Pengikut

Selasa, Januari 18, 2011

TIDAK merokok dan berdebat, hasilnya apa?

APA hujah terbaik orang yang tidak merokok?  Kerap didengar dia berkata begini: “Duit rokok kau kalau dikumpul selama 30 tahun boleh buat rumah batu tau!” 

Kemudian apa alasan sesetengah pihak yang tidak mahu membincangkan masalah yang dikatakan remeh-temeh dalam bab ibadah.  Biasa kita akan mendengar begini: “Orang Yahudi dan Kristian sudah menguasai segala-gala bidang, kita umat Islam masih bercakap hal bid’ah atau sunah dalam ibadah.”


Mari kita selidik sedikit.  Kedua-dua kenyataan di atas hanyalah retorik, sebagai alasan mengatakan tidak berguna merokok dan mendebatkan hal ibadah.  Mudahnya, siapa yang sepanjang hayatnya tidak merokok telah mendisiplinkan dirinya mengumpul wang kos rokoknya dan menukarkan kos itu untuk membina sebuah banglo?. Orang yang tidak merokok pun sampai tua masih menyewa rumah orang.  Banyak perokok dan bukan perokok mempunyai kediaman yang sama juga!

Pihak yang mengatakan umat Islam mundur kerana mendebat bab sunah dan bid’ah dalam ibadah pun masih terkial-kial dalam pengetahuannya.  Sebenarnya tidak banyak pun debat dan muzakarah mengenai sesuatu ibadah itu sunah atau bid’ah.  Yang banyak melata ialah masyarakat menerima saja ajaran ustaz atau ulama.  Tidak berdebat bab sunah dan bid’ah pun, umat Islam masih lumpuh dan kalah berbanding puak Yahudi dan Nasrani!

Sebenarnya apa?  Cakap yang antirokok dan antisunah-bid’ah juga telah sentiasa kalah, lemah dan tidak punya apa-apa perancangan.  Konon, dengan membuat bandingan pihak lain hebat kerana tidak membincang hal kecil-kecil.

Maju mundurnya sesuatu bangsa tertegak atas prinsip jati dirinya, pegangannya terhadap ilmu.  Setakat orang Melayu sejak 30 tahun dan budaya hari ini, merokok atau tidak, dan debat sunah atau tidak, mundur saja.  Puncanya pemahaman agamanya sudah salah. Tapi begitulah, apabila didebat pemahaman salahnya terhadap Islam, dikatakan remeh-temeh.  Ditambah pula, ‘debat saja, orang lain sudah maju!’  Mereka sendirilah yang memundurkan masyarakat, tetapi tidak mahu berubah, bertambah buruk apabila memaksa pemikiran salahnya kepada generasi muda!

Maka pada saya, debatlah, debatlah…dengan debat kita mengasah pemikiran dan melemparkan yang salah dalam longkang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan