Pengikut

Ahad, Julai 26, 2015

HABISlah pahala amal ibadahnya.....

foto hanya hiasan

SETIAP muslim yang melakukan amal ibadah tentulah sangat mengharap mendapat ganjaran yang menjadi harta di akhirat kelak.  Namun bagaimana jika, di sana kelak si pengamal mendapati akaun amalannya tidak sebagaimana yang disangka banyak atau tiada langsung?  Sungguh mendukacitakan.  Daripada al-Quran dan hadis sahih ada penjelasan perihal amalan-amalan yang hilang begitu saja.  Maka kita wajiblah kita berwaspada.

Pertama:  Amal ibadah atau kebajikan yang disekutukan dengan yang lain, maka amal ini hanyut begitu saja. Misalnya seseorang yang melakukan ibadah umrah, dan juga mencari keseronokan di kota suci Makkah. Atau dia sendiri mengatakan, “esok-esok ketika semua pembinaan di Makkah selesai barulah saya pergi berumrah, sekarang pemandangan pun tidak cantik.”

Maksud  firman Allah ayat 110 surah al-Kahfi, “….Maka sesiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya.”

Kedua: Amal ibadah yang asalnya dilakukan dengan ikhlas dan menepati sunah Nabi s.a.w., namun akhirnya tidak berguna di sisi Allah. Ini berlaku apabila si pelaku entah disebabkan apa, dia mengungkit-ungkit amal. Mungkin dia mahu membuktikan telah melakukan amal sebagai pembelaan diri daripada  kata-kata orang lain.

Maksud firman Allah ayat 262 surah al-Baqarah, “Orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah, kemudian tidak mengiringi apa yang diinfakkan itu dengan menyebut-nyebut atau menyakiti (perasaan penerima), mereka memperolah pahala di sis Tuhan mereka.  Tidak ada rasa takut pada mereka, dan tidak bersedih hati.”

Ketiga: Amal ibadah yang dilakukan berdasarkan rekaan, bukan mencontohi sunah Nabi s.a.w., maka amalan itu tiada  nilai di sisi Tuhan.  Tiada  hujah ‘amalan itu sangat baik’, kerna baginda Nabi s.a.w. jelas mengatakan amal yang tidak daripadanya, maka tertolak.

Maksud sabda Rasulullah s.a.w., “Sesiapa  yang beramal dengan sesuatu amalan yang tidak di atas petunjuk kita, maka amal itu  ditolak.”  (Hadis  sahih riwayat Al- Bukhari)

Keempat: Amal kerna riya atau untuk mendapat pujian manusia. Amal itu tertolak di sisi Allah.

Maksud firman Allah ayat 264 surah al-Baqarah, “…. Orang yang menginfakkan hartanya kerna riya (dipamer) kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.  Perumpamaannya (orang itu) seperti batu yang licin yang di atasnya ada debu, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, maka tinggallah batu itu licin lagi.  Mereka tidak memperoleh apa pun daripada apa yang dikerjakan.  Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang kafir.”


Wallahu ‘aklam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan