Pengikut

Ahad, Disember 25, 2011

25 Disember: BAGI mereka, asalkan bukan Islam


UMAT Kristian di Malaysia hanya kira-kira 9 persen, tetapi umumnya mereka kebetulan menguasai ekonomi dan politik masyarakat bukan Islam.  Oleh itu pada setiap 25 Disember kelihatan satu perayaan agama yang dianut oleh bilangan yang besar, sebenarnya amat minoriti. Di kota-kota, anak-anak muda keturunan Cina termasuk yang masih bersekolah seperti berbangga dapat menunjukkan tanda salib pada rantai lehernya.

Saya teringat pengalaman mendengar cerita dilema seorang remaja bawah umur 18 tahun memilih agama.  Remaja ini secara sembunyi-sembunyi menukar pegangan agamanya daripada Buddha kepada Islam.  Oleh kerana dia sedaya upaya melaksanakan  juga ajaran Islam di rumahnya, maka tidak lama kemudian keluarganya mengetahui rahsia besar itu.  Seperti yang dia duga, semua seisi keluarga dan saudara maranya tidak setuju.

Keluarganya memberi nasihat bahawa jika tidak mahu lagi menganut Buddha, boleh pilih Kristian asalkan bukan Islam!

Soalnya mengapa kebanyakan orang Cina jika mahu menukar agama (daripada yang asal), pilihannya ialah Kristian, iaitu bukan Islam.  Secara umum pengetahuan dan pemahaman beragama masyarakat berdasarkan adat budaya dan persekitaran.  Apa yang dilakukan oleh penganut agama dan sering dilihat dalam media, itulah gambaran agama yang difahami.  Bukan sahaja itulah cara orang  bukan Islam mengetahui Islam, malah dalam kalangan umat Islam pun norma masyarakat Islam dijadikan sumber utama pengetahuan agamanya.

Oleh itu sama ada Islam atau Kristian, masyarakat bukan Islam lebih didorong oleh persepsi terhadap kedua-dua agama untuk membuat penilaian.  Daripada sekadar persepsi itulah, mereka mudah menerima Kristian berbanding Islam.  Kerap didengar bagaimana sulitnya kehidupan sosial seseorang yang baru memeluk Islam (dalam lingkungan keluarganya), tetapi tidak kepada penganut baru Kristian.

Merujuk kepada kehidupan seorang Islam, seorang remaja bukan Islam keturunan Cina berkata yang dirinya tidak suka kepada banyaknya peraturan dalam hidup.  Sedia dimaklumi bahawa memang banyak peraturan dalam hidup muslim berbanding umat Kristian.  Kerana longgarnya peraturan dalam Kristian itulah menyebabkan penganut Buddha dan Hindu (misalnya) lebih mudah menerima Kristian berbanding Islam.

Dalam berpakaian, tidak ada beda etikanya antara penganut Kristian dengan agama Buddha dan Hindu (misalnya).  Tetapi apabila seseorang memilih Islam sebagai agama barunya, dia sendiri sedar bahawa ada etika berpakaian dalam Islam.  Begitu juga soal makanan, jelas Islam mengharamkan arak, daging babi dan daging haiwan yang tidak disembelih secara Islam.  Bagi umat Kristian, soal makanan tidak ada bedanya dengan amalan pemakanan dan prinsip dalam agama Hindu dan Buddha.

Contoh, gereja sendiri yang membenarkan paderinya berkahwin sesama lelaki menggambarkan apa saja kehendak penganut agama itu boleh dikira sah atau halal!  Jika perkahwinan sesama jenis pun disahkan dalam Kristian, perzinaan bukan suatu hal asing, sekalipun dalam kitab Bible melarang perbuatan itu.

Oleh yang demikian, dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang tidak Kristian, Islam dilihat lebih rigid atau tidak ada toleransi sebagaimana Kristian.  Maka, tidak hairanlah generasi muda mereka tampak lebih mendekati Kristian jika mereka mahu menukar agama, yang mungkin sekadar mahu keluar daripada norma lama dalam beragama.

Islam semakin jelas satu-satunya agama yang terang hukum-hakamnya.  Al-Quran jauh lebih mudah dan jelas difahami berbanding Bible.  Konsep ketuhanan dalam Islam juga lebih jelas difahami berbanding Triniti Kristian.  Justeru, yang memilih Islam merupakan orang yang telah menggunakan akalnya dengan betul, bukan menuruti kehendak perasaan dan keinginan peribadi yang salah.

1 ulasan:

  1. tak apela.. bukan quantity yang kita cari.. quality tu yang lebih utama..

    BalasPadam