Pengikut

Sabtu, Januari 03, 2009

ISLAM yang kampungan

IZINKAN saya menulis tanggapan orang desa dan kota mengenai Islam. Saya sendiri hidup dalam dua dimensi: kota dan desa. Desa sebagai tampat kelahiran yang sekarang didiami, kota telah membangukan minda saya sebelumnya.

masih banyak yang berpendapat orang desa kuat pegangan agama dan orang kota bagai setan pelesit. Maka digambarkan orang-orang dari desa yang warak dan sebaliknya orang yang dari kota. Anggapan ini bukan melekat dalam kalangan orang desa sebagai syok dan ada ego sendiri, rupa-rupanya dikongsi orang kota juga. Alahai orang kota…, engkau yang sekolah tinggi pun mengaku tolol juga…

Orang yang buat filem dan drama itu orang kota, bukan orang desa. Sudah banyak
filem dan drama yang menggambarkan watak orang desa patuh ajaran Islam. Orang kota itu perempuannya punya rambut berwarna tidak bertudung, tidak solat, minum arak, masuk keluar disko, ahli maksiat dan macam-macam. Penulis skrip juga gemar membawa watak orang patuh agama itu datangnya dari desa, macam ibu bapa atau saudaranya. Kelihatan bodoh dan miskin, tapi pakai kopiah dan perempuannya bertudung!

Lebih dahsyat apabila dalam drama menghukum orang kota yang hendak bertaubah mestilah tinggal di desa. Watak ini akan meninggalkan kekayaan korporatnya tinggal di desa membela lembu! Wah, orang pun percaya dan memuji pengorbanan watak ini, yakin itu keredaan Allah.

Apa ini? Mereka melihat Islam bukan di kota-kota walaupun wahyu diturunkan di Kota Makkah. Mereka hanya percaya Islam dapat diamalkan oleh masyarakat kota zaman Madinah kurun ke-7, bukan orang-orang kota kurun ke-21. Mereka mengatakan orang-orang di desa sekarang bagai orang-orang kota pada zaman Madinah kurun ke-7 dulu. Ambooiiii!

Puncanya mereka menafsir Islam itu sebagai ajaran ritual semata-mata. Islam itu hanya diimejkan dengan kopiah dan tudung labuh, kehidupan yang tidak hiruk pikuk. Sebenarnya tafsiran tepat mereka ialah kerana di desa tidak ada padang lumba kuda, kelab-kelab malam dan pentas-pentas hiburan. Walhal di desa pun ada pembeli nombor ekor, ada makcik berkemban sambil menjemur pakaian, ada kes seks terlarang. Ya, tidak banyak sebab penduduknya tidak banyak seperti di kota.

Di desa tidak ada universiti sebagai pusat keilmuan, yang ada hanya berharap kuliah maghrib yang membaca kitab kuning saja. Walhal ilmu, termasuk hal kemahiran keduniaan adalah ilmu Islam. Orang kaya banyak di kota berbanding di desa, dan yang banyak berzakat itu orang kota. Yang banyak solat berjemaah itu orang berilmu yang banyak ada di kota. Yang banyak berfikir dan berusaha dakwah itu sah banyak orang kota berbanding orang desa.

Yang banyak menggerakkan ekonomi itu orang kota dan limpah kemakmuran masuk ke desa. Kemakmuran desa sangat bergantung keupayaan ekonomi orang kota. Tapi kerana orang tidak faham bahawa Islam itu juga masuk bab ekonomi, maka tidak dikira langsung bahawa kota lebih Islam berbanding desa.

Selagi orang melihat Islam itu kecil seperti tempurung, selagi itulah mereka memberi contoh yang di bawah tempurung itu sebagai contoh Islam. Selagi Islam itu hanya dilihat pada kain serban, biji tasbih, kain pelikat dan selipar maka selagi itulah banyak yang tertipu. Kasihan…. Tipah tertipu!

1 ulasan: