Pengikut

Ahad, Julai 31, 2011

MENYEMPURNAKAN Tarawih bersama Imam



OLEH: IMAM ABDUL AZIZ BIN BAZ R.H

TERJEMAHAN: MUHAMMAD ASRIE B. SOBRI

SOALAN: Jika seseorang bersolat dengan Imam yang bersolat 23 rakaat lalu dia (si makmum) hanya cukup melakukan 11 rakaat dan tidak menyempurnakan solatnya dengan Imam adakah perbuatannya ini menepati Sunnah?

JAWAPAN: Yang menepati Sunnah adalah menyempurnakannya bersama Imam walaupun ianya 23 rakaat kerana Rasul s.a.w bersabda:
من قام مع الإمام حتى ينصرف كتب الله له قيام ليلة 
Maksudnya: "Barangsiapa yang mendirikan (solat tarawih) bersama Imam sehingga (Imam) itu selesai maka ALLAH tuliskan baginya (pahala) bersolat malam penuh" [Al-Tarmizi, Ibn Majah, dan Ahmad].
Dalam riwayat yang lain:
بقية ليلته
Maksudnya: (dituliskan baginya pahala) bagi malamnya [Ahmad].

Maka yang afdal (utama) bagi makmum adalah solat bersama Imam sehingga selesai sama ada solat yang dilakukan 11 rakaat atau 13 rakaat atau 23 rakaat atau lainnya.

Inilah yang afdal iaitu mengikut Imam sehingga selesai, dan 23 rakaat telah dilakukan oleh Umar r.a bersama dengan para Sahabat dan tiada padanya kekurangan atau cacat cela, bahkan ianya termasuk daripada sunnah iaitu sunnah para Khalifah al-Rasyidin dan telah ditunjukkan oleh hadis Ibn Umar r.huma daripada Nabi s.a.w bahawa baginda bersabda:
صلاة الليل مثنى مثنى، فإذا خشي أحدكم الصبح صلى واحدة توتر له ما قد صلى 
Maksudnya: "Solat malam itu dua rakaat-dua rakaat, jika seseorang kamu takut masuk waktu subuh maka solatlah witir satu rakaat mengganjilkan apa yang telah dia solat". [Muttafaq 'alaih].

Ini kerana Nabi s.a.w tidak menghadkan padanya bilangan rakaat tertentu tetapi menyatakan "Solat malam dua rakaat-dua rakaat", tetapi jika Imam solat tarawih cukup melakukan 11 rakaat atau 13 rakaat sahaja, maka yang utamanya hendaklah dia melakukan salam selepas setiap dua rakaat kerana inilah yang kebiasaan dilakukan Nabi s.a.w dan ini lebih meringankan bagi orang ramai dalam Ramadan dan lainnya dan barangsiapa yang menambah lagi (rakaat) atau mengurangkan maka tidak ada apa-apa kesalahan kerana solat malam itu diberi keluasan padanya.
والله ولي التوفيق 


Sumber: Majmuk Fatawa Ibn Baz, 11/325-326

2 ulasan: