Catatan orang kecil di kota Beijing.
Sewaktu berkunjung di Madinah dahulu, saya mahu
ketawa apabila saya bebas berkomunikasi dengan peniaga-peniaga Arab
sekitar Masjid Nabi dalam Bahasa Melayu. Malah saya kerap bertutur Melayu
langgam Arab seperti bicara P Ramlee dalam filem Ahmad Albab. Sebab itu saya mahu ketawa. Artinya, di
sebuah kota yang jauh dari dunia Melayu Nusantara, saya tidak perlu menggunakan
bahasa asing untuk hidup. Bagaimana di
Beijing?
ketemu Pak Jokowi, orang Tionghua dari Surabaya |
Propaganda China bahawa bangsanya sangat hebat |
Dua hari di kota tua Beijing, saya melihat banyak
wajah Nusantara di kawasan-kawasan pelancongan.
Malah saya disapa oleh seorang lelaki wajah Cina dari Surabaya. Lalu,
bukan lagi saya berbicara dengan lelaki yang bernama Jokowi dalam bahasa
Melayu, malah Bahasa Jawa. Oleh kerna
agak banyak orang dari Nusantara ke Beijing, kerajaan China pasti tidak mahu
membuat orang Nusantara bingung seperti ayam memasuki dunia itik.
Sebelum ini saya juga mendapat maklumat bahawa
peniaga-peniaga Cina yang fasih bertutur Bahasa Arab semata-mata untuk
memudahkan perniagaan mereka dengan bangsa Arab. Maka fahamlah saya mengapa ketika di Madinah
dan Makkah, begitu banyak barang buatan China di sana. Jangan fikir kopiah, sejadah, biji tasbih, jubah
dan semacam barangan berimej Arab Saudi di Makkah adalah buatan bangsa Arab,
tidak! Semuanya diimport dari China, dan
muslim yang ke Makkah dan Madinah menjadikan barangan itu sebagai ole-oleh dari
dua kota suci.
Pertama: Semua pengunjung Nusantara dilayan oleh
pembawa pelancong dalam Bahasa Melayu-Indonesia. Saya katakan lebih kepada bahasa yang
digunakan di Indonesia. Oh, saya
teringat tulisan guru saya Prof Awang Sariyan (sekarang Pengarah DBP) mengenai
tersebar luasnya pengajaran Bahasa Indonesia di serata university seluruh
dunia, bukannya Bahasa Melayu kita atau Bahasa Malaysia. Sebagiannya adalah di
Beijing. Untuk rekod, sebelum menjadi
Pengarah DBP, Prof Awang Sariyan bertugas sebagai profesor Bahasa Melayu untuk
Kursi Pengajian Melayu di Universiti Beijing (maaf jika tersilap nama
universiti).
Di mana-mana pun yang ada penerangan sangat
mendalam mengenai imej China, akan diterangkan dalam Bahasa Melayu
Indonesia. Ini bermakna China telah
menyediakan banyak pegawai atau petugas melayan pengunjung asing menuruti bahasa
pengunjung. Konsep ini berbeda dengan di
negara kita yang lebih menggunakan bahasa Inggeris untuk semua pengunjung
luar. Hal ini bermakna, Bahasa Mandarin
dikukuhkan tanpa gangguan Bahasa Inggeris, tetapi semua pengunjung dari luar
masih tetap mendapat maklumat lengkap dan benar daripada bahasa pengunjung.
Tentulah ada lagi pegawai penerangan yang fasih berbahasa Jerman, Arab,
Perancis, Inggeris, Jepun, Korea dan sebagainya. Ini semua demi kepentingan ekonomi China dan
penerimaan semua penduduk dunia terhadap bangsa dan budaya China.
Kedua: Semua pengunjung akan disajikan dengan imej
China yang hebat. Mereka dibawa digedung
ubat tradisional Cina. China pasti
menekankan sejarah perubatan dan pengubatan bangsa Cina ribuan tahun.
Pegawai-pegawainya pasti memberitahu
semua sumber ubat itu berasal dari mana-mana wilayah China dan memberitahu
semua ubat modern Barat membawa keburukan kesihatan kerna bahan-bahan kimianya.
Semua pengunjung juga dibawa ke pusat pembuatan
barang hiasan bangsa Cina. Batu jade dan Kristal China pasti dikatakan terbaik,
malah pemakainya akan mendapat kebaikan kesihatan. Dan batu-batu berkenaan cukup di serata
negara China. Mana ada pemakai barangan emas (baca produk Barat) diberitahu
kebaikan mengenai kesihatan? Sama ada
pemakai jade menjadi lebih sihat atau tidak, saya yakin kempen ini lebih kepada
propaganda menaikkan imej China kepada masyarakat dunia. Pengunjung juga dipaksa menonton seni
akrobatik China sebagai memantapkan lagi propaganda bangsa Cina sangat hebat.
Ya, semua pengunjung luar bertepuk tangan setelah setiap aksi hebat anak-anak
muda Cina. Pasti tidak ada program
akrobatik di Malaysia dan Indonesia. Maka gambarannya ialah kehebatan bangsa
Cina di mata semua pengunjung luar termasuk dari Barat.
Mereka menjual sejarah China yang lama dan hebat,
pastinya tinggalan dinasti kuno seperti Tembok Besar dan Istana Larangan itu.
Untuk apa, kalau bukan memberi tahu masyarakat dunia bahawa China sudah ribuan
tahun membangun dan menjadi kuasa dunia.
Pastinya pengunjung tidak menemukan kehebatan ribuan tahun dahulu di negara
kuasa besar sekarang, Amerika Syarikat.
Ini mudah difahami. Walaupun China membenci semua amalan feudal kuno
itu, tetapi membanggakannya sebagai warisan bangsa. Semua warisan ribuan tahun
itu akan dijadikan warisan dunia. Warisan dunia berarti menjadi warisan seluruh
warga dunia. Jika banyak benda atau kota
menjadi warisan masyarakat dunia, ‘apa barang’ kalau China tidak menjadi satu
kuasa terbesar dunia? Ya, China mahu
menjadi nenek moyang kepada seluruh manusia di dunia termasuk rakyat Barat di Amerika
dan Eropah. Dan sejarahnya, fosil manusia Peking itu sebagai antara manusia
terawal menurut kajian sainstifik.
Tentulah ini sebagai hujah kuat China bahawa semua manusia di dunia ini
bermula dari Peking atau Beijing.
Amerika ada warisan dunia apa?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan