Pengikut

Ahad, Mac 06, 2011

MENCARI pahala maulidur rasul


SEMUA orang yang beragama sangat mengharap pahala daripada Allah.  Secara umum, pahala itu merupakan ganjaran atau hadiah istimewa yang menjadi hak Allah untuk diberikan kepada sesiapa atas amal ibadahnya.  Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui bentuk dan gambaran pahala itu.  Maka jelas semua sependapat bahawa soal pahala (dan sebaliknya: dosa) adalah hal ghaib.  Dalam mana-mana amal ibadah, jika tidak dicatat apa dan berapa pahalanya, tidak ada sesiapa yang tahu apa dan berapakah pahala yang Allah akan berikan. Soal banyak dan sedikit pun, jika tidak ada firman Allah dan sabda Nabi, tiada siapa yang tahu soal pahala itu.

 foto hanya hiasan

Allah dan nabi-Nya pula memberi pemahaman yang mudah kepada manusia untuk mengetahui ajaran agama.  Justeru, akan ditemui istilah dan angka yang biasa difahami oleh manusia untuk menggambarkan hal ghaib seperti bilangan pahala di sisi Allah.  Namun angka-angka itu bukanlah seperti menurut perhitungan manusia di dunia ini.  Semua hanya untuk memahami darjat di sisi Allah.  Lihatlah contoh firman Allah dan sabda Rasulullah berkenaan darjat atau nilaian pahala.

Maksud firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 261: Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan (infak) hartanya di jalan Allah umpama sebutir biji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai,  pada setiap tangkai ada seratus biji.  Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui.

Daripada Imran bin Hussein (r.a.) berkata: ‘Seorang lelaki datang kepada Rasulullah (s.a.w.) dan mengucapkan “Assalamualaikum”, kemudian banginda Nabi menjawabnya dan ia (lelaki itu) duduk.  Baginda Nabi berkata “sepuluh”.  Kemudian datang orang lain dan mengucapkan “Assalamualaikum warahmatullah”.  Baginda Nabi menjawab salamnya kemudian ia (lelaki itu) duduk.  Baginda Nabi berkata “dua puluh”.  Kemudian datang orang lain dan mengucapkan “Assalamualaikum warahmatullahi wabaharakatuh”.  Baginda Nabi menjawab salamnya, dan ia (lelaki itu) duduk.  Baginda nabi berkata “tiga puluh”.

Baru-baru ini dua kali orang yang diberi gelar mulia iaitu ustaz memberikan ‘jaminan’ bahawa menganjurkan majlis maulidur rasul mendapat banyak pahala.  Malah seorang yang mengaku sudah menjadi selibriti TV Hijrah mengatakan, “kalau majlis ini tidak ada pahala, tidak perlu kita melakukannya. Selama ini kita melakukan amal kerana kita telah yakin adanya pahala.”

Seperti biasa dan sejak dahulu, saya diajar memahami yang majlis maulidur rasul mendapat ‘kelebihan’ di sisi Allah.  Susah saya hendak melepaskan pemahaman bahawa maksud banyak pahala dan yakin ada pahala merupakan pahala yang banyak lebih daripada biasa. Malangnya sejak dahulu juga saya tidak pernah dimaklumkan firman Allah dan sabda Nabi yang menjelaskan lebih banyaknya pahala sebagaimana contoh dua di atas.

Akhirnya saya cenderung membuat kesimpulan  bahawa banyak pahala dan yakin ada pahala hanya andaian semata-mata.

Mengapa saya tulis hal ini (banyak orang yakin ini soal kecil)?  Jawabnya ialah tidak mahu ada orang yang dengan mudah membuat kenyataan yang selama ini difahami menjadi hak Allah dan rasul-Nya.  Secara jujur, adakah sesiapa yang ikhlas beragama akan sengaja mendakwa berapa jumlah pahala solat subuh, berapa pula pahala solat Isyak dan sebanyak mana pula pahala solat Jumaat?

Oleh itu, kepada yang sudah tidak boleh mengundurkan diri daripada melaksanakan majlis maulidur rasul itu, lebih elok difahami sebagai majlis keduniaan yang sama taraf dengan majlis ceramah agama biasa yang tanpa bersempena apa-apa.  Jadilah itu sebagai majlis ilmu yang tidak ada siapa pun berani mendakwa berlebih-lebih gandaan pahalanya.

Wallahu aklam

Khamis, Mac 03, 2011

AKHIRNYA saya berjiran tetap dengan bukan Muslim


MULAI tanggal 1 Mac yang lalu saya sekeluarga berpindah ke rumah sendiri yang jaraknya daripada rumah sewaan selang sebuah rumah saja.  Tidak ada bedanya dengan rumah yang sebelumya kecuali status rumah atas nama sendiri.  Kebanyakan orang Melayu Muslim suka jika berjiran tetangga dengan sesama Melayu Muslim atas sebab-sebab yang sedia dimaklumi.  Saya dengan sedar memilih sebuah rumah di tengah-tengah kawasan yang penghuninya kaum Tionghua, bukan Muslim!


Sejak saya menjejak di kawasan perumahan di pekan Sabak itu  pun yang menjadi jiran untuk ‘melihat-lihat’ rumah sewa saya adalah keluarga Tionghua, yang kini sudah menjadi jiran sebelah kanan betul.  Sebelumnya juga saya menyewa rumah daripada kenalan baru, seorang Tionghua.  Kini dia sudah menjadi salah seorang yang akrab dengan saya sehingga masalah hal yang peribadi pun mahu dikongsikan dengan saya.

Apabila saya memilih sebuah rumah yang betul-betul dilingkungi pemilik-pemilik bukan Muslim tentulah saya sudah menjangka mengenai baik dan buruknya.  Dalam minda saya lebih banyak membuat persepsi mengenai kebaikan berjiran dan bersahabat dengan kaum Tionghua itu.  Sejarahnya, walaupun saya anak desa yang membesar dalam lingkungan budaya Melayu Jawa Muslim, bersekolah rendah dan menengah bercampur dengan kaum Tionghua dan India.  Paling menjadikan saya betah dengan budaya mereka apabila bertugas dalam organisasi yang majoritinya kaum berkenaan dan itu sama sekali tidak melunturkan kejiwaan saya sebagai Muslim dan Melayu.  Maka, kini tidak kekok terus berfikir mengenai sosialisasi dengan kaum bukan Melayu.

Moga-moga wahyu Allah surah al-Mumtahanah ayat 8-9 menjadi pedoman hingga akhir hayat ketika bersosialisasi dengan jiran tetangga bukan Muslim.  “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada yang tidak memerangi kamu kerna agama (kamu), dan tidak menghalau kamu dari kampung halamanmu.  Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.  Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerna agama (kamu), dan menghalau kamu dari kampung halamanmu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu, dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat,maka mereka itulah orang yang zalim.”

Rabu, Februari 23, 2011

TUJUH persoalan Ustaz Fauzan kepada Al Ghari

7 persoalan buat 'Syeikh' Zamihan al-Ghari
by الفوزاني Al-Fauzan on Tuesday, February 22, 2011 at 7:49pm


Bismillahi Al-Rahman Al-Rahim
Assalamualaikum wrth wbrth.
Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam, yang menjadkan langit serta beristiwa di atas Arasy-Nya, selawat dan salam kepada Rasulullah SAW dan sahabat2 baginda, dan para salafus soleh.

Sesungguhnya sebaik2 kitab adalah kitab Allah, dan sebaik2 petunjuk adalah petunjuk Rasulullah SAW dan seburuk2 perkara adalah perkara yang direka-reka di dalam perihal agama, dan sesungguhnya setiap yang direka di dalam agama itu adalah bid'ah, dan ketahuilah, setiap yang bid'ah itu adaah sesat dan setiap yang sesat itu adalah neraka tempatnya.

Telah menjadi tanggungjawab saya untuk menjawab tuduhan yang tidak berasas lagi tidak adil daripada saudara Zamihan al-Ghari atau mashur dengan gelaran al-Ghari di blog beliau http://al-ghari.blogspot.com/ . Beliau telah menulis 3 artikel yang sama sekali membuat dakwaan yang kami di MEDIU menggangap ianya fitnah yang sengaja untuk memberi persepsi buruk kepada salah satu institusi pendidikan antarabangsa di Malaysia ini. Saudara Zamihan ini telah menulis 3 artikel :

1)      MEDIU : Rekrut Pelampau Wahhabi? Awas!
2)      MEDIU , APa yang diajar, Aqidah Pelik?
3)      MEDIU , Rekrut Pelampau Wahhabi, Satu realiti.

Individu yang bernama Zamihan ini telah mempunyai rekod dalam membawa isu Wahhabi dan mengaitkan individu – individu tertentu dengan fahaman yang disifatkan beliau sebagai fahaman Wahhabi. Antaranya, mantan mufti Perlis, Prof Madya Dr ASri Zainul ABidin dan juga pensyarah UKM , Dr .Azwira. Kedua-dua tokoh ilmuan muda ini telah mengheret saudara Zamihan ini ke muka pengadilan dan kes itu masih berlanjutan sehingga kini.

Walau bagaimana pun tidak pasti sejauh mana dakwaan saudara Zamihan ini bahawa MEDIU sebagai sebuah Universiti yang mengajar ajaran songsang, pelik, sesat, malah beliau secara seriusnya menuduh MEDIU merupakan tempat untuk mengrekrut pelampai Wahhabi malah lebih dahsyat lagi MEDIU dikaitkan dengan Wahhabi dan pengganas. Semoga Allah memberi hidayah kepada manusia yang bernama Zamihan ini.

Timbul persoalan dari sayai, atas dasar apakah saudara Zamihan ini membuat tuduhan? Ini kerana, saya mempunyai beberapa point asas agar masyarakat menilai tulisan saudara zamihan yang hanya ingin mencari publisiti murahan kononnya ingin menyelamatkan Aqidah dan kepercayaan orang Islam terselamat dari dakyah sesat sebagaimana yg didakwa beliau. Sekiranya MEDIU ini telah bersubahat utk menyesatkan ummat di Malaysia dan mengrekrut pengganas, timbul soalan dari saya kepada saudara zamihan:

1)      Setiap subjek mahupun kursus yang ditawarkan oleh MEDIU terutama sekali pengajian Islam telah diteliti dan disaring oleh para Sarjana yang dipertanggungjawabkan oleh MQA kepada mereka utk memberi kelulusan akan subjek dan kursus yg ditawarkan. Kami di MEDIU bersangka baik, mungkin Saudara Zamihan ini tidak tahu apa itu MQA, atau mungkin juga saudara Zamihan ini ingin menuduh MQA ( Malaysian Qualification Agency) sebagai agen Wahhabi kerana meluluskan kursus-kursus yang telah di dakwa beliau sebagai pelik malah mendakwa  MEDIU sebagai tempat mengrekrut pelampau Wahhabi? Adakah di sini Zamihan cuba menidakkan peranan MQA dalam menyelia dan meluluskan subjek-subjek yang dibenarkan untuk diajar oleh MEDIU? Sebagaimana yang kita tahu bahawa MQA berperanan untuk menjaga kualiti pelajaran dan silibus apatah lagi memastikan silibus-silibus itu pelik dan songsang? Betapa hebatnya saudara Zamihan ini,saya kira pihak MQA harus melantik saudara Zamihan ini sebagai ketua panel agar aqidah dan kepercayaan masayrakat Malaysia khasnya akan terjamin dan terselamat dari ajaran pelik dan songsang seperti yang didakwa. Atau mungkin saudara Zamihan tidak mengenali badan yang bertanggungjawab memantau sukatan kursus-kursus di IPTS dan IPTA di seluruh Malaysia kerana sibuk membicara soal yang tiada sendiri tiada ilmu akannya?

2)      Agak memeranjatkan dengan tuduhan Zamihan ini bahawa pelajaran Aqidah yang dibawa di MEDIU adalah pelik walhal 70% sukatan pelajaran telah digarap berdasarkan sukatan pelajaran Universiti Al-Azhar dan selebihnya adalah dari Saudi. Adakah Universiti Al-Azhar juga mengajar pelajar-pelajar kita dan seluruh dunia dengan pelajaran yg pelik dan sesat?Kalau itulah kata beliau, bermakna kerajaan Malaysia wajib membuat sekatan pelajar-pelajar kita untuk belajar di Al-Azhar dikhuatiri nanti balik akan berkongsi ajaran pelik dengan masyarakat.

3)      Sebagaimana yg kita telah maklum, bahawa saudara Zamihan ini merupakan pegawai JAKIM yang mana sudah pasti beliau punya kapasiti dan autoriti untuk membawa isu nasional ini ke pihak atasan. Saya agak keliru, kenapa laman blog persendirian digunakan dan bukan mengudah lidah rasmi JAKIM mahupun autoriti yang diberikan oleh kerajaan kepada JAKIM dalam membanteras ajaran-ajaran pelik dan songsang di Malaysia ? Bukankah wujud Jabatan Aqidah yang mengkaji aliran-aliran sesat di Malaysia di JAKIM sendiri? Atau saudara Zamihan ini memang tidak mendapat tempat di JAKIM dan pandangan itu hanyalah pandangan 'pelik' beliau sendiri. Atau mungkin Zamihan ingin mendakawa bahawa JAKIM juga Wahhabi? Semoga beliau diberi hidayah.

4) Idea penubuhan MEDIU yang diasaskan di Madinah Al-Munawwarah telah direalisasikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat pengajian antarabangsa dalam masa yg sama menjadikan MEDIU sebahagian dari agenda Islam Hadhari pada ketika itu. Adakah Tun Abdullah juga dianggap oleh Zamihan dalang disebalik pusat mengrekrut wahhabi ini? Adakah Tun Abdullah juga tidak mengambil kira soal keselematan aqidah rakyat Malaysia ancaman pengganas sebagaimana yang didakwa oleh saudara Zamihan ini? Malah Tun Abdullah juga turut menafikan MEDIU sebagai pusat penyebaran Wahhabi dan menyokong penuh segala usaha MEDIU yang menggabungkan elemen Ugama dan applikasi teknologi dalam memartabatkan ilmu duniawi dan ukhrawi

5)      Keratan akhbar berbahasa Inggeris yg ditulis oleh wartawan New Straits Times tiada mengaitkan sama sekali MEDIU ini dengan Wahhabi. Kami andaikan mungkin beliau tidak dapat memahami Bahasa Inggeris dengan baik lalu dengan sembrono mengaitkan MEDIU dengan Wahhabi. Nasihat saya, agar teruskan belajar dan meneliti kesemua benda yang ingin dipaparkan dan fahami ia betul-betul sebelum di bawa ke pihak umum.

6)      Seandainya MEDIU ini membawa ajaran yang pelik, mengrekrut pengganas aliran fahaman Wahhabi, kenapa saudara Zamihan hanya berkokok di blog beliau sahaja? KEnapa tidak digunakan saluran Media tempatan atau terlebih dahulu membuat laporan polis akan kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak MEDIU ? Adakah kerana saudara Zamihan ingin mecari publisiti atau sekadar ingin berlagak hero demi menyelamatkan orang Islam? Jikalau beliau rasa terpanggil utk menyelamatkan aqidah dan pegangan umat Islam di Malaysia, beliau patut melaporkan kepada polis dan Kementerian Dalam Negeri tentang MEDIU ini agar ia tidak memberi mudarat kepada Negara kita. Mungkin kerana beliau takut dan tidak yakin ataupun beliau dapat merasakan bahawa masyarakat sudah terlalu cerdik untuk menilai tulisan-tulisan murahan utk mendapat publisiti murahan di dada akhbar dan media.

7)      Jikalau benar apa yg didakwa oleh Zamihan akan kebatilan MEDIU sebagai institusi pendidikan yang memberi musibah pada rakyat Malaysia, kenapa tidak saudara zamihan menggunakan ruang yg beliau ada di JAKIM utk berdiskusi secara ilmiah dengan wakil MEDIU secara terbuka mahupun tertutup akan tetapi dihadiri oleh media agar kebenaran dapat dibuktikan dengan nilai akademik dan ilmiah dan bukan hanya cakap- cakap kosong kedai kopi. Beliau patut sedar, beliau sebagian dari JAKIM dan sepatutnya beliau patut berfikir sebelum menulis sesuatu isu.

Terlalu banyak yang saya ingin pertikaikan akan tulisan saudara Zamihan ini, tapi cukup dengan 7 persoalan yang saya bawakan agar masyarakat umum dapat menilai siapakah yang MELAMPAU dalam melabel kumpulan dan institusi melainkan saudara zamihan sendiri. Saya menasihati beliau agar adalah lebih baik beliau menumpukan tugas beliau di JAKIM dalam memajukan dan memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini dari membuat kerja yang tidak berfaedah dan bermanfaat yang merugikan rakyat Malaysia sendiri.  Saya akhiri dengan membawa sepotong ayat Quran untk peringatan saudara Zamihan: “ Dan jangalah kamu berbicara dan berkata sesuatu yang bukan dalam pengetahuan kamu, sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu semuannya nanti akan dipersoalan dan dipertanggungjawabkan” ( al-Isra’ : 36)

 Al-Faqir ila Allah,
Ahmad Fauzan Yahaya

Jumaat, Februari 18, 2011

DAKWAH mulut merata-rata

DAKWAH BURUNG TIONG
February 15th, 2011 by Nobisha

Dalam kesejukan malam di Seoul (kini -5C), fikiran saya segera merawang ke tanah air. Hari ini Maulidur Rasul. Menyambut Maulidur Rasul, tak sama seperti menyambut Hari Kekasih, walaupun Rasulullah saw disebut sebagai kekasih Allah. Apa yang penting ialah untuk kita insaf bahawa dakwah Rasulullah saw berkembang melalui teladan yang baik atau “qudwah hasanah.”

Apa yang saya lihat pada hari ini kita cuba membawa kebaikan dengan lisan. Maka, bersyarah di sana-sini, atau menulis berjela-jela. Namun, apabila orang ingin melihat teladan, kita gagal memberikannya. Maaf, sekiranya ada yang terguris hati, namun biarlah saya berikan beberapa contoh.

Apabila saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul, satu perkara yang ketara ialah ia cukup bersih. Malah, terlalu bersih sampaikan saya berbisik di dalam hati kecil, kalau nak tidur di dalam bilik air itu pun boleh. Begitulah bilik air di negara bukan Islam.

Cuba kita lihat bilik air di Lapangan Terbang Jeddah, atau bilik air di hentian rehat antara Madinah dan Makkah. Kalau tak mahu pergi jauh-jauh, lihat sajalah bagaimana rupa bilik air di masjid kita walaupun khatib berbuih bercakap soal kebersihan dalam Islam. Semua ayat al-Quran dan hadis dibaca. Bilik air masih kotor dan berbau. Nah, kebersihan hanya ada pada perkataan tetapi tidak dapat dilihat.

Sewaktu makan malam tadi, saya dan sahabat-sahabat di Seoul memilih buffet. Semuanya makan licin pinggan. Ambil yang ingin dimakan dan habiskannya. Seorang sahabat saya di sini memberitahu kita hanya ambil sekadar yang hendak dimakan, tidak lebih dari itu. Kalau ditanya saya, itulah sunnah Rasulullah saw. Bagaimanapun, cuba lihat cara kita makan sama ada di majlis kenduri atau di masjid. Melimpah-ruah kita longgokkan dalam pinggan. Kemudian, separuh dibuang dalam tong sampah. Sekali lagi kita bercakap, tetapi orang tidak melihat kita mengamalkannya.

Begitu juga dalam bernegara. Ramai yang bercakap soal integriti, tetapi berapa ramai pemimpin (kerajaan dan pembangkang) yang berintegriti. Ramai yang bercakap soal akauntabiliti, tetapi berapa ramai aktivis parti (kerajaan dan pembangkang) yang menguruskan kewangan parti secara telus? Ya, memang ada akaun atas meja, tetapi berapa banyak pula yang diuruskan di bawah meja?

Bukan sedikit yang mengkritik media massa sebagai berat sebelah. Saya nak tanya, adakah orang yang mengkritik itu menunjukkan “qudwah hasanah” dengan menerbitkan akhbar atau majalah yang seimbang? Dia pun sama! Apa yang saya lihat ialah kuali mengatakan cerek hitam. Mengata dulang, paku serpih!

Kita tidak boleh membawa Islam ke dalam masyarakat dengan hanya ceramah. Kita perlu tunjukkan teladan. Individu Muslim harus menampilkan akhlak yang baik. Keluarganya harus boleh dicontohi. Dan, akhlaknya dalam bernegara juga mesti boleh diteladani. Itulah sunnah Rasulullah saw.

Allah swt mengingatkan:

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharapkan Allah dan Hari Akhirat serta mereka banyak berzikir kepada Allah.” (al-Ahzab: 21)

Ah, kalau setakat nak bercakap, burung tiong lagi pandai bercakap!

Isnin, Februari 14, 2011

SETELAH maulidur rasul...


SEPERTI kata rakan facebook, apabila masuk bulan Rabiul awal, pihak yang suka maulidurrasul dan yang tak sukakannya meningkatkan suhu perdebatan.  Biarlah, sudah menjadi adat pada bulan berkenaan agaknya.  Setakat ini bukan ada yang sampai diseret ke mahkamah pun.  Biarlah masing-masing mengasah akal dan hujahnya.


Dari sudut budaya beragama di Malaysia, umat Islam diberi hak merayakan maulidur rasul.  Hari itu diterima sebagai hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad, nabi terakhir sebelum kiamat.  Oleh kerana semua orang Melayu menganut Islam yang disebarkan oleh Nabi Muhammad, maka menyambut hari kelahiran baginda sudah menjadi salah satu adat resam Melayu. Maka, semua cuti.

Penganut  Buddha juga diberi hak merayakan hari kelahiran pengasas ajaran Buddha, Sidhartha Gautama.  Hari berkenaan adalah hari Wesak, dan semua rakyat diberi cuti umum.

Penganut agama Kristian juga mendapat hak bergembira dan merayakan hari kelahiran Jesus yang juga menjadi hari Raya umat Kristian.  Semua orang tahu tanggal 25 Disember yang disebut Hari Natal itu adalah hari kelahiran Jesus, yang menurut kepercayaan umat Kristian adalah pelopor ajaran Kristian.  Hari itu, kita pun cuti.

Penganut agama Hindu tidak merayakan hari kelahiran pengasas agama mereka, kerana agama mereka tidak dapat dipastikan titik mulanya.  Sesiapa yang memperlajari sejarah tamadun Indus pasti akan mempelajari juga kepercayaan beragama dalam tamadun berkenaan yang akhirnya menjadi agama Hindu.

Kembali kepada perayaan maulidur rasul, eloklah semua yang selama ini merayakan atau tidak merayakan agar berfikir mengenainya.  Lupakan dahulu kepada yang tidak mahu merayakannya, biarlah mereka dengan pendapatnya.  Kepada yang menerimanya sebagai satu cara mengingat Nabi Muhammad, apa agaknya kesan-kesan yang nyata  sekalipun kecil setelah  selesai  menghadiri  majlis yang dikaitkan dengan maulidur rasul?

Ambil satu contoh, adakah semakin  bertambah orang yang solat berjemaah di masjid akibat kesedaran cintakan nabi melalui agenda maulidur rasul?

Kedua, adakah semakin berkurang orang mengumpat atau menggunjing orang lain akibat menerima saran nabi yang kita cintai itu?

Khamis, Februari 03, 2011

AMAL sedekah yang gugur ke bumi

SEORANG rakan mengkhabarkan adanya pemberi wakaf surau pada masa dahulu yang ‘terkilan’ (keciwa?) kerana bangunan asal daripada wakafnya telah diruntuhkan untuk dibina sebuah surau baru yang lebih besar.  Tentunya si pewakaf tadi menganggap yang pahala wakafnya terhenti apabila rumah Allah itu telah tiada.


Lama sebelum ini saya membaca dalam ruangan facebook mengenai ahli keluarga yang telah mewakafkan sebidang tanah sebagai tapak surau.  Sebagai ahli waris, dia masih merasa ada hak untuk menentukan apakah yang sepatutnya dilakukan oleh para pentadbir surau berkenaan.  Antara ayat yang membayangkan pemikirannya ialah dia tidak reda jika pentadbir surau melakukan hal-hal yang tidak cocok dengan pendiriannya sebagai salah seorang waris pewakaf berkenaan.

Kembalilah kepada erti sedekah atau wakaf.  Seseorang yang telah memberikan sebagian hartanya untuk seseorang atau organisasi demi kelangsungan pihak penerima, mestilah ikhlas kerana Allah.  Guru saya mencadangkan erti ikhlas dalam menderma seumpama membuang air besar, yang setelah melepaskannya (membuang najis) tidak lagi dikenang-kenang atau diungkit-ungkit pada masa akan datang.  Mengenang semula, membangkit-bangkitkan untuk merasai sumbangannya dan memberi tunjuk ajar pula kepada pihak penerima, lebih diertikan sebagai pemberi yang tidak ikhlas.  Pemberi itu masih ada kepentingan, seolah-olah dia pemilik saham yang ada pengaruh menentukan tuju hala harta yang disumbangkannya.

Apa akan jadi jika pemberi masih merasa ada kepentingan terhadap harta yang telah diserahkan atas nama sedekah, sumbangan ikhlas atau wakaf?  Jawaban terbaik dan analogi mudah telah dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran.

Ayat 264 surah al-Baqarah bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu merosak sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan penerimanya), seperti orang yang menginfakkan hartanya kerna pamer kepada manusia dan tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.  Perumpamaannya seperti batu yang licin yang di atasnya ada debu, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, maka tinggallah batu itu licin semula.  Mereka tidak memperoleh sesuatu apa pun dari apa yang mereka kerjakan.  Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang ingkar.”

Cabaran yang besar: Mungkin saja pada saat dia mewakafkan harta, dia benar-benar dalam keikhlasan, namun entah setelah berapa puluh tahun ada emosi yang terganggu sehingga sedikit sebanyak disebut-sebut semula pemberiannya dahulu.  Oh, ruginya peribadi ini di sisi Allah.

Jumaat, Januari 28, 2011

ANTARA adat dan ibadah

Oleh Syaikh Ali bin Hasan Al-Halabi Al-Atsari

Ini adalah sub kajian yang sangat penting yang membantah anggapan orang yang dangkal akal dan ilmunya, jika bid’ah atau ibadah yang mereka buat diingkari dan dikritik, sedang mereka mengira melakukan kebaikan, maka mereka menjawab : “Demikian ini bid’ah ! Kalau begitu, mobil bid’ah, listrik bid’ah, dan jam bid’ah!”

Sebagian orang yang memperoleh sedikit dari ilmu fiqih terkadang merasa lebih pandai daripada ulama Ahli Sunnah dan orang-orang yang mengikuti As-Sunnah dengan mengatakan kepada mereka sebagai pengingkaran atas teguran mereka yang mengatakan bahwa amal yang baru yang dia lakukan itu bid’ah seraya dia menyatakan bahwa “asal segala sesuatu adalah diperbolehkan”.


Ungkapan seperti itu tidak keluar dari mereka melainkan karena kebodohannya tentang kaidah pembedaan antara adat dan ibadah. Sesungguhnya kaidah terseubut berkisar pada dua hadits. 

Pertama : Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam.

“Artinya : Barangsiapa melakukan hal yang baru dalam urusan (agama) kami ini yang tidak ada di dalamnya, maka amal itu tertolak”.

Hadits ini telah disebutkan takhrij dan syarahnya secara panjang lebar.

Kedua : Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam peristiwa penyilangan serbuk sari kurma yang sangat masyhur.

“Artinya : Kamu lebih mengetahui tentang berbagai urusan duniamu”

Hadits ini terdapat dalam Shahih Muslim (1366) dimasukkan ke dalam bab dengan judul : “Bab Wajib Mengikuti Perkataan Nabi Shallallahu Alaihi Wa Sallam Dalam Masalah Syari’at Dan Yang Disebutkan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam Tentang Kehidupan Dunia Berdasarkan Pendapat”, dan ini merupakan penyusunan bab yang sangat cermat 

Atas dasar ini maka sesungguhnya penghalalan dan pengharaman, penentuan syari’at, bentuk-bentuk ibadah dan penjelasan jumlah, cara dan waktu-waktunya, serta meletakkan kaidah-kaidah umum dalam muamalah adalah hanya hak Allah dan Rasul-Nya dan tidak ada hak bagi ulil amri [1] di dalamnya. Sedangkan kita dan mereka dalam hal tersebut adalah sama. Maka kita tidak boleh merujuk kepada mereka jika terjadi perselisihan. Tetapi kita harus mengembalikan semua itu kepada Allah dan Rasul-Nya.


Adapun tentang bentuk-bentuk urusan dunia maka mereka lebih mengetahui daripada kita. Seperti para ahli pertanian lebih mengetahui tentang apa yang lebih maslahat dalam mengembangkan pertanian. Maka jika mereka mengeluarkan keputusan yang berkaitan dengan pertanian, umat wajib mentaatinya dalam hal tersebut. Para ahli perdagangan ditaati dalam hal-hal yang berkaitan dengan urusan perdagangan.

Sesungguhnya mengembalikan sesuatu kepada orang-orang yang berwenang dalam kemaslahatan umum adalah seperti merujuk kepada dokter dalam mengetahui makanan yang berbahaya untuk dihindari dan yang bermanfaat darinya untuk dijadikan santapan. Ini tidak berarti bahwa dokter adalah yang menghalalkan makanan yang manfaat atau mengharamkan makanan yang mudharat. Tetapi sesungguhnya dokter hanya sebatas sebagai pembimbing sedang yang menghalalkan dan mengharamkan adalah yang menentukan syari’at (Allah dan Rsul-Nya), firmanNya.

“Artinya : Dan menghalalkan bagi mereka segala hal yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala hal yang buruk” [Al-Araf : 157] [2].

Dengan demikian anda mengetahui bahwa setiap bid’ah dalam agama adalah sesat dan tertolak. Adapun bid’ah dalam masalah dunia maka tiada larangan di dalamnya selama tidak bertentangan dengan landasan yang telah ditetapkan dalam agama [3]. Jadi, Allah membolehkan anda membuat apa yang anda mau dalam urusan dunia dan cara berproduksi yang anda mau. Tetapi anda harus memperhatikan kaidah keadilan dan menangkal bentuk-bentuk mafsadah serta mendatangkan bentuk-bentuk maslahat.” [4]

Adapun kaidah dalam hal ini menurut ulama sebagaimana dikatakan Ibnu Taimiyah [5] adalah: “Sesungguhnya amal-amal manusia terbagi kepada : Pertama, ibadah yang mereka jadikan sebagai agama, yang bermanfaat bagi mereka di akhirat atau bermanfaat di dunia dan akhirat. Kedua, adat yang bermanfaat dalam kehidupan mereka. Adapun kaidah dalam hukum adalah asal dalam bentuk-bentuk ibadah tidak disyari’atkan kecuali apa yang telah disyariatkan Allah. Sedangkan hukum asal dalam adat [6] adalah tidak dilarang kecuali apa yang dilarang Allah”.

Dari keterangan diatas tampak dengan jelas bahwa tidak ada bid’ah dalam masalah adat, produksi dan segala sarana kehidupan umum”.

Hal tersebut sebagaimana dikatakan oleh Syaikh Mahmud Syaltut dalam kitabnya yang sangat bagus, Al-Bid’ah Asabbuha wa Madharruha (hal. 12 –dengan tahqiq saya), dan saya telah mengomentarinya sebagai berikut, “Hal-hal tersebut tiada kaitannya dengan hakikat ibadah. Tetapi hal tersebut harus diperhatikan dari sisi dasarnya, apakah dia bertentangan dengan hukum-hukum syari’at ataukah masuk di dalamnya”.

Di sini terdapat keterangan yang sangat cermat yang diisyaratkan oleh Imam Syathibi dalam kajian yang panjang dalam Al-I’tisham (II/73-98) yang pada bagian akhirnya disebutkan, “Sesungguhnya hal-hal yang berkaitan dengan adat jika dilihat dari sisi adatnya, maka tidak ada bid’ah di dalamnya. Tetapi jika adat dijadikan sebagai ibadah atau diletakkan pada tempat ibadah maka ia menjadi bid’ah”.

Dengan demikian maka “tidak setiap yang belum ada pada masa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan juga belum ada pada masa Khulafa Rasyidin dinamakan bid’ah. Sebab setiap ilmu yang baru dan bermanfaat bagi manusia wajib dipelajari oleh sebagian kaum muslimin agar menjadi kekuatan mereka dan dapat meningkatkan eksistensi umat Islam.

Sesungguhnya bid’ah adalah sesuatu yang baru dibuat oleh manusia dalam bentuk-bentuk ibadah saja. Sedangkan yang bukan dalam masalah ibadah dan tidak bertentangan dengan kaidah-kaidah syari’at maka bukan bid’ah sama sekali” [7]

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam Al-Qawa’id An-Nuraniyah Al-Fiqhiyah (hal. 22) berkata, “ Adapun adat adalah sesuatu yang bisa dilakukan manusia dalam urusan dunia yang berkaitan dengan kebutuhan mereka, dan hukum asal pada masalah tersebut adalah tidak terlarang. Maka tidak boleh ada yang dilarang kecuali apa yang dilarang Allah. Karena sesungguhnya memerintah dan melarang adalah hak prerogratif Allah. Maka ibadah harus berdasarkan perintah. Lalu bagaimana sesuatu yang tidak diperintahkan di hukumi sebagai hal yang dilarang?

Oleh karena itu, Imam Ahmad dan ulama fiqh ahli hadits lainnya mengatakan, bahwa hukum asal dalam ibadah adalah tauqifi (berdasarkan dalil). Maka, ibadah tidak disyariatkan kecuali dengan ketentuan Allah, sedang jika tidak ada ketentuan dari-Nya maka pelakunya termasuk orang dalam firman Allah.

“Artinya : Apakah mereka mempunyai para sekutu yang mensyari’atkan untuk mereka agama yang tidak dizinkan Allah?” [Asy-Syuraa : 21]

Sedangkan hukum asal dalam masalah adat adalah dimaafkan (boleh). Maka, tidak boleh dilarang kecuali yang diharamkan Allah.

“Artinya : Katakanlah. Terangkanlah kepadaku tentang rezki yang diturunkan Allah kepadamu, lalu kamu jadikan sebagiannya haram dan (sebagiannya) halal. ‘Katakanlah, ‘Apakah Allah telah memberikan izin kepadamu (tentang ini) ataukah kamu mengada-adakan saja terhadap Allah?” [Yunus : 59]

Ini adalah kaidah besar yang sangat berguna. [8]

Yusuf Al-Qaradhawi dalam Al-Halal wal Haram fil Islam (hal.21)berkata, “Adapun adat dan muamalah, maka bukan Allah pencetusnya, tetapi manusialah yang mencetuskan dan berinteraksi dengannya, sedang Allah datang membetulkan, meluruskan dan membina serta menetapkannya pada suatu waktu dalam hal-hal yang tidak mendung mafsadat dan mudharat”.

Dengan mengetahui kaidah ini [9], maka akan tampak cara menetapkan hukum-hukum terhadap berbagai kejadian baru, sehingga tidak akan berbaur antara adat dan ibadah dan tidak ada kesamaran bid’ah dengan penemuan-penemuan baru pada masa sekarang. Dimana masing-masing mempunyai bentuk sendiri-sendiri dan masing-masing ada hukumnya secara mandiri.

[Disalin dari kitab Ilmu Ushul Al-Fiqh Al-Bida’ Dirasah Taklimiyah Muhimmah Fi Ilmi Ushul Fiqh, edisi Indonesia Membedah Akar Bid’ah,Penulis Syaikh Ali Hasan Ali Abdul Hamid Al-Halabi Al-Atsari, Penerjemah Asmuni Solihan Zamakhsyari, Penerbit Pustaka Al-Kautsar]
__________
Foote Note
[1]. Maksudnya ulama dan umara
[2]. Ushul fil Bida’ was Sunan : 94
[3]. Ini batasan yang sangat penting, maka hendaklah selalu mengingatnya!
[4]. Ushul fil Bida’ was Sunan : 106
[5]. Al-Iqtidha II/582
[6]. Lihat Al-I’tiham I/37 oleh Asy-Syatibi.
[7]..Dari ta’liq Syaikh Ahmad Syakir tentang kitab Ar-Raudhah An-Nadiyah I/27
[8]. Sungguh Abdullah Al-Ghumari dalam kitabnya “Husnu At-Tafahhum wad Darki” hal. 151 telah mencampuradukkan kaidah ini dengan sangat buruk, karena menganggap setiap sesuatu yang tidak terdapat larangannya yang menyatakan haram atau makruh, maka hukum asal untuknya adalah dipebolehkan. Dimana dia tidak merincikan antara adat dan ibadah. Dan dengan itu, maka dia telah membantah pendapatnya sendiri yang juga disebutkan dalam kitabnya tersebut seperti telah dijelaskan sebelumnya.
[9]. Lihat Al-Muwafaqat II/305-315, karena di sana terdapat kajian penting dan panjang lebar yang melengkapi apa yang ada di sini.

Rabu, Januari 19, 2011

UNTUNGnya bertaubat dalam Islam

MANUSIA diberi akal untuk berfikir mengenai apa yang berlaku di sekelilingnya.  Membanding antar dua atau tiga perkara adalah salah satu proses berfikir, menentukan yang betul dan terbaik. 

Bagaimanakah seseorang muslim yang mahu bersih daripada dosa? Oleh kerna hal ini sangat difahami dengan jelas, bahawa Allah tidak meminta hamba-hamba-Nya melakukan acara-acara yang membebankan demi mendapat pengampunan, kita lupa bahawa itulah keuntungan besar sebagai penganut Islam.

Terjemahan ayat 135-136 surah Ali-Imran sebagai berikut: Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji dan menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka, dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa yang telah dilakukan, sedangkan mereka mengetahui (salah dan akibatnya). Orang-orang yang begitu sifatnya, balasannya keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa batang sungai, mereka kekal di dalamnya. Yang demikian itulah sebaik-baik balasan kepada yang beramal (melakukan kebaikan).

Jelasnya untuk mendapat keampunan dosa di sisi Tuhan, seseorang tidak perlu dipaksa mencederakan diri seperti dilukakan sehingga berdarah.  Allah tidak memerintahkan hamba-Nya menghukum diri dengan kesengsaraan mental dan fizikal untuk mendapat keredaan-Nya.  Malah Allah tidak pun mengarahkan seseorang mendedahkan kesalahan dosa kepada orang ramai.  Lihat maksud hadis riwayat Muslim: Sabda Rasulullah, ‘Sesiapa yang menutupi keburukan seseorang muslim lain, Allah menutupi aib atau malunya di dunia dan akhirat.’

Oleh itu, apabila mengetahui ada penganut agama lain yang terpaksa melakukan banyak perkara yang memeritkan diri (sekurang-kurangnya itulah anggapan biasa) semata-mata untuk membebaskan diri daripada dosa, maka sebagai muslim beruntung besarlah kerana hidup dalam Islam. Islam itulah agama yang sejahtera, yang sangat sesuai dengan kehendak hidup manusia, yang memberi ruang keampunan tanpa menunggu hari-hari tertentu!  Keampunan dosa dalam Islam juga terus dipohon kepada Allah, tidak melalui perantaraan sama  ada manusia (elit agama) atau material-meterial tertentu.

Maha suci Allah!

Selasa, Januari 18, 2011

TIDAK merokok dan berdebat, hasilnya apa?

APA hujah terbaik orang yang tidak merokok?  Kerap didengar dia berkata begini: “Duit rokok kau kalau dikumpul selama 30 tahun boleh buat rumah batu tau!” 

Kemudian apa alasan sesetengah pihak yang tidak mahu membincangkan masalah yang dikatakan remeh-temeh dalam bab ibadah.  Biasa kita akan mendengar begini: “Orang Yahudi dan Kristian sudah menguasai segala-gala bidang, kita umat Islam masih bercakap hal bid’ah atau sunah dalam ibadah.”


Mari kita selidik sedikit.  Kedua-dua kenyataan di atas hanyalah retorik, sebagai alasan mengatakan tidak berguna merokok dan mendebatkan hal ibadah.  Mudahnya, siapa yang sepanjang hayatnya tidak merokok telah mendisiplinkan dirinya mengumpul wang kos rokoknya dan menukarkan kos itu untuk membina sebuah banglo?. Orang yang tidak merokok pun sampai tua masih menyewa rumah orang.  Banyak perokok dan bukan perokok mempunyai kediaman yang sama juga!

Pihak yang mengatakan umat Islam mundur kerana mendebat bab sunah dan bid’ah dalam ibadah pun masih terkial-kial dalam pengetahuannya.  Sebenarnya tidak banyak pun debat dan muzakarah mengenai sesuatu ibadah itu sunah atau bid’ah.  Yang banyak melata ialah masyarakat menerima saja ajaran ustaz atau ulama.  Tidak berdebat bab sunah dan bid’ah pun, umat Islam masih lumpuh dan kalah berbanding puak Yahudi dan Nasrani!

Sebenarnya apa?  Cakap yang antirokok dan antisunah-bid’ah juga telah sentiasa kalah, lemah dan tidak punya apa-apa perancangan.  Konon, dengan membuat bandingan pihak lain hebat kerana tidak membincang hal kecil-kecil.

Maju mundurnya sesuatu bangsa tertegak atas prinsip jati dirinya, pegangannya terhadap ilmu.  Setakat orang Melayu sejak 30 tahun dan budaya hari ini, merokok atau tidak, dan debat sunah atau tidak, mundur saja.  Puncanya pemahaman agamanya sudah salah. Tapi begitulah, apabila didebat pemahaman salahnya terhadap Islam, dikatakan remeh-temeh.  Ditambah pula, ‘debat saja, orang lain sudah maju!’  Mereka sendirilah yang memundurkan masyarakat, tetapi tidak mahu berubah, bertambah buruk apabila memaksa pemikiran salahnya kepada generasi muda!

Maka pada saya, debatlah, debatlah…dengan debat kita mengasah pemikiran dan melemparkan yang salah dalam longkang.

Khamis, Januari 13, 2011

WUDUK secara sunah bukan hal remeh-temeh

ENTAH siapa yang memulakan pendapat agar jangan membawakan atau mengajarkan hal-hal yang dimaksudkan kecil atau remeh-temeh.  Di balik itu, gesaannya adalah supaya membawakan hal-hal yang besar dalam ajaran agama.


Maka apabila ada orang membawakan hadis agar berwuduk mencontohi wuduknya Rasulullah berpandukan hadis-hadis sahih, lalu dihimbau semula: Jangan suka meneliti hal-hal remeh-temeh.  Kalau cuba diteliti maksud mengusap kepala dalam ayat enam surah al-Ma’idah, itu cepat-cepat dimaksudkan membicarakan hal-hal kecil.  Jadi pada hemat orang seperti itu, soal hendak sapu dari dahi terus ke belakang kepala atau boleh saja dengan menyentuhkan tangan basah kepada tiga helai rambut, jangan diteliti mana satu yang mengikuti sunnah nabi. Kepada pihak ini cukuplah asal sudah berwuduk, ada sentuhan basah di kepala. Kepala bahagian mana jangan dipersoalkan!

Saya turunkan satu ayat daripada Nabi yang mengancam api neraka berkaitan kecuaian dalam berwuduk.  Dalam satu riwayat Imam Muslim, satu riwayat berbunyi ertinya: sebagian orang tergesa-gesa berwuuduk pada waktu asar.  Kami menemui mereka dalam keadaan tumit mereka masih ‘berkilau’ (masih kering) kerana tidak terkena air.  Maka baginda Rasulullah terus bersabda, ‘celakalah tumit-tumit yang tersentuh api neraka.  Sempurnakanlah wuduk-wuduk kalian.’

Dalam kitab fikah Mazhab Syafie oleh Dr Mustofa al-Khin, Dr Mustofa al-Bugho dan ali asy-Syarbaji Jilid 1 (muka surat 78) ada dicatat bagaimana Rasulullah berwuduk. Dahulu apabila saya membawakan hadis ini, terus ada tuduhan ini ajaran wahabi! Saya ulang, hadis ini ada dalam kitab mazhab Syafie, mazhab yang dipegang oleh muslim Nusantara.  Hadis ini juga diajarkan kepada bakal para hujaj oleh pegawai agama pilihan Lembaga Tabung Haji.  Malangnya pegawai-pegawai ini tidak menerima hadis ini sebagai pegangan dalam mazhab syafie, dikatakan pula pegangan mazhab Hanbali, pegangan orang Makkah.  Mereka mengajarkan kepada bakal hujaj di tanah air supaya berwuduk sebagaimana dalam hadis di bawah hanya di Makkah, dan kalau berwuduk secara nabi itu kalau tersentuh bukan sejenis (bukan mahram) tidak membatalkan wuduknya.  Saya masih menganggap ini salah satu ajaran tidak betul.

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Usman Affan:  Beliau meminta air untuk berwuduk, lalu menuangkan air dari wadah tersebut untuk membasuh kedua-dua tangannya tiga kali. Kemudian beliau berkumur, memasukkan air  ke dalam hidung dan mengeluarkannya, kemudian membasuh mukanya tiga kali dan kedua-dua tangannya hingga ke siku tiga kali (menurut satu riwayat lain: kemudian beliau membasuh tangan kanannya tiga kali dan membasuh tangan kirinya tiga kali), kemudian beliau menyapu kepalanya, kemudian beliau membasuh kaki tiga kali (menurut riwayat lain beliau membasuh kaki kanannya tiga kali, kemudian membasuh kaki kirinya tiga kali), kemudian berkata: ‘sesiapa berwuduk seperti wuduk ini kemudian dia bersolat dua rakaat dalam keadaan dia tidak bercakap mengenai perkara duniawi di antara kedua-duanya (wuduk dan solat), maka Allah mengampunkan dosanya yang telah lalu.’

Menyapu kepala itu sekali dan seluruh kepala, bukan sebagian sebagaimana hadis ini.  Telah berkata Rubaiyi: Saya pernah melihat Rasulullah berwuduk, …….lalu beliau menyapu kepala sebelah hadapan dan sebelah belakang dan dua pelipisan atas dan dua telinga dengan sekali sapu.” (Riwayat Abu Dawud).

Rabu, Januari 05, 2011

AYUHLAH masuk Islam, lihat jaminannya!


TADI saya menghadap buku Ensiklopedia Larangan menurut al-Quran dan Sunnah berkaitan akidah.  Ada perkara yang jarang ditemukan dalam pembicaraan mengenai dosa dan pahala daripada orang yang dahulunya kafir, kemudian beriman kepada Allah dan rasul-Nya.  Hal ini menarik untuk diketahui kerana menjadi satu hujahan berguna untuk didakwahkan kepada bukan Islam dan menjadi penawar yang sangat indah kepada yang baru memeluk Islam.

Mudah bicaranya, katakan seorang memeluk Islam atau beriman kepada Allah, rasul-Nya dan hari akhirat pada usia 50 tahun.  Bagaimana kebaikan atau kebajikan dan dosa-dosa yang dilakukan sejak sekian lama sebelum beriman itu?

Maksud sabda Rasulullah, “Apabila seorang hamba masuk Islam dan baik keislamannya, mana Allah akan menulis baginya pahala atas setiap kebaikan yang dahulu ia kerjakan, dan dihapuskan setiap kesalahan yang pernah dilakukan.  Kemudian setelah perhitungan itu, setiap kebaikan dibalas 10 kali ganda sehingga 700 ganda lagi.  Adapun keburukan dibalas dengan keburukan yang setimpal, kecuali Allah mengampuninya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan dari Hakim bin Hizam, dia pernah bertanya kepada Rasulullah (maksudnya), “Wahai Rasulullah, bagaimanakah dengan amal-amal yang pernah kulakukan pada masa jahiliyah, sepertisedakah, pembebasan hamba dan menyambung silatur rahim. Apakah ada pahalanya?”
Dijawab oleh Rasulullah, “Engkau memperoleh pahala atas kebaikan yang pernah engkau lakukan dahulu sebelum masuk Islam.”

Bagaimana pula seseorang yang banyak amal kebajikan pada masa hayatnya, sedangkan sehingga akhirnya hayat beliau terus tidak beriman kepada Allah, rasul-Nya  dan hari kemudian?

Diriwayatkan daripada A’isyah r.a., beliau berkata, “wahai Rasulullah, Ibnu Jud’an dahulu pada masa jahiliyah suka menyambung silatur rahim dan memberi makan fakir miskin.  Apakah itu bermanfaat kepadanya?’
Dijawab oleh baginda Rasulullah, “Tidak, kerna dia sama sekali tidak pernah mengatakan: Ya Rabbi, ampunilah kesalahanku pada hari pembalasan.”  (Hadis riwayat Muslim)

Maka jelaslah bahawa Allah itu sangat pengampun dan penyayang terhadap hamba-Nya. Tiket utama untuk mendapat keampunan-Nya adalah dengan beriman,  percaya dan membuktikan percaya kepada Allah, rasul-Nya dan hari kemudian.


Selasa, Januari 04, 2011

TG Nik Aziz terus sebarkan tajdid


SEJAK akhbar Berita Harian menyiarkan berita TN Nik Aziz mengatakan boleh bersenamrobik dalam masjid, saya menunggu dua berita.

Pertama: Para penentang pemikiran TG Nik Aziz yang mudah menyerang pendapatnya sekalipun Menteri Besar Kelantan itu menggariskan pemikiran berlandaskan al-Quran dan Sunnah.  Nampaknya saya tidak menemui ulasan kontroversinya. Mungkin pemikiran Islam TG betul atau musuh-musuhnya sudah kepenatan hendak menyanggah hujahnya.

Kedua: Para pengekor pemikiran TG Nik Aziz yang akan menyalahkan akhbar Berita Harian dalam laporannya.  Umum tahu apabila sesuatu pendapat daripada pihak Menteri Besar itu menjadi bahan amukan musuh-musuh politiknya, para pengekornya akan segera berdalih bahawa akhbar Berita Harian adalah Berita Hairan! Senang cakap, mereka kata akhbar harian ini penipu. 

Saya menyokong pemikiran Islam TG Nik Aziz dalam hal bolehnya orang hendak bersenamrobik dalam masjid, maksudnya jika hendak dilakukan di ruang solat utama! Tidak ada perbedaan antara ruang solat utama dengan serambi-serambinya.  Itu istilah sahaja. 

Sebenarnya saya sedang menunggu TG Nik Aziz memecahkan lagi tembok karut yang besar, yang selama ini menjadi halangan dakwah terhadap bukan Islam.  Ya, kalau saya yang menyebutnya, tidak laku.

Bab anjing.  Selama ini orang Melayu sanggup ‘berani mati’ untuk menajiskan semua daripada anjing walaupun mereka tidak pun memberi hujah al-Quran dan Sunnah.  Semua hujah berdasarkan kata-kata ulama, dalam kitab-kitab sekian.  Memang ada hadis yang meminta disamak bejana atau besen basah yang dijilat anjing, tetapi tidak ada apa-apa hukum lagi yang jelas daripada al-Quran dan hadis sahih untuk kesan tapak anjing, sentuhan badan atau bulu sama ada kering atau basah!  Hahahaha, mesti ada yang meremang bulu roma membaca pemikiran saya.  Ya, anda Melayu!

Saya ada pengalaman memberi nasihat kepada seorang remaja yang terlalu sukar menjadi muslim kerana seolah-olah saban  hari terpaksa menyamak sebagian anggota dan pakaiannya.  Namun kerana kehendaknya mahu memeluk Islam, dia terima.  Setelah saya berikan hujah hanya satu bab saja yang perlu disamak, yang lain itu tiada, akhirnya dia berasa nyaman.  Malangnya dia ‘ditangkap’ oleh seorang ustaz Melayu dan kembali diajar ilmu fikah Melayu dalam bab anjing. Saya pula dipandang serong olehnya.

Setelah TG Nik Aziz memecah tembok yang selama ini orang bukan Islam dilarang aktif dalam masjid, saya sedang menunggu runtuhnya satu lagi tembok fikah Melayu yang menyebabkan Islam sangat jauh di sisi bukan Islam, bab sentuhan anjing!