PENGAKUAN dirinya yang dahulu seorang munafik tertera sebagai tajuk utama akhbar tabloid. Pernah seorang yang terkenal menulis sebuah buku mendedahkan pengalaman buruk atau amalan yang menyalahi Islam. Walaupun secara zahirnya dapat difahami bahawa mereka yang mendedahkan perbuatan-perbuatan dosa atau maksiat kepada Allah sebagai tanda mereka menyesali perbuatan berkenaan, tetapi sebenarnya ada piihan yang jauh lebih baik bagi seseorang yang bertaubat meneruskan kehidupannya yang indah. Sekalipun seseorang berhasrat untuk berdakwah kepada orang lain supaya tidak menjadi pelaku maksiat, tidaklah sehingga mendedahkan perbuatan dosanya pada masa lampau.
foto hiasan
Untuk apa mendedahkan aib sendiri, sekalipun bertujuan supaya orang lain tidak menjadi sepertinya? Dengan pendedahan yang secara meluas, jumlah orang yang mengetahui dirinya dahulu seorang yang ‘munafik’ atau ‘kaki maksiat’ telah bertambah dengan begitu banyak. Jika dahulu yang mengetahui perilaku salahnya hanya segelintir manusia, kini jumlahnya menjadi jutaan orang. Adakah ini satu cara yang dikehendaki oleh Islam?
Elok diperhatikan maksud firman Allah dalam al-Quran surah An-Nisa’ ayat 148-149: “Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya (pengaduan dalam mahkamah). Allah maha mendengar lagi maha mengatahui. Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikannya atau memaafkan kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah maha pemaaf lagi maha berkuasa.”
Cukuplah seseorang yang menyesali perbuatan lampau itu bertaubat dengan bertekad tidak melakukannya semula dan membenci perbuatan itu. Dengan merahsiakan perbuatan dosanya pada masa lampau yang bertahun-tahun itu, dia dapat meneruskan kehidupan sebagai muslim dengan aman tanpa menjadikan dirinya bahan cerita orang ramai. Oleh itu masyarakat juga ‘terkawal’ daripada mendapat bahan cerita baru sesama mereka sewaktu berbual-bual. Dengan itu pintu-pintu umpat atau penggunjingan dalam masyarakat dapat dikurangkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan