Pengikut

Rabu, Februari 04, 2009

POLITIK ini wayang kulitkah?

LAGI-lagi politik yang menjadi perhatian sekalipun banyak yang menyindir orang-orang politik berperangai macam budak-budak. Politik itu kuasa, dan kuasa itu di atas maka orang sering memandang ke atas. Patut sangatlah baik atau busuknya politik wajib dilihat oleh orang-orang dari lembah, macam saya ini.

Sebagai warga negara memang saya mengundi dalam pilihan raya. Itu rahsia sayalah, pilih mana satu. Namun saya tidak mahu menjadi mata rantai pergerakan politik yang dikatakan macam permainan budak-budak belum sekolah. Lihatlah wakil-wakil rakyat yang kita pilih, yang kita sandarkan harapan untuk menolong kita yang di bawah ini, apa dibuatnya di Perak. Orang-orang politik ini hanya menemui rakyat apabila meminta sokongan untuk diangkat ke atas. Apabila sudah berjaya menjadi wakil-wakil rakyat atau menteri, tidak perduli sangat dengan janjinya. Lompat parti sana-sini, betul-betul macam permainan kami budak-budak main perang combat dahulu. Sebelum main perang-perang pilih pasukan mana, tiap-tiap hari kena tukar kawan dan lawan untuk suasana seronok. Politik orang tua yang dikatakan dewasa pun macam itu juga. Ketawalah yoep kita hari ini…..

Amboi semasa berkempen dalam pilihan raya bukan main tunjuk hebat ucapan dan gaya, konon dialah manusia paling teguh pendiriannya. Kemudian datang segerombolan politik lain beritahu rakyat bahawa mereka membawa imej politik yang suci bersih. Apabila sudah tamat pilihan raya, ingatkan semua sudah selesai rupa-rupanya makin haru-biru. Inikah janji orang politik mahu beri rakyat senang dan tenteram. Tak habis-habis pesongkan pemikiran rakyat kepada politik. Apa rakyat dapat sejak habis pilihan raya bulan Mac 2008?

Cakap mahu makmurkan negara apabila dipilih sebagai orang-orang penting dalam politik negara. Ceh…, mereka hari-hari kutuk lawan, kemudian kacau sana kacau sini. Nak tanya, apa yang rakyat dapat apabila pemimpin-pemimpin politik saling berbalah dan berbelit-belit cakap untuk menunjukkan konon maksum macam malaikat. Ada pilihan raya kecil dua tiga kali, apa faedahnya kepada rakyat? Apa dengan buat pilihan raya baru di Perak, maka harga gula tidak jadi naik selama lima tahun?

Mereka, ahli-ahli politik ini kononnya semakin tua semakin matang dan tahan mentalnya. Konon kalau umur 40 tahun masih mentah dalam pentadbiran negara. Itu sebablah banyak ahli politik sudah tua-tua, semua sudah melewati umur pencen 58 tahun. Matang apa? Entah-entah nyanyuk, tapi dimekap-mekap dikatakan matang dan berseni. Aduh, rakyat percaya pula….. inilah yang sedang berlaku.

Semua sedang terganggu, tidak tumpu pada kerja melainkan asyik tengok wayang kulit mamat-mamat ini. Inilah dunia Melayu…..

2 ulasan:

  1. salam suparjo,
    Demokrasi tu Bid'ah - xperlu taip byk2 sbb xkan faham2 jugak.

    wassalam.

    BalasPadam
  2. berani bila tengok kukuh di belakang tetapi cepat mundar-mandir bila tinggal keseorangan.

    BalasPadam