Pengikut

Rabu, Februari 18, 2009

APABILA dalilnya serban Punjabi

RUPA-rupanya nama Ahmad Nasir Darus yang dipenjara dua hari kerana memilih berserban (tidak bertopi keledar) masih mengiang-ngiang di kuping dua orang Mufti, iaitu Datuk Seri Mohd Tamyes Mufti selangor dan Datuk Seri Harussani Mufti Perak. Lebih kurang kehendak dua orang Mufti ini ialah pihak polis patut jangan menyaman orang yang berserban sewaktu menunggang motorsikal.

Pelik pemikiran dua Mufti ini, dalam mengakui topi keledar lebih menjamin keselamatan, mereka seperti berkempen agar orang yang berpelajaran agama digalakkan tidak selamat sekadar membalut kepala dengan serban. Sepatutnya, Mufti berkempen supaya budak-budak sekolah pondok itu lebih menjaga keselamatan, jaga kepala dan mindanya supaya tidak rosak atau hilang memorinya. Tak tahukah Mufti bahawa kalau kepala terhentak boleh menyebabkan hilang ingatan.

Orang Islam sepatutnya lama tahu pihak polis terpaksa pejam sebelah mata, tidak menyaman berjuta-juta umat Islam yang melanggar peraturan jalan raya setiap hari dan paling banyak pada hari Jumaat. Tunjukkan data tahun 2008 yang lalu, berapa yang disaman polis kerana tidak bertopi keledar kerana berulang alik ke masjid, khasnya hari Jumaat. Ingat, ada kira-kira 16 juta orang Islam di Malaysia, dan separuhnya adalah lelaki. Maka katakan saja ada lima juta lelaki ke masjid pada hari Jumaat dan dua juta menunggang motorsikal yang kebanyakannya tidak pakai topi keledar. Dua juta seminggu tak pakai topi keledar, berapa kena saman?

Mari kira lagi Tuan Mufti, dua juta seminggu (khasnya Jumaat), dalam setahun ada 52 Jumaat bermakna 104 juta pesalah trafik setahun dibiarkan saja oleh polis atas nama ‘budi bicara’. Satu orang kena saman daripada 104 juta yang dilepaskan pun Mufti mahu cakap lagi.

Saya rasa malu dengan orang bukan Islam, isu begini didebatkan. Tanggapan orang bukan Islam ialah ortodoknya peminat serban sehingga melupakan teknologi untuk keselamatan. Lebih memalukan setiap kali orang bercakap hak berserban, sandaran atau dalil wajibnya ialah penganut agama sikh! Bagi mereka, kalau orang Sikh boleh berserban atas jalan, mengapa orang Islam tidak boleh. Mufti pun berdalil begitu.

Serban itu sunah? Ya, tapi bukan sunah ibadah khusus seperti solat. Kalau ada yang ditangkap kerana bersolat jemaah, patutlah Mufti bersilat dengan mengatakan solat jemaah itu sunah. Serban adalah pakaian tradisi bangsa Arab. Maka serban itu sunah adat. Kalau dihujah ada pahala berkali-kali ganda kerana berserban, maaf semua daripada hadis daif dan palsu. Kalau kita orang Melayu nak memakainya, pakailah, sama seperti memakai songkok hitam. Tapi janganlah sampai mencabar undang-undang yang semua faham untuk keselamatan fizikal dan mental.

Kepada Ketua Polis Negara, janganlah serba salah. Polis sudah banyak pejam mata, kerana serban dianggap hal agama. Sensitiflah tu….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan