Pengikut

Isnin, Februari 02, 2009

APABILA orang sastera berdemo

APABILA ahli-ahli bahasa, sasterawan dan budayawan yang selama ini bersimposium, membentang kertas kerja dan mengadakan dialog untuk memperkembang dan memperjuangkan bahasa ibunda, kini mereka turun di jalanan dan mengangkat sepanduk, apa sebenarnya yang telah berlaku?

Siapa yang tidak kenal nama Profesor Dr Awang Sariyan, seorang tokoh bahasa yang suaranya lirih dan tubuhnya pun bukan agam. Sebagai salah seorang anak muridnya, saya tidak percaya orang seperti Prof Dr Awang Sariyan akan turun ke medan demontrasi dan memekik kepada orang ramai memberitahu hal-hal bahasa. Demontrasi bukanlah kehendak manusia sepertinya. Sama juga apabila saya melihat tokoh besar Sasterawan Negara A Samad Said bersama pejuang bahasa turut berdemontrasi, ini bukan jiwa A Samad Said. Sasterawan ini kalau baca puisi pun tidak ada pekikan atau memekis-mekis suara sekalipun orang lain kalau baca sajak biasa saja begitu. Orang tua ini selalu bersuara lirih, kerana memang itu lahir dari dalam jiwanya. Lalu mengapa Pak A Samad Said melakukan kerja-kerja yang selama ini dilakukan oleh Tian Chua?

Jawabnya, habis sudah ruang bicara dan semua sudah pekak-tuli. Mereka juga kian sadar yang waktu kian suntuk. Bukan saja waktu kian suntuk kerana hal-hal Bahasa Melayu kian diinjak-injak atas nama ekonomi, tetapi umur mereka juga kian suntuk sedang di belakangnya belum ada pengganti yang berjiwa besi. Siapa yang akan menggantikan Prof Dr Awang Sariyan dan Pak Samad Said? Sehingga tidak keterlaluan untuk menggelar Prof Dr Awang Sariyan sebagai Pejuang Bahasa Melayu yang terakhir di bumi Tanah Melayu!

Biarlah mereka pejuang-pejuang bahasa mengunakan haknya berbicara di jalanan setelah suara mereka di dewan simposium tidak berguna satu sen pun. Telah beberapa kali diadakan rembukan dengan bapak-bapak menteri sejak 2003 lagi, dan kini setelah masuk 2009 maka biarlah mereka berarak sebagaimana mereka yang selama ini marah telah berarak di jalanan. Nanti orang akan kata: Pejuang bahasa apa, tidak berani melawan sedangkan ada anak muda sanggup masuk penjara kerana sehelai kain serban!

(foto ihsan MSO)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan