Pengikut

Rabu, Januari 19, 2011

UNTUNGnya bertaubat dalam Islam

MANUSIA diberi akal untuk berfikir mengenai apa yang berlaku di sekelilingnya.  Membanding antar dua atau tiga perkara adalah salah satu proses berfikir, menentukan yang betul dan terbaik. 

Bagaimanakah seseorang muslim yang mahu bersih daripada dosa? Oleh kerna hal ini sangat difahami dengan jelas, bahawa Allah tidak meminta hamba-hamba-Nya melakukan acara-acara yang membebankan demi mendapat pengampunan, kita lupa bahawa itulah keuntungan besar sebagai penganut Islam.

Terjemahan ayat 135-136 surah Ali-Imran sebagai berikut: Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji dan menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka, dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa yang telah dilakukan, sedangkan mereka mengetahui (salah dan akibatnya). Orang-orang yang begitu sifatnya, balasannya keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa batang sungai, mereka kekal di dalamnya. Yang demikian itulah sebaik-baik balasan kepada yang beramal (melakukan kebaikan).

Jelasnya untuk mendapat keampunan dosa di sisi Tuhan, seseorang tidak perlu dipaksa mencederakan diri seperti dilukakan sehingga berdarah.  Allah tidak memerintahkan hamba-Nya menghukum diri dengan kesengsaraan mental dan fizikal untuk mendapat keredaan-Nya.  Malah Allah tidak pun mengarahkan seseorang mendedahkan kesalahan dosa kepada orang ramai.  Lihat maksud hadis riwayat Muslim: Sabda Rasulullah, ‘Sesiapa yang menutupi keburukan seseorang muslim lain, Allah menutupi aib atau malunya di dunia dan akhirat.’

Oleh itu, apabila mengetahui ada penganut agama lain yang terpaksa melakukan banyak perkara yang memeritkan diri (sekurang-kurangnya itulah anggapan biasa) semata-mata untuk membebaskan diri daripada dosa, maka sebagai muslim beruntung besarlah kerana hidup dalam Islam. Islam itulah agama yang sejahtera, yang sangat sesuai dengan kehendak hidup manusia, yang memberi ruang keampunan tanpa menunggu hari-hari tertentu!  Keampunan dosa dalam Islam juga terus dipohon kepada Allah, tidak melalui perantaraan sama  ada manusia (elit agama) atau material-meterial tertentu.

Maha suci Allah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan