Pengikut

Isnin, Julai 21, 2014

BOLEHKAH perempuan dalam haid membaca al-Qur'an?

KATA seorang ustaz di kaca TV (lebih-kurangnya begini), “Perempuan-perempuan yang sudah putus haid sepatutnya lebih bersyukur kepada Allah sebab sekarang mereka sudah boleh melakukan amal ibadah tanpa ada sekatan, tidak seperti pada zaman didatangi haid.”  Makna lain daripada ayat berkenaan ialah: Perempuan yang didatangi haid rugi kerana tidak dapat beribadah (mendapat pahala ibadah di sisi Allah) sebagaimana para lelaki yang dapat berterusan mendapat pahala ibadah.

hanya hiasan

Rasa rugi itu bertambah tebal apabila berada dalam 10 hari terakhir Ramadan yang salah satu malamnya adalah Malam al-Qadr. Pada malam itu pahala amal ibadah akan diganda-ganda oleh Allah swt. Betapa ruginya menjadi perempuan dalam haid tanpa boleh melakukan satu pun amal ibadah khusus kepada Allah!  Begitukah?

Bagi larangan beribadah kepada perempuan dalam seperti solat, berpuasa dan tawaf di Baitullah memang sudah jelas dalilnya. Namun larangan membaca al-Quran kepada perempuan haid tidak ada!   Jika tidak ada, maka membaca al-Quran adalah satu amalan yang sama kedudukannya kepada lelaki atau perempuan sama ada semasa haid atau tidak.

Catatan ini merupakan pilihan lain daripada kefahaman biasa bahawa ‘haram dan berdosa perempuan haid memegang al-Quran dan membacanya’.

Mengapa perempuan dalam haid boleh membaca al-Quran sebagaimana dia bukan dalam haid. Jawabnya mudah, tidak ada larangan khusus daripada Allah dan rasul-Nya.  Selama ini kita diberikan hujah ayat 79 surah Al-Waqi’ah (maksudnya) “Tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang disucikan.” Secara harfiah ayat berkenaan seperti ditujukan kepada kita, namun jika diteliti lebih mendalam ayat berkenaan tiada ada kaitan dengan kita sama sama berwuduk atau tidak, atau dalam junub atau tidak. Ayat berkenaan merupakan sumpah Allah bahawa al-Quran di Lauh Mahfuz terpelihara daripada syaitan.

Ayat 75-82 surah al-Waqi’ah: “Maka Aku bersumpah dengan beredarya bintang-bintang.  Sesungguhnya sumpah itu adalah sumpah yang besar jika kamu mengetahui. Sungguh al-Quran ini adalah bacaan yang mulia, pada kitab yang terpelihara (Lauhul Mahfuz), tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang disucikan.  Diturunkan daripada Rabb (Tuhan) semesta alam. Maka apakah kamu menganggap al-Quran ini perkara remeh? Kamu (mengganti) rezeki dengan mendustakan (Allah).”

Siapakah yang mentafsirkan bahawa ‘orang-orang yang disucikan' adalah para malaikat (bukan manusia)? Antara para sahabat nabi yang berfahaman demikian ialah Ibnu Abas, Anas bin Malik, Mujahid, Ikrimah, Sa’id bin Jubair, Adh-Dhahak, Abusy Sya’tsa, Jabir bin Zaid, Abu Nahik, As-Suddi dan Abdurrahman bin Zaid. Sila lihat Tafsir Ibn Katsir bagi ayat berkenaan.

Maka ayat 79 surah al-Waqi’ah itu tidak dapat dijadikan dalil haramnya orang dalam hadas menyentuh al-Quran. 

Ada juga hadis yang membawa maksud “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid.” (Riwayat At-Tarmizi dan Al-Baihaki) Hadis ini dinyatakan hadis daif oleh ahlul hadis seperti Al-Bukhari dan dan Al-Baihaki.

Kata Imam Ibn Taimiyah dalam Majmu al-Fatawa: Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada zaman Rasulullah s.a.w., maka seandainya membaca al-Qur’an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi s.a.w. akan menjelaskannya kepada umatnya. Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satu pun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi s.a.w.. Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid pada zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sememangnya tidak haram.

Sebagai nota tambahan: Al-Quran pada zaman Nabi s.a.w. tidaklah sama maksudnya seperti pada hari ini. Pada zaman itu yang disebut al-Quran merupakan rangkaian ayat yanag tertulis pada kertas, kain dan sebagainya termasuk yang dihafal para sahabat.  Hari ini maksud al-Quran ialah sebuah mushaf atau naskhah 30 juzuk. Tidak ada riwayat yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. mengarahkan sahabat yang akan menulis wahyu supaya bersuci daripada hadas dahulu sebelum mencatat wahyu-wahyu berkenaan.  Lagi pula tujuan al-Quran diturunkan atas bumi ini sebagai panduan hidup manusia. Oleh itu secara logiknya pula, tidak mungkin ada sekatan untuk manusia membaca (termasuk menyentuhnya) demi memahami kandungannya.

w.a.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan