hukum yang solat berjamaah di masjid itu hukumnya sunat (atau sunat yang sangat dituntut), dan tidak merasa apa-apa kesalahan kerna meninggalkannya dengan saja-saja?  Bagi kita terutama orang awam, biasa menerima hukum yang solat berjamaah bukan wajib. Mereka mengatakan ‘bukan wajib’  atau ‘hanya sunat’ sebagai satu pendirian agar tidak dipersalah kerna hanya berjamaah di masjid pada hari Jumaat!

Adakah rasa keimanan kepada Allah dan semangat cintakan rasul tidak terusik dengan beberapa hadis nabi berkaitan dengan solat berjamaah di masjid?  Cuba kita lihat beberapa hadis junjungan s.a.w.

Maksud sabda nabi s.a.w. “Barang siapa mendengar seruan (azan) serta tidak ada uzur yang menghalangi ia memenuhi seruan itu, tidaklah diterima daripada solat yang ia kerjakan (solat sendirian)”.  Sahabat bertanya, ‘Apakah maksud uzur  itu?’  Jawab nabi s.a.w. ‘takut atau sakit’. (Riwayat Abu Dawud, Abu Hatim dan Ibnu Hibban daripada Ibnu Abas)

Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa pada suatu ketika nabi s.a.w. telah mendapati beberapa orang tidak ada ketika solat hendak didirikan, maka baginda bersabda yang maksudnya, “Sungguh aku mahu menyuruh dikumpulkan berkas-berkas kayu api, kemudian aku menyuruh mendirikan solat, lalu dikumandangkan azan.  Kemudian aku menyuruh seseorang menjadi imam (buat mengganti nabi).  Sesudah itu aku pergi kepada mereka yang tidak menghadiri jemaah, lalu aku bakar rumahnya bersama-sama  dengan mereka di dalamnya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim)

Bagaimana dengan sahabat nabi bernama Ummi Makhtum r.a. yang buta?  Beliau bertemu baginda nabi s.a.w. dan berkata (maksudnya) “Ya Rasulullah, saya seorang yang kabur mata lagi jauh rumah dari masjid dan  mempunyai seorang penuntun yang tidak cocok dengan saya.  Adakah ada kelapangan untuk saya bersolat di rumah saya?  Nabi s.a.w. bertanya, “Apakah engkau mendengar azan?”  Aku menjawab, “Ya, saya mendengarnya.”  Nabi s.a.w. bersabda, “Saya tidak mendapat kelapangan untuk engkau buat solat di rumah.”  (Riwayat Ahmad, Abu Dawud daripada Ummi Makhtum. Diriwayatkan juga oleh Muslim dan An-Nasa’i)

Orang lelaki muda kalau merasa cinta terhadap seorang wanita akan sanggup berbuat apa saja untuk mendapatkan cinta wanita itu.  Begitulah gemuruh cinta.  Tidakkah ada gemuruh cinta kepada junjungan nabi s.a.w. dalam hal ini dengan berusaha sebaik mungkin mengamalkan apa yang nabi kita ucapkan?  Solat berjamaah di masjid itu sunah nabi!