Pengikut

Khamis, Julai 17, 2014

KATA Imam: Ruh bersenang-lenang dengan kiriman pahala yang melimpah-ruah

CATATAN ini sebagai rekod rujukan saya (boleh juga digunakan oleh orang lain). Hari ini 17 Julai 2014 di sebuah masjid dalam daerah Sabak Bernam diadakan sambutan Nuzul al-Quran. Pihak masjid dengan beberapa institusi tempatan telah bekerjasama menjayakan program ini.  Maka diundanglah sekian banyak penuntut tahfiz untuk membaca al-Quran  sebanyak 30 juz dan pahalanya dihadiahkan kepada para arwah terpilih yang warisnya membayar sekian puluh ringgit untuk seorang arwah.

Selepas solat Maghrib diadakan ceramah berkenaan kepentingan al-Quran dalam hidup. Kesimpulannya, penceramah mengajak semua hadirin menjadikan al-Quran sebagai panduan yang sebenarnya supaya kehidupan rakyat di Malaysia menjadi aman sejahtera seperti kehidupan zaman terdahulu.

Imam masjid selaku pengerusi membuat ulasan dengan memberikan dalil begitu bermanfaatnya sebanyak 30 juzuk al-Quran yang pahala bacaannya itu sudah dihadiahkan kepada arwah-arwah terpilih.  Beliau memberikan dalil mimpi orang alim. Katanya, Si Alim bermimpi berada di alam barzakh dan memerhatikan semua yang ada di sana sedang mengutip sesuatu kecuali seorang lelaki yang bersantai saja.  Maka Si Alim mendatangi lelaki yang sedang bersantai untuk mendapat informasi. Lalu si lelaki yang bersantai itu memberitahu si Alim bahawa semua orang sedang mengutip pahala bacaan al-Quran yang dihadiahkan oleh orang-orang yang masih hidup. Dan dia tidak mengutip pahala bersama ahli kubur lain kerana sepanjang berada di alam barzakh dia sentiasa mendapat kiriman pahala bacaan al-Quran daripada anak lelakinya yang bekerja di pasar.  Kata Imam masjid, Si Alim terjaga dari mimpi dan bergegas ke pasar. Si Alim mendapati seorang lelaki sambil berjualan, mulutnya tidak henti membaca ayat al-Quran. Dia dikatakan sentiasa mengirim pahala kepada arwah bapanya!

Demikianlah dalil oleh Imam Masjid bahawa pahala bacaan al-Quran oleh orang hidup sangat bermanfaat kepada arwah-arwah sehingga dia mengatakan bahawa para arwah yang mendapat kiriman pahala bacaan al-Quran sedang bersenang lenang kerana pahala yang melimpah-ruah.

Komen saya:

Mimpi orang biasa seperti kita atau imam masjid sekalipun tidak boleh dijadikan dalil atau hujah berkenaan alam ruh. Ruh bukanlah perkara yang dapat dinyatakan secara fizikal. Malah alam kubur yang dikira paling dekat dengan kita yang masih hidup pun masih tidak dapat dibuktikan secara fizikal berkenaan soal-jawab malaikat, nyaman atau siksanya dalam kubur. Allah yang Maha Mengetahui hal ruh atau kehidupan orang mati. Lihat firman-Nya dalam surah Al-Israa’ ayat 85 (maksudnya), “Dan mereka bertanya kamu (Muhammad) tentang ruh. Katakanlah, ‘ruh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu diberi pengetahuan hanya sedikit’.”  Menurut Abdullah bin Abbas r.a., ayat berkenaan diturunkan setelah sekelompok kaum Yahudi bertanya kepada Rasulullah berkenaan ruh.

Tidak ada riwayat bahawa baginda Nabi s.a.w. melakukan bacaan al-Quran sama ada sendiri atau berjamaah bersama para sahabat kemudian pahalanya dikirimkan kepada arwah keluarga baginda. Walhal peringatan tentang kematian yang berhadapan dengan keadilan neraca Allah, tentang syurga dan neraka Allah sangat jelas dalam al-Quran.  Rasulullah sangat bersedih dengan kematian ahli keluarganya seperti isteri baginda, sepatutnya baginda Nabi paling hebat memberi contoh bagaimana membaca al-Quran untuk dikirimkan pahalanya kepada ruh isteri baginda.  Ini tidak berlaku.

Cara sebagian ahli agama kita melakukan ibadah untuk orang mati sedangkan baginda Nabi tidak melakukannya seolah-olah mendakwa Rasulullah tidak menyampaikan ajaran Islam dengan sebenarnya.  Bab mengirim pahala kepada orang mati Rasulullah tidak ajar, (adakah) mujur ulama Melayu dapat mengesan ketirisan Nabi dalam menyampaikan Islam! Begitukah?

Nanti ada tukang hujah berkata: "Nabi tidak larang, maka boleh buat."
Jawabnya begini: "Sila azan dan iqamah untuk solat tahajud atau tarawih, tidak ada larangan khusus daripada Nabi untuk hal itu."

Walhal baginda Nabi telah melarang melakukan ibadah baru yang direka-reka sendiri, maksudnya ibadah yang tidak ditunjukkan oleh baginda Nabi tetapi  orang membuatnya juga. Maksud hadis daripada Aisyah r.a. Nabi bersabda (maksudnya), “Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan kami (hal agama) perkara yang tidak ada padanya, maka ia (rekaan agama) tertolak.” (Riwayat Al-Bukhari).


Al-Quran pula sangat jelas mengatakan seseorang hanya menerima atau menanggung kebaikan dan keburukan diri sendiri. Ayat 38-39 surah Al-Najm (maksudnya), “Sesungguhnya seseorang tidak memikul dosa perbuatan orang lain dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan apa yang diusahakannya.”  Boleh juga rujuk ayat 46 surah al-Fusilat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan