Pengikut

Selasa, September 15, 2015

MALAYSIA setiap 16 September



TANGGAL 16 September merupakan Hari Persekutuan Malaysia.  Negara persekutuan Malaysia terhasil  melalui gabungan empat wilayah iaitu Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada tanggal 16 September 1963. 

Gagasan Persekutuan Malaysia telah disebut awal oleh pemimpin Melayu, Dato Onn Jaafar pada jaman penjajahan British lagi.  Kemudian pada tahun 1961 Perdana Menteri Negara Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra telah menyebutnya semula di Singapura.  Rancangan Persekutuan Malaysia ialah Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei.  Kemudian berlaku kemarahan oleh Parti Rakyat di Brunei dan Sultan Brunei menarik diri daripada menyertai Malaysia.

Persekutuan Malaysia

Yang paling mengesankan ialah Singapura. Pemimpin di Singapura  yang paling kuat menyokong Malaysia ialah Lee Kuan Yew.  Melalui proses pungutan suara di pulau itu, lebih 70 persen penduduk mahu Singapura menyertai Malaysia.  Di Sabah dan Sarawak, setelah melalui penyelidikan oleh Suruhan Jaya Cobbold dan Suruhan Jaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), majoriti besar penduduknya mahu menyertai Malaysia.  Namun Sabah dan Sarawak meminta beberapa kuasa autonomi untuk menjamin keutuhan negeri, lalu dibenarkan oleh Perlembagaan Malaysia.  Singapura tidak meminta apa-apa.

Maka tanggal 16 September 1963 telah rasmi negara besar Malaysia terhasil daripada kerelaan, pengorbanan dan tolak ansur empat wilayah: Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Perlembagaan kemerdekaan Tanah Melayu 1957 telah dipersetujui menjadi asas penulisan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Cabaran pertama Malaysia ialah Konfrontasi Indonesia yang dilancarkan oleh Presiden Soekarno. Indonesia menuduh Malaysia merupakan negara penjajah baru apabila menguasai wilayah Singapura, Sabah dan Sarawak. Unit-unit tentara Indonesia telah digerakkan di sempadan Sabah, Sarawak termasuk ke Johor dan Selangor.  Komando tentera Indonesia juga didaratkan di Singapura, dan mereka terkorban!

Filipina juga membantah negara Malaysia dengan sebab Sabah dikatakan sebagai sebagian negara Filipina.  Alasan Filipina ialah timur Sabah dulunya dalam kuasa Kesultanan Sulu yang berpusat di Mindanao. Apabila Mindanao masuk Filipina, maka hukumnya Sabah mesti masuk Filipina.  Tantangan Filipina tidak gencar, hanya dengan suara.

Konfrontasi Indonesia tamat apabila Jeneral Soeharto menjadi Presiden Indonesia menggantikan Soekarno.  Tun Abdul Razak mewakili Malaysia dan Tun Adam Malik mewakili Indonesia menandatangani perjanjian tamat sengketa dua negara serumpun.

Singapura dipisahkan daripada Malaysia pada 15 Ogos 1965 disebabkan pemimpin di Singapura tidak memenuhi janji sewaktu membentuk Malaysia.  Jika dulunya Lee Kuan Yew menerima konsep perbedaan rakyat untuk peribumi dan bukan pribumi, setelah dalam Malaysia beliau kerap berteriak. Ini menjadi jalan permusuhan kaum. Tidak ada pilihan dari Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, maka Singapura dikeluarkan.  Mungkin semua sudah dalam rencana British dan Lee Kuan Yew sewaktu memulakan rancangan Malaysia. LKY menerima semua syarat untuk masuk Malaysia, kemudian berteriak-teriak untuk dibebaskan. Dengan itu beliau berjaya mempergunakan Malaysia untuk menaikkan diri sebagai salah seorang pemimpin sebuah negara.  Sejarah sedang mengadilinya.

Syukur kepada Tuhan, Malaysia terus berjaya sekalipun tetap menempuh cabaran.  Rakyat sudah faham, keutamaan adalah keselamatan dan kedaulatan negara. 


Terus maju Malaysia!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan