BAGI penuntut sejarah, berada di negara besar China merupakan sebagian daripada pelajaran hidup sejarah yang dipelajari. Saya mula mengenal sejarah China sewaktu di Tingkatan Satu. Dalam subjek Sejarah Dunia antara lain mendedahkan saya kepada tamadun China purba zaman Shih Huang Ti yang membina Tembok Besar. Kemudian sudah menjadi satu pelajaran wajib dalam sejarah mengenai hubungan empayar Melaka dengan negara China kurun ke-15. Ada rekod di China mengenai hubungan Melaka-China dan ada yang menjadi versi di Tanah Melayu sahaja, tidak di China.
Ketika saya di Kota Larangan atau Forbidden City saya mengimbas Parameswara yang menjadi tetamu kerajaan China, Dinasti Ming. Asalnya, Laksamana Yin Ching berkunjung ke Melaka tahun 1403, iaitu saat Melaka baru saja bermula menjadi negeri atau pemula empayar. Kemudian Laksamana Cheng Ho datang pula ke Melaka sebagai salah satu siri kunjungan luar ketua angkatan laut China abad ke-15. Telah direkodkan Melaka menjadi negara sahabat dengan China. Mungkin saja Cheng Ho datang dengan satu armada besar dan menjadi berita kepada semua kerajaan di Nusantara. Semua penuntut sejarah diajar menerima negara China menjadi pelindung Melaka daripada mana-mana kerajaan yang mahu mengganggu Melaka! Sudah dua kali laksamana agung China ke Melaka, namun Melaka belum membuat kunjungan diplomatik ke sana.
Dalam sejarah Melaka, Parameswara telah melawat China pada tahun 1414 dan 1424. Tentulah Parameswara dilayan sebagai tetamu khas negara sahabat di istana maharaja China. Berdasarkan rekod bahawa kerajaan dinasti Ming baru mula membuat Kota Larangan atau istana agungnya tahun 1406, tentulah Raja Melaka pertama itu tidak menjejak istana agung (sekarang disebut Kota Larangan atau Forbidden City). Kota Larangan itu disiapkan pada tahun 1420 dengan keluasan 72 hektar dan mempunyai 9999 kamar tidur. Itu menggambarkan banyaknya bangunan dalam kota berkenaan.
Di Kota Larangan itulah terletak pusat pentadbiran kerajaan China dari zaman dinasti Ming (saat hubungan Melaka-China dahulu) hingga zaman dinasti Qing. Untuk rekod, dinasti Qing yang berasal daripada Manchu memerintah sehingga maharajanya yang terakhir iaitu Maharaja Puyi yang berusia 6 tahun. Tahun 1911 rakyat menolak sistem pemerintahan beraja di China.
Menjejak kaki di Kota Larangan itu pasti dapat menggambarkan kehebatan atau keagungan kerajaan China zaman lampau. Mudah kata, tidak ada sebuah rumah atau istana di Tanah Melayu yang menyamai luasnya Kota Larangan. Dengan kota seluas itu dilengkapi kemudahan untuk kerajaan besar, tentulah menggambarkan betapa banyaknya rakyat China zaman itu. Ini samalah dengan imej candi Borobudur di Tanah Jawa yang dibina selama 75 tahun mengambarka kekayaan dan keagungan kerajaan Sailendra zaman itu! Tidak ada bedanya dengan manusia zaman sekarang yang mempertontonkan kekayaan fizikal sebagai tanda mempunyai kekayaan dan imej yang agung. Oleh itu fahamlah Putrajaya dibina kerajaan Malaysia sebagai salah satu mercu tanda kejayaan Malaysia. Apa gunanya mendakwa Malaysia negara yang dikenali rakyat dunia luar jika daerah pentadbirannya masih usang dan kecil. Begitu juga apabila ekonomi Malaysia sudah mapan, tentulah tidak sesuai lagi Lapangan Terbang Subang masih digunakan sebagai pintu masuk sebuah negara yang mempunyai wawasan jitu. Hanya orang yang mindanya kecil tidak faham Malaysia memerlukan Putrajaya, KLIA, Litar Sepang dan banyak mercu ekonomi yang moden.
Bagaimana istana Kesultanan Melaka dibandingkan Kota Larangan, yang sama-sama wujud pada kurun ke-15? Itulah imej atau gambaran yang lain. Istana Kesultanan Melaka yang sebenar sudah lenyap kerna tradisi pembinaan di alam Melayu berteraskan kayu. Di China, tradisi pembinaannya berteraskan batu dan kayu terbaik yang disalut simen. Sebagian Kota Larangan seperti dinding, alang-alang dan tiang adalah daripada kayu. Dan semua struktur istana agung itu masih kukuh walaupun sudah ratusan tahun! Namun replika istana Kesultanan Melaka telah dibangunkan seupaya mungkin menyamai seperti dalam buku Sejarah Melayu catatan Tun Seri Lanang. Dengan membandingkan istana Kesultanan Melaka dan Kota Larangan di China, dapatlah kita memahami aspek-aspek lain kedua-dua kerajaan sezaman itu.
Hari ini Medan Tienanmen dan Kota Larangan di Beijing menjadi titik tengah kota Beijing. Ini umpama Kaabah sebagai titik utama pembangunan dan perkembangan kota Makkah jaman moden.
Demikian antara iktibar yang diperolehi sebagai penuntut sejarah tatkala di China.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan