SEPATUTNYA, calon-calon yang berlawan mencari
sokongan rakyat dalam pilihan raya tidak memburuk-burukkan lawannya. Itulah yang sepatutnya terjadi atas nama
manusia bertamadun. Pilihan raya dikata
sebagai cara paling bertamadun cara memilih ketua yang memerintah, berbanding
zaman dahulu yang ditentukan melalui perlawanan hidup mati di gelanggang atau
melalui peperangan! Tetapi, yang
dikehendaki atas nama bertamadun tidak berlaku.
Maka hari-hari ada saja cerita buruk dan busuk orang yang terlibat dalam
politik: Pemimpin, calon-calon yang akan bertanding, termasuk juga sesiapa yang
menjadi penyokong.
Memang tidak ada pembunuhan, yang hilang nyawa
sebab mahu menjadi ketua rakyat. Namun
memburuk-burukkan peribadi atau membongkar rahsia lawan tentulah bermaksud
membunuh peribadi lawan. Berapa banyak
manusia sanggup mati daripada dimalukan di depan khalayak! Orang perempuan misalnya, merasa lebih baik mati
daripada hidup setelah dirogol. Malunya bukan kepalang!
Jika budaya mendedahkan keburukan peribadi atau
sengaja membuat cerita agar peribadi seseorang tokoh itu hancur, apa
istimewanya demokrasi dengan pilihan raya?
Misalnya, dua calon, A dan B berlawan untuk mendapat sokongan majoriti
rakyat. Namun A dan B saling
memburuk-burukkan antara satu sama lain. Rahsia peribadi dipertontonkan di
depan khalayak. Masalah peribadi
kedua-duanya dijadikan cerita panjang setiap ceramah di depan orang. Jadi kedua-duanya sudah terdedah segala
rahsianya. Kedua-duanya memang tidak
bersih dan begitu buruk akhlaknya. Maka,
sama ada A atau B yang menang, dia bukanlah seorang pemimpin yang
berwibawa. Dia menjadi bahan ketawa di
mana-mana, walhal secara undang-undang dia disahkan sebagai pemimpin.
Dari sudut psikologi, orang yang mendedahkan
keburukan pihak lain sebenarnya dia tidak mempunyai kelebihan apa-apa. Dia tidak ada idea, karisma, pengaruh atau
kesanggupan bekerja dengan betul. Dia
manusia lekeh tetapi mahu disanjung.
Oleh itu modalnya hanya mencari keburukan lawannya. Malangnya, rakyat seakan dipaksa memilih
orang begitu.
Mengapa dalam ceramah atau tulisan politik yang
disukai ialah cerita keburukan dan skandal?
Jawabnya, rakyat memang berfikiran lekeh! Rakyat hanya suka perkara-perkara mainan, lucu
dan lucah. Rakyat, sekalipun banyak yang
sekolah tinggi ada diploma dan ijazah, tetapi dalam mindanya tetap subur
perkara-perkara lekeh, remeh, lucu dan lucah.
Itulah yang menyebabkan mereka tidak membaca agenda atau idea murni
seseorang yang menawarkan diri sebagai pemimpin. Mereka seperti biawak yang cepat menghidu
bangkai, di situlah mereka berkerumun dan ketawa terbahak-bahak.
Malangnya, saya sebut lagi malangnya…, ada antara mereka yang menampakkan
wajah Islam juga sebagian daripada watak-watak bobrok dalam pilihan raya. Mereka ada ijazah agama tetapi melayan nafsu
lekeh, leceh, remeh, lucu dan lucah penyokong-penyokongnya. Sudahlah, jangan beriman sangat dengan
demokrasi, sebaliknya betul-betul kembali kepada ajaran Islam yang asas,
al-Quran dan sunah nabi. Boleh melalui jalan demokrasi, tetapi keutamaannya
ialah al-Quran dan sunnah. Tinggalkan
mana-mana bab demokrasi yang berlawanan dengan al-Quran dan Sunah nabi s.a.w.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan