KOTA Bandung di Jawa Barat menjadi tumpuan
pelancong dari Malaysia. Apa yang mereka cari di sana? Sudah berkali-kali difahamkan
tidak ada menu mi bandung dan air bandung sebagaimana popularnya
makanan itu di Malaysia. Air bandung
sebagaimana di Malaysia disebut es campur di kota Bandung. Es campur di Malaysia kan ABC! Berbeda sama
sekali.
Bandung adalah kota orang kreatif, tetapi pelancong
Malaysia hanya melihat produk kreativiti berkaitan pakaian. Saya tanyakan sahabat-sahabat adakah mereka
mahu menikmati persembahan orkestra angklung di Saung Angklung Udjo di Bandung
Timur. Di sana ada pusat pembuatan angklung sampailah kepada persembahan
angklung untuk umum. Meraka tertawa,
tidak mahu. Musik berasaskan buluh atau bambu bukanlah satu tradisi kami di
Sabak Bernam. Seingat saya hanya pada tahun 1976 sebuah sekolah rendah di Tebuk
Pulai, Sabak Bernam mempunyai pasukan lengkap memainkan angklung sehingga
menjadi sebagian program bersama Jamal Mohamad dalam rancangan popular di RTM “Rancangan
Kanak-kanak”.
Oleh itu pelancong Malaysia bersedia untuk mengunjungi
Pasar Baru yang menjual pelbagai jenis pakaian.
Selain itu mereka mesti ke Jalan Cibaduyut untuk membeli barangan kulit
seperti tali pinggang, tas tangan, dompet, kasut dan jaket. Boleh lagi ke Chempalas untuk menambah
pembelian dan koleksi pakaian. Kemudian
satu yang mesti dikunjungi ialah Toko Tiga, pusat jualan pakaian jeans.
Mengapa pelancong Malaysia siap berbelanja hal-hal
pakaian di Bandung? Jawabnya, harganya memang lebih murah dibandingkan di
mana-mana kota di Malaysia. Orang Sabak Bernam, Selangor jika mahu berbelanja
pakaian batik dan songket akan ke negeri
Kelantan dan Terengganu. Namun, pasar-pasar di Kelantan dan Terengganu pun
tidak dapat menandingi harga rendah di Bandung.
Maksudnya, setiap pelancong Malaysia mesti cekap atau pantas membuat
perbandingan harga pakaian di Bandung dengan mana-mana kedai atau toko di Malaysia.
Ya memang harga seluar jeans tulen lebih rendah di
Toko Tiga berbanding di Malaysia. RM100 lebih murah untuk seluar dan
jaket! Penggemar jeans memang geram
banget di Bandung! Mudah kata, semua
jenis pakaian memang jauh lebih murah di Bandung berbanding di Pasar Siti Khadijah
(Kelantan) dan Pasar Payang (Terengganu) pun.
Bahasa juga memainkan peranan penting dalam soal
tawar menawar. Untungnya saya mudah
berbahasa Jawa walaupun kebanyakan orang Bandung adalah Sunda. Mereka tidak tahu berbahasa Jawa, tetapi
dengan saya memulakan bicara dan menyulami kata dengan istilah Jawa, satu
kelebihan mendapatkan harga istimewa. Ini diakui sendiri oleh teman saya.
Dengan ngomong jawa, saya berjaya membeli sebungkus jajan berharga Rp10,000 dan
dia terpaksa menerima harga Rp15,000 (dia tak membelinya).
Oh ya ada yang lebih murah selain di pasar-pasar
dalam kota Bandung. Namun ada risiko atau pilihan terhad. Misalnya kaos oblong atau T-Shirt leher bulat dibeli pada harga
Rp30,000 hingga Rp35,000 di dalam kota, tetapi pada hari akhir pelancong hendak
pulang, penjual jalanan di hadapan hotel bersedia menjual kaos oblong itu
Rp20,000 sehelai. Barangan seperti dompet dan tali pinggang pun harganya
ditawarkan lebih murah pada saat akhir, apa lagi apabila bas sudah dihidupkan
enjinnya. Hebatkan!
Tempat lawatan yang tidak berasaskan shopping dan
sudi dikunjungi ialah Tangkuban Parahu yang tingginya lebih 1800 meter dari
aras laut. Namun sekarang kos ke gunung
itu agak mahal berbanding sebelum ini. Tangkuban
Parahu dilawati hanya berasaskan lagenda cinta Sang Kuriang kepada ibunya
Dayang Sumbi. Cinta mahu kahwin!
Kos seorang ke Tangkuban Parahu termasuk kenderaan van turun-naik ke bahagian
bawah berhampiran kawah ialah Rp300,000. Bukan ada apa sangat pun
di Tangkuban Parahu, hanya kawah gunung berapi yang masih mengeluarkan
asap. Bau belerang di sana, dan
pelancong dinasihatkan menyediakan penutup hidung seperti waktu jerebu!
Ada yang kapok atau tak
mahu lagi ke Tangkuban Parahu. Pemandangan memang indah dan lebih dingin
berbanding di dalam kota. Namun aksi penjual cenderamata di Tangkuban Parahu
memang agak ekstrim (maaf ya warga mukim Bandung). Turun saja dari van pelancong pasti akan
ditemani seorang yang sudi untuk bercerita tentang Tangkuban Parahu termasuk
mengambilkan foto-foto anda dengan menggunakan kamera anda sendiri. Ke mana pelancong pergi dia pasti diekori
sehingga barang yang mahu dijualnya dibeli.
Jika pelancong mahu ‘bebas’ belilah barangan dia walaupun agak mahal.
Selepas itu pelancong hanya ditawar secara biasa-biasa oleh mana-mana penjual
cenderamata. Ingat tu….!
Pengalaman adalah guru
terbaik dalam kehidupan. Berjalanlah di muka bumi melihat anugerah Tuhan kepada
hamba-hamba-Nya.
Menarik kesahnya
BalasPadam