Pengikut

Isnin, Julai 25, 2011

AKIDAH sesat kerna memusuhi Sahabat Rasulullah


TERBARU wujud yang dinamakan Majlis Syiah Malaysia menghantar memorandum kepada DYMM Yang Dipertuan Agong supaya baginda campur tangan agar fatwa kebangsaan yang mengatakan fahaman Syiah sebagai sesat hendaklah dimansuhkan.

Siapa Syiah dan mengapa mereka wujud dalam sejarah Islam?  Jawabannya tidak lain ialah aliran politik mereka yang memusuhi para sahabat Rasulullah di samping memuja seorang sahabat nabi yang lain, juga menantu baginda iaitu saidina Ali bin Abi Talib. Saidina Ali juga sepupu Rasulullah.  Daripada perkahwinan Saidina Ali dengan puteri Rasulullah , Fatimah binti Muhammad s.a.w., lahirlah Hassan dan Hussein. Merekalah yang diertikan sebagai ahlul bait oleh kalangan Syiah dan menjadi satu mazhab dalam politik dan akidah bahawa kepemimpinan mestilah daripada ahlul bait.


Jika rajin kita akan menemui versi sejarah yang sangat berbeda mengenai kehidupan akhir puteri Rasulullah, Fatimah.  Kepada penganut Syiah, Fatimah bertelagah dengan Khalifah Abu Bakr r.a. mengenai sebidang tanah  di Fadak, di Madinah. Kononnya Khalifah menghantar pegawai-pegawainya untuk memukul Fatimah sehingga menderita.  Akhirnya Fatimah wafat dalam keadaan rahsia, dan hanya suaminya sahaja yang mengurus jenazahnya.  Sejarah ini sering dijadikan asas untuk menzahirkan kebencian kepada Khalifah Abu Bakr di samping merasakan amat dukacita terhadap nasib puteri seorang nabi akhir zaman! Kepada Ahlus Sunnah, tidak ada perseteruan antara Khalifah Abu Bakr dan Fatimah.  Malah makam Fatiman ada di Baqi, Madinah.

Kepada kaum Syiah sesiapa sahaja sahabat nabi selain ahlul bait merupakan pendusta agama.  Punca utama perasaan marah mereka ialah menganggap bahawa yang berhak menjadi Khalifah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. ialah Saidina Ali bin Abi Talib.  Oleh itu tiga orang Khalifah iaitu Saidina Abu Bakr, Saidina Umar dan Saidina Usman serta sahabat lain yang membai’ah mereka sebagai khalifah menjadi musuh kepada kaum Syiah.

Kemarahan mereka bertambah apabila selepas kewafatan Saidina Ali, jawatan khalifah dipegang pula oleh seorang lagi sahabat nabi iaitu Saidina Muawiyah bin Abu Sufyan.  Masalah lain pula timbul apabila Saidina Muawiyah mewariskan jawatan Khalifah kepada puteranya, Yazid.  Pada zaman Khalifah Yazid inilah berlaku pembunuhan terhadap Saidina Hussein bin Ali, iaitu cucu Rasulullah.  Kepada kaum Syiah, orang yang sepatutnya menjadi khalifah selepas Saidina Ali ialah saidina Hussein bin Ali.  Oleh itu pembunuhan Saidina Hussein di Karbala, Iraq menjadi satu mercu tanda permusuhan politik terhadap sahabat nabi dan keluarga Umayyah.

Lalu bagaimanakah sikap setiap muslim terhadap para sahabat nabi?  Para sahabat mempunyai darjat tersendiri di sisi Rasulullah berdasarkan pengiktirafan Allah dalam al-quran dan sejarah perjuangan mereka bersama Rasulullah.  Saidina Abu Bakr mendapat gelaran As-Siddiq kerna kesetiaan dan kepercayaan kepada baginda Rasulullah tanpa berbelah bagi.

Dicatat dalam buku Para Sahabat Menurut Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah oleh Dr Muhammad bin Abdullah al-Wahibiy, mengenai kepentingan menerima sahabat nabi sebagai sebagian daripada kebenaran berakidah kepada Allah.  Jarang kita didedahkan bahawa menerima, menghormati dan menyayangi sahabat-sahabat nabi merupakan satu ciri akidah yang benar.  Ini bermakna, mencerca dan merendah-rendahkan para sahabat nabi menjadikan terputusnya berakidah yang benar.  Mudahnya, mencerca sahabat nabi menyebabkan seseorang muslim menjadi kufur!

Maksud firman Allah dalam surah al-Fath ayat 18 (maksudnya): sesungguhnya Allah telah reda terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu (Muhammad) di bawah sebatang pohon.  Maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka  dengan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat.

Ayat di atas merupakan satu pengiktirafan Allah terhadap para sahabat nabi kerana Allah mengetahui isi hati mereka.  Peristiwa itu berkaitan dengan sumpah setia para sahabat terhadap Rasulullah ketika mendengar berita Sayyidina Usman dibunuh ketika membuat rundingan dengan kaum musyrik Makkah.  Maka para sahabat membuat perjanjian untuk berjuang atau berperang bersama Rasulullah demi membela kematian seorang sahabat. Jelasnya Allah telah reda kepada para sahabat nabi itu.  Apabila Allah reda terhadap mereka, apakah kita yang tinggal ini berani mencerca para sahabat yang diiktiraf oleh Allah.  Imam Ibnu Taimiyah mengatakan apabila Allah meredai orang (sahabat-sahabat nabi), maka Allah tidak akan memurkainya buat selama-lamanya. 

Berkaitan dengan peristiwa itu, Rasulullah bersabda (maksudnya): Tidak akan masuk neraka seorang pun, Insya Allah daripada kalangan mereka yang berjanji taat setia di bawah pohon ini. (riwayat Muslim)

Orang-orang yang dijamin syurga oleh Rasulullah tidak mungkin orang yang bergelumang dengan dosa, kerana kata-kata Rasulullah adalah kebenaran.  Maka sesiapa yang mencerca sahabat nabi, bermakna mereka menafikan kemuliaan peribadi sahabat yang disahkan sendiri oleh Rasulullah.  Apakah ada antara kita yang akan menyakiti Rasulullah dengan mencerca sahabat-sahabat baginda sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Syiah itu?

Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa pendirian kaum Syiah yang mencerca dan mengkafirkan para sahabat Rasulullah merupakan penyelewengan.  Tidak hairanlah jika ada hujah yang mengeluarkan Syiah daripada aliran Islam, sebaliknya mengatakan Syiah bukan Islam atau golongan kufar seperti penganut Nasrani, Yahudi dan pelbagai jenama agama musyrik lain.

1 ulasan:

  1. Adam & Liana14 Oktober 2011 4:50 PTG

    Salam Tuan.
    Bagaimana pendirian tuan tentang Syiah?
    Mereka Islam atau kafir?

    BalasPadam