Pengikut

Khamis, Januari 13, 2011

WUDUK secara sunah bukan hal remeh-temeh

ENTAH siapa yang memulakan pendapat agar jangan membawakan atau mengajarkan hal-hal yang dimaksudkan kecil atau remeh-temeh.  Di balik itu, gesaannya adalah supaya membawakan hal-hal yang besar dalam ajaran agama.


Maka apabila ada orang membawakan hadis agar berwuduk mencontohi wuduknya Rasulullah berpandukan hadis-hadis sahih, lalu dihimbau semula: Jangan suka meneliti hal-hal remeh-temeh.  Kalau cuba diteliti maksud mengusap kepala dalam ayat enam surah al-Ma’idah, itu cepat-cepat dimaksudkan membicarakan hal-hal kecil.  Jadi pada hemat orang seperti itu, soal hendak sapu dari dahi terus ke belakang kepala atau boleh saja dengan menyentuhkan tangan basah kepada tiga helai rambut, jangan diteliti mana satu yang mengikuti sunnah nabi. Kepada pihak ini cukuplah asal sudah berwuduk, ada sentuhan basah di kepala. Kepala bahagian mana jangan dipersoalkan!

Saya turunkan satu ayat daripada Nabi yang mengancam api neraka berkaitan kecuaian dalam berwuduk.  Dalam satu riwayat Imam Muslim, satu riwayat berbunyi ertinya: sebagian orang tergesa-gesa berwuuduk pada waktu asar.  Kami menemui mereka dalam keadaan tumit mereka masih ‘berkilau’ (masih kering) kerana tidak terkena air.  Maka baginda Rasulullah terus bersabda, ‘celakalah tumit-tumit yang tersentuh api neraka.  Sempurnakanlah wuduk-wuduk kalian.’

Dalam kitab fikah Mazhab Syafie oleh Dr Mustofa al-Khin, Dr Mustofa al-Bugho dan ali asy-Syarbaji Jilid 1 (muka surat 78) ada dicatat bagaimana Rasulullah berwuduk. Dahulu apabila saya membawakan hadis ini, terus ada tuduhan ini ajaran wahabi! Saya ulang, hadis ini ada dalam kitab mazhab Syafie, mazhab yang dipegang oleh muslim Nusantara.  Hadis ini juga diajarkan kepada bakal para hujaj oleh pegawai agama pilihan Lembaga Tabung Haji.  Malangnya pegawai-pegawai ini tidak menerima hadis ini sebagai pegangan dalam mazhab syafie, dikatakan pula pegangan mazhab Hanbali, pegangan orang Makkah.  Mereka mengajarkan kepada bakal hujaj di tanah air supaya berwuduk sebagaimana dalam hadis di bawah hanya di Makkah, dan kalau berwuduk secara nabi itu kalau tersentuh bukan sejenis (bukan mahram) tidak membatalkan wuduknya.  Saya masih menganggap ini salah satu ajaran tidak betul.

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Usman Affan:  Beliau meminta air untuk berwuduk, lalu menuangkan air dari wadah tersebut untuk membasuh kedua-dua tangannya tiga kali. Kemudian beliau berkumur, memasukkan air  ke dalam hidung dan mengeluarkannya, kemudian membasuh mukanya tiga kali dan kedua-dua tangannya hingga ke siku tiga kali (menurut satu riwayat lain: kemudian beliau membasuh tangan kanannya tiga kali dan membasuh tangan kirinya tiga kali), kemudian beliau menyapu kepalanya, kemudian beliau membasuh kaki tiga kali (menurut riwayat lain beliau membasuh kaki kanannya tiga kali, kemudian membasuh kaki kirinya tiga kali), kemudian berkata: ‘sesiapa berwuduk seperti wuduk ini kemudian dia bersolat dua rakaat dalam keadaan dia tidak bercakap mengenai perkara duniawi di antara kedua-duanya (wuduk dan solat), maka Allah mengampunkan dosanya yang telah lalu.’

Menyapu kepala itu sekali dan seluruh kepala, bukan sebagian sebagaimana hadis ini.  Telah berkata Rubaiyi: Saya pernah melihat Rasulullah berwuduk, …….lalu beliau menyapu kepala sebelah hadapan dan sebelah belakang dan dua pelipisan atas dan dua telinga dengan sekali sapu.” (Riwayat Abu Dawud).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan