Pengikut

Selasa, November 20, 2012

MENGAMALKAN satu hadis abaikan hadis lain


TANPA disedari antara kita amat menjaga pengertian satu maksud hadis nabi dan menganggap hadis-hadis lain sebagai tidak begitu bernilai.  Hadis melarang berkata-kata ketika khatib berkhutbah sangat diingat-ingatkan kepada khalayak.  Hadis larangan melintasi orang solat dan solat dengan berhadangan (sutrah) bagai tidak diketahui, sebab banyak berlaku perlanggaran larangan Nabi s.a.w.  Walhal, semua aturan sunah itu untuk setempat iaitu masjid!

foto hiasan 

Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda (artinya),

 “Barangsiapa yang berwudhu, lalu memperbagus wudhunya kemudian ia mendatangi (solat) Jumaat, kemudian (saat khutbah) ia betul-betul mendengarkan dan diam, maka dosanya antara Jum’at saat ini dan Jum’at sebelumnya ditambah tiga hari akan diampuni. Dan barangsiapa yang bermain-main dengan tongkat, maka ia benar-benar melakukan hal yang batil (lagi tercela) ” (HR. Muslim no. 857)

Daripada Abu Darda' r.a. dia berkata: "Nabi s.a.w. sedang berkhutbah kepada manusia, kemudian baginda membacakan sepotong ayat. Ketika itu aku berada di samping Ubay bin Kaab, maka bertanyakan kepadanya:"Wahai Ubay, bilakah ayat ini diturunkan?" Akan tetapi dia enggan berbicara denganku, maka aku mengulangi pertanyaanku dan dia masih enggan berbicara denganku, sehinggalah Nabi s.a.w. turun (dari mimbar). Kemudian Ubay mengatakan kepadaku: Engkau tidak memperoleh apa-apa pun dari (solat) Juma'atmu melainkan perkataan-perkataan yang sia-sia.  Selepas solat, aku menemui Nabi s.a.w. dan mengadukan kepadanya tentang peristiwa tadi. Lantas Baginda bersabda: Ubay benar, apabila engkau mendengar imam berkhutbah maka dengarlah dan diamlah sehingga habis dia khutbahnya" (HR Ahmad no 20780, Ibn Majah no 1111)

Begitu banyak orang melakukan solat sendirian (solat sunat) di masjid tanpa sutrah atau hadangan di depannya.  Tahu-tahu mereka berdiri dan bertakbir, walhal jelas Nabi s.a.w. melarang solat tanpa sutrah atau hadangan di hadapannya.  Kalau tidak mahu membawa hadangan seperti kayu atau kotak, carilah tempat yang berhadangan seperti tiang, dinding atau langsir. 

Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) berkata, Nabi s.a.w. bersabda (artinya):

“Janganlah kamu solat melainkan dengan menghadap sutrah.”

An-Nabi s.a.w. telah melarang seseorang yang hendak melaksanakan solat melainkan dengan menghadap sutrah. Oleh itu, mana mungkin beliau melakukan sesuatu yang beliau sendiri larang?” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/27 -Al-Maktab al-Islami)

Nabi s.a.w. juga melarang sesiapa melintasi orang solat.  Jangan melewati di hadapan orang solat, hukumnya haram!

Ini maksud sabda Nabi s.a.w.

“Sekiranya seorang yang melalui di hdapan orang yang sedang bersolat ini mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) nescaya untuk berhenti menunggu empat puluh lebih baik dari lalu di hadapan orang solat ini”. Berkata perawi: “aku tidak tahu samada Nabi menyebut 40 hari atau bulan atau tahun" ( HR al-Bukhari)

Maksud sabda  Nabi s.a.w.  yang lain pula,

“Apabila seorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah menghalangnya, dan jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi hadapannya maka hendaklah ingin menegahnya, jika ia (yang ingin menyeberang) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah syaitan" ( HR al-Bukhari)

Kesimpulannya, jika beriman dengan hadis larangan berkata-kata sewaktu khatib berkhutbah, maka beriman juga dengan larangan bersolat tanpa sutrah.  Apa lagi larangan melintasi orang solat!

1 ulasan: