Pengikut

Ahad, November 04, 2012

SEKULARISME cubaan Barat cetus huru-hara di kalangan ummah


Oleh: Wan Roslili Majid

Fahaman sekular atau sekularisme pada umumnya dimaksudkan sebagai doktrin yang menolak agama atau dengan kata lain, pendekatan yang menafikan kedudukan agama dalam hal ehwal sivil.  Pendukung gerakan pensekularan seperti Harvey Cox yang menghasilkan karya The Secular City (1965) misalnya, menegaskan bahawa gagasan pensekularan didukung oleh ajaran Bible. Menurut beliau, terdapat tiga komponen penting dalam Bible yang menjadi kerangka asas pensekularan. 

“Adalah ganjil untuk mengatakan bahawa negara ini sekular sedangkan pada masa sama terdapat peruntukan agama dalam Perlembagaan seperti dijelaskan dalam Perkara 3 (1) yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan.”

Komponen itu ialah pembebasan alam tabii atau dunia daripada nilai rohani serta agama, penyingkiran nilai agama daripada politik dan penafian kesucian serta sifat kekal nilai dalam kehidupan. 

Doktrin atau ideologi yang dibawa Cox ini disangkal keras ilmuwan terbilang Islam seperti Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism (1978) dan Risalah untuk Kaum Muslimin (1973). 

Antara lain beliau menegaskan pensekularan terhasil daripada konflik lama antara akal dengan Bible dalam pandangan hidup orang barat. Beliau juga menekankan makna yang bersifat rohani bagi alam dan insan.

Doktrin pensekularan akan terus diperjuangkan dan dikembangkan oleh masyarakat Barat kepada seluruh masyarakat dunia termasuk umat Islam. Justeru, tidak hairan jika terdapat kumpulan dalam masyarakat Islam yang menerimanya dengan tangan terbuka.  Malah ada pula yang cuba mewajarkannya dengan berusaha menemukan dasar kefahamannya daripada ajaran Islam dan dalam hal ini, Malaysia tidak terkecuali. 

Malang sekali hal ini berlaku kerana hakikatnya, sejarah dan umat Islam tidak pernah mengalami ketegangan dalam persoalan antara agama dengan negara, atau pertentangan sains dengan agama, seperti dialami masyarakat Barat.

Tolak ketuanan Islam

Seterusnya, di negara ini juga penolakan terhadap ketuanan Islam dan cadangan supaya sekularisme dijadikan dasar perpaduan kebangsaan dinyatakan tanpa berselindung oleh segelintir kumpulan bukan Islam.

Dalam nada dan semangat yang sama, gesaan turut dibuat dari masa ke semasa supaya mengesahkan status negara ini sebagai negara sekular. Hujah yang dijadikan sandaran ialah dokumen tertentu dan sejarah Malaysia yang dikatakan hanya bermula pada 1957.

Sedangkan sejarah kita sudah bermula ratusan tahun dulu iaitu pada zaman Kesultanan Melayu Islam. Jika disandarkan pada Batu Bersurat Terengganu, kedaulatan Kerajaan Melayu berteraskan ajaran Islam telah bertapak kukuh sebelum kurun ke-14 lagi. 

Fakta ini diteguhkan lagi melalui pemakaian undang-undang kanun-kanun Negeri-Negeri Melayu berlandaskan hukum syarak. Selain itu, pandangan hakim dalam kes tertentu juga digunakan bagi menyokong dakwaan bahawa Malaysia bukan negara Islam. 

Dari sudut falsafahnya, adalah ganjil untuk mengatakan bahawa negara ini sekular sedangkan pada masa sama terdapat peruntukan agama dalam Perlembagaan seperti dijelaskan dalam Perkara 3 (1) yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan. 

Sesebuah negara sekular menurut beliau, tidak membenarkan kepemimpinannya untuk turut serta dalam membantu menegakkan agama atau mengizinkan wang pembayar cukai digunakan untuk tujuan keagamaan seperti Perkara 12 (2).

Kedudukan tinggi Islam dalam Perlembagaan yang menjadi penentu agama negara ini harus disyukuri segenap lapisan masyarakat Islam. Ia selanjutnya harus dimanfaatkan untuk menggerakkan usaha memastikan dasar dan sistem yang mahu dibentuk serta dilaksanakan kerajaan berpaksikan ajaran Islam.

Tan Sri Prof Ahmad Mohamed Ibrahim pernah menegaskan supaya Perlembagaan negara dilihat secara positif dan dimanfaatkan agar usaha melaksanakan prinsip Islam akhirnya menjadi kenyataan dan pada masa sama, kepentingan semua kaum di Malaysia diambil kira.

Dedah kepada kepincangan

Masyarakat umum harus menyedari sebarang usaha memberikan laluan kepada gerakan pensekularan hanya akan mendedahkan negara terhadap kepincangan dan kehancuran seperti yang dialami masyarakat serta kebudayaan barat.

Pendukung gerakan itu tidak pernah berhenti menggunakan pelbagai mekanisme yang ada walaupun terhad sifatnya bagi mencapai impian mereka. Lihat bagaimana mereka berusaha memperjuangkan prinsip hak asasi manusia yang mencabar dan menghina agama Islam sedangkan hak asasi manusia tidak diperuntukkan dengan jelas dalam perlembagaan. 

Ketinggian dan ketuanan Islam dalam negara ini tidak menimbulkan kegerunan dalam hati mereka malah dianggap cabaran bagi menjayakan segala rencana. Justeru, umat Islam harus bijak mengatur strategi rapi bagi memastikan segala yang dicita-citakan menjadi kenyataan. 

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan