Pengikut

Sabtu, Julai 16, 2011

YANG munasabah dalam ibadah

SEJAK dahulu hingga sekarang telah ada orang yang sangat mencintai agama dan mengharap keredaan Allah begitu bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah khusus.  Perwatakan mereka jelas terpampang wajah orang kuat beribadah.  Kehidupan mereka memang terpisah daripada perkara-perkara maksiat seperti hiburan melampau, mengumpat, menjerit-jerit, mencuri, menipu, menerima atau memberi rasuah serta pelbagai kerja-kerja dosa yang lain. 

Ada antara mereka mempunyai pemikiran mengenai kedudukan mereka berbanding dengan Junjungan Rasulullah s.a.w.  Biasa juga kita mendengar hujah sebegini:  Jika Rasulullah beristighfar 100 sehari (astaghfirullaha wa atubu ilaih. Riwayat al-Bukhari) sedangkan baginda seorang yang maksum, kita manusia biasa sepatutnya mesti beristighfar jauh lebih banyak daripada itu.  Maksud prinsip beribadah mereka ialah, orang biasa (terutama yang sudah jauh ditinggalkan oleh Rasulullah) perlu beribadah yang kuantitinya jauh lebih banyak daripada yang dicontohkan oleh Rasulullah, kerana manusia biasa ini lebih banyak berdosa kepada Allah.  Pada mereka, dengan bertambah banyak ibadah (lebih daripada yang ditunjukkan oleh Rasulullah) bermakna di sisi Allah berkedudukan sama seperti Rasulullah.

Dahulu semasa Rasulullah masih hidup juga sudah ada kalangan orang yang berfikir demikian.  Dalam kalangan sahabat ada yang memerhatikan cara Rasulullah beribadah dan mereka berfikir dengan akalnya.  Antara mereka membuat keputusan:  Rasulullah seorang nabi dan terselamat daripada berbuat dosa, maka wajarlah begitu sahaja amal ibadahnya.  Kita pula manusia biasa yang banyak berdosa, maka tentulah amal ibadah kita mesti lebih banyak daripada yang dilakukan oleh Rasulullah.  Kemudian mereka berpuasa tanpa henti siang dan malam, sentiasa melakukan solat malam sehingga tidak memperdulikan isterinya.  Ada pula yang bertekad tidak mahu berkahwin kerana menganggap perkahwinan akan mengganggu kehidupan beribadah kepada Allah.  Akhirnya hal-hal sebegini diadukan kepada Rasulullah.

Maksud sabda Rasulullah: Kamukah yang menyebut begini, begini?  Demi Allah. Sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan paling bertaqwa kepada-Nya dalam kalangan kamu, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku solat dan tidur dan aku mengahwini wanita.  Barangsiapa yang tidak suka kepada sunnahku, maka dia bukan daripada golonganku.  (Riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas menjelaskan larangan menambah-nambah urusan ibadah kepada Allah sekalipun dari sudut akal penambahan itu sangat munasabah. Demikian antara petunjuk dalam beribadah, bahawa akal hendaklah dikemudiankan.  Apa yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah itulah sebaik-baik petunjuk beribadah kerana kedatangan baginda Rasulullah memang untuk menunjukkan cara-cara beribadah atau melakukan amal yang menghampirkan diri kepada-Nya.

Maksud firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21:  Demi sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik untuk orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat dan dia banyak menyebut serta mengingati Allah (pada masa susah dan senang).

Sebagai contoh yang baik ialah kedudukan solat berjamaah.  Sekalipun semua faham betapa mulia dan tingginya fadilat solat berjamaah namun solat berjamaah itu hanya dilakukan untuk yang ditunjukkan oleh Rasulullah seperti semua solat fardu, solat sunat tarawih dan beberapa ketika  solat tahajud.  Mengapa tidak dilakukan solat-solat sunat lain secara berjamaah, yang sepatutnya  munasabah untuk dilakukan.  Jawabnya ialah petunjuk Rasulullah hanya solat-solat yang demikian.  Oleh itu dengan membudayanya solat hajat yang dilakukan berjamaah, kita tertanya-tanya di manakah mereka mendapat contoh daripada sunah nabi.

Dalam urusan kematian tampaknya  banyak bentuk-bentuk ibadah baru yang dianggap sangat munasabah itu, tetapi kabur daripada petunjuk sunah Rasulullah.  Hanya dengan memahami prinsip ibadah dan sunnah nabi barulah seseorang ahli ibadah itu dapat menjernihkan sedikit demi sedikit urusan ibadahnya kepada Allah.

1 ulasan:

  1. Dalam entri……MENCARI pahala maulidur rasul
    Mamat ni menulis…..
    ‘ Oleh itu, kepada yang sudah tidak boleh mengundurkan diri daripada melaksanakan majlis maulidur rasul itu, lebih elok difahami sebagai majlis keduniaan yang sama taraf dengan majlis ceramah agama biasa yang tanpa bersempena apa-apa.’
    Dalam entri……SETELAH maulidur rasul
    Mamat ni menulis……
    ‘ Kembali kepada perayaan maulidur rasul, eloklah semua yang selama ini merayakan atau tidak merayakan agar berfikir mengenainya. Lupakan dahulu kepada yang tidak mahu merayakannya, biarlah mereka dengan pendapatnya. Kepada yang menerimanya sebagai satu cara mengingat Nabi Muhammad, apa agaknya kesan-kesan yang nyata sekalipun kecil setelah selesai menghadiri majlis yang dikaitkan dengan maulidur rasul? ’

    ‘ Ambil satu contoh, adakah semakin bertambah orang yang solat berjemaah di masjid akibat kesedaran cintakan nabi melalui agenda maulidur rasul? ’

    ‘ Kedua, adakah semakin berkurang orang mengumpat atau menggunjing orang lain akibat menerima saran nabi yang kita cintai itu? ’
    Kepada tuan-tuan……sila baca komen Sdr Amir Hamzah didalam entri MENCARI pahala maulidur rasul, kategori label : adat.
    Saya cadangkan wajib baca, jawapan pukulan maut terhadap pandangan sinis mamat ni……AMEKKAW !!!

    BalasPadam