Pengikut

Jumaat, Januari 16, 2009

POLITIK memang pelik tapi benar

POLITIK ini betul dunia pelik yang disahkan oleh orang, termasuk intelektual juga ulama. Cuba perhatikan orang-orang yang sebelumnya bercakap mengenai pentingnya perpaduan, hebat. Pernah ada orang besar agama cakap: Kita tidak mahu bincang perbedaan hal furuk agama, nanti berpecah. Katanya lagi, untuk jaga perpaduan umah, semua muslim ikut satu pegangan aliran saja!. Itu cakap dalam masjid, apabila keluar saja dia pun buat tidak perduli bahawa politik itu begini: Dia musuh kita, jangan percaya cakap dia, mereka salah, kami betul, biarkan mereka di sana, jangan masuk kumpulan mereka! Malah ada orang agama yang dua alam pun…

Ada orang disanjung sebagai tokoh politik semata-mata bergantung kepada nama tokoh lain. Untuk dilihat hebat, mula-mula dia akan menjadi pengkagum seorang tokoh dan sanggup menerima apa saja tindakan kerana mempertahankan Sang Tokoh. Maka di mana-mana dia akan berhujah bahawa Sang Tokoh adalah penanda aras baik buruknya pentadbiran negara. Mamat ini bukan ada agenda atau wawasan untuk negara, dia betul-betul menjadikan Sang Tokoh sebagai modal politik sehingga dia pula disanjung bagai wira. Kata Upin dan Ipin: Betul-betul-betul!

Kemudian apabila dirasakan orang sudah kurang memberi perhatian kepadanya, mamat ini bertukar menjadi pengkritik paling dahsyat kepada Sang Tokoh. Maka namanya naik semula. Al-Maklum, kalau dia sudah berani mengkritik seorang tokoh yang selama ini dikagumi, tentu orang akan anggap kehebatan mamat ini sudah mengatasi tokoh yang dijadikan subjek utamanya dulu. Upin dan Ipin pun kata: Betul-betul-betul!

Anehlah kan cara ini, tapi orang terima juga, sebab orang pun berfikiran aneh macam mamat tadi.

Kemudian sifir orang berpolitik ialah tidak boleh berkata yang bersalahan dengan pendapat Sang Ketua. Hebat mana pun idea seorang ahli politik, dia kena tunggu sang ketua bercakap benda yang sama. Kalau beri idea hebat-hebat sedangkan ketuanya tidak terfikir pun ideanya, alamatlah labu…. Jadilah kisah Singapura dilanggar todak! Yang malang ialah apabila orang cerdik yang berpegang kepada prinsip kebenaran masuk politik, orang mudah dapat membaca mana tindakan ilmiahnya berbanding keanehannya. Dah masuk politik, kena buat lawak bodoh juga…

Menjadi ahli politik wajib assabiyah! Kuatkan puak, kelompok atau parti. Wajib sokong dasar parti, cakap ketua parti dan jangan sesekali memuji mereka yang dicop sebagai musuh parti. Baik dan suci bagaimana pun, kalau orang itu bukan daripada kalangan ahli partinya, pandang dia itu sebagai lembu bongok! Kutuk dan londehkan kainnya supaya imej dan haluan hidupnya rosak. Kalau yang disasar itu sudah kalah, merana dan rugi, sorak ramai-ramai sampai puas.

Kalau ada kawan ahli parti yang buat salah dan dosa, jangan salahkan dia. Bela juga dari mana-mana sudut, asalkan dia dapat diselamatkan maruahnya. Buatlah apa-apa perkara untuk basuh arangnya, pujilah pada mana-mana yang munasabah. Yang sudah itu sudah, tutup rapat segala malu durjana. Ewah, kalau yang buat salah itu orang bukan puaknya, lanyaklah sampai lembik tujuh keturunan.

Anehnya, selepas bertubi-tubi mencemuh orang, menyorak, menyindir termasuk menghina orang, masuk ke masjid bersolat dan berdoa. Keluar masjid, buat lagi…

Asalkan nak mulakan cakap itu gunakan bahasa Arab dan ada sulaman ayat alquran, lepas itu hentam sajalah. Kalau orang biasa bohong dikata dosa, orang politik bohong dikata ‘kenyataan politik’. Porah! Kisah ini bukan merujuk satu parti politik saja, samalah dua kali lima mana parti yang berlawan dalam pilihan raya.

Kasihan anak-anak kecil, remaja dan anak-anak muda berbapak-bapakkan orang macam ini. Budak-budak ini ingat itulah contoh terbaik, umpama nak masuk syurga kena buat macam yang mereka lihatlah. Hancus, hancus!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan