AL-QUR’AN terlebih dahulu diwahyukan kepada
manusia, berbanding gara-gara pemikiran demokrasi dan hak asasi manusia zaman
Renaissance Eropah dahulu. Oleh itu
al-Quran tetap sebagai satu rujukan besar apabila berlaku apa juga aktiviti
atau perubahan semua bidang manusia. Revolusi Perancis kurun ke-18 dikatakan
asas pemikiran demokrasi, itu pun wajib dilihat kepada al-Quran, apakah
pemikiran-pemikiran dari Eropah itu sesuai dengan dasar al-Quran.
Hari ini pemikiran demokrasi dan hak asasi manusia
nampaknya sangat subur, sehingga dengan mudah kita mendengar kalimah atau ayat “ini hak kami dalam demokrasi” atau “ini hak-hak
saya sebagai manusia merdeka”. Kalau
saja hak-hak yang baik memang sejajar dengan wahyu Allah, namun sudah biasa
pula kedengaran orang berkata “hak kami membalas perbuatan mereka zaman lampau”
atau “Jika mereka melakukannya dahulu, mengapa kami dilarang”. Ayat-ayat
demikian lebih kepada balas dendam yang menghancurkan kerukunan yang menjadi
keutamaan hidup bersandar wahyu. Bukan
Allah tidak tahu semua masalah manusia, tetapi Allah tetap memberi pilihan yang
terbalik daripada kerakusan hawa nafsu.
Memang orang bersalah, dan perbuatan itu sangat
merugikan pihak yang satu lagi. Hari ini
ayat “kami dizalimi” sangat meriah kerna lumrah sifat manusia hanya melihat apa
keburukan orang dan keinginan-keinginan dirinya yang tidak tertunai. Mudah orang mengatakan “dia zalim sebab hak
saya tidak diberikan”. Dengan meluasnya
pasaran tidak puas hati, maka meluas juga perasaan merasa dizalimi dan tidak
akan memberi maaf. Akibatnya banyak aksi
buruk manusia semata-mata kerna membelakangkan anjuran memberi maaf sekalipun
dirinya sangat dirugikan. Gejala
membalas dendam (tidak memberi maaf) merupakan satu fitnah dalam masyarakat
kerna membawa kehancuran kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat.
Lihat beberapa ayat al-Quran yang menjelaskan
keutamaan memberi maaf sekalipun nafsu manusia asalnya mahu membalas dendam
terhadap pihak lain.
Maksud ayat 22 surah an-Nuur, “Dan janganlah
orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan antara kamu bersumpah
bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kerabatnya, (iaitu)
orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, dan hendaklah
mereka memaafkan dan berlapang dada.
Apakah kamu tidak suka Allah mengampunimu? Dan Allah maha pengampun lagi maha penyayang.”
Ayat di atas turun sebagai respon sahabat Nabi
s.a.w. iaitu Abu Bakr yang berjanji tidak akan memberi nahkah kepada Mitshah
yang telah menyebarkan berita dusta berkenaan isteri Nabi s.a.w. iaitu A’isyah. Bukan kepalang derita akibat berita dusta
sehingga orang yang kuat iman seperti Abu Bakr mahu menghukum (membalas dendam)
terhadap Mitshah. Biarpun terbukti
Mitshah itu bersalah, tetapi anjuran Allah ialah memaafkan, dan sebagai
ganjaran di akhirat sana ialah keampunan Allah.
Jadi, soal memaafkan akibat dirugikan sangat berkait dengan keimanan
terhadap balasan Hari Akhirat. Di dunia,
si pemaaf tidak mendapat keuntungan apa-apa, tetapi balasan baik yang besar di
akhirat. Dan Abu Bakr berkata, “Demi Allah, sungguh aku mengharap keampunan
Allah” (sumber hadis riwayat at-Tabarani).
Maksud ayat 126 surah an-Nahl, “Dan jika kamu
membalas, balaslah dengan (balasan) yang sama dengan siksaan (kerugian) yang
ditimpakan kepada kamu. Tetapi jika kamu
bersabar, sungguh itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang bersabar.”
Ayat itu Allah membenarkan juga untuk membalas
kejahatan orang asalkan sama atau setimpal.
Namun Allah lebih menyukai ‘bersabar’ atau memberi maaf, tidak mengambil
tindakan balas. Bukan Allah tidak tahu
orang yang dizalimi itu rugi, tetapi Allah membimbing manusia ke jalan damai. Ada sifat manusia yang suka berlebih-lebih
dalam mengambil tindakan, konon hendak membalas kejahatan tetapi nanti kerna
amarah dan dendam lama, maka terjadilah berlebih-lebihkan dalam membalas
kejahatan itu. Maka itulah Allah lebih
suka orang yang memberi maaf dan bersabar.
Ada satu lagi ayat, iaitu 149 surah an-Nisa, “Jika
kamu menyatakan sesuatu kebajikan, menyembunyikannya atau memaafkan sesuatu
kesalahan (orang lain), maka sungguh Allah sangat pemaaf dan maha kuasa.”
Moga orang yang sedang berjuang dalam politik zaman
demokrasi ini, yang sering menghalalkan tindakannya atas nama melawan kezaliman
dapatlah merenung kembali ayat-ayat di atas dan jaminan Allah di akhirat
kelak. Ternyata, selama ini telah banyak
fitnah dan marak api permusuhan gara-gara membalas kejahatan sesama muslim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan