Pengikut

Sabtu, Jun 25, 2011

KITA faham agama atas pemahaman guru agama


BERDASARKAN pengalaman dan pemerhatian, semua orang memang belajar agama dengan berguru.  Berguru secara formal itu betul, tetapi tidak lama.  Seperti orang belajar di sekolah, akhirnya banyak pelajaran  dan kemahiran diterima di luar sekolah.  Hal ini kerana tempoh orang bersekolah itu singkat berbanding usianya sehingga mati.


Sama ada belajar agama di sekolah atau di luar sekolah, pemahaman agama kita sudah disediakan arah tujunya.  Ada kumpulan yang mendakwa pelajaran agama di sekolah kerajaan tidak cukup, maka mereka membuat sekolah agama sendiri.  Ada yang mengatakan guru agama berkenaan tidak mengajarkan Islam yang ‘kaffah’ maka mereka akan melantik guru agama yang dikatakan sesuai dengan kehendaknya.  Keadaan-keadaan ini juga menyumbang kepada pemilihan tempat belajar dan orang-orang yang boleh didengar ceramahnya.

Orang-orang yang ada kuasa juga telah menentukan siapa yang sepatutnya membicarakan agama.  Kalau tauliah diperlukan atas alasan mengawal penceramah agama, betul itu dilakukan.  Apa yang dinamakan pengawalan penceramah sebenarnya mestilah penceramah yang sesuai dengan pemahamannya sahaja.  Dengan itu penceramah agama dalam wilayah kekuasaannya adalah mereka yang memenuhi kehendak pemahamannya.  Akhirnya, masyarakat dalam wilayah kekuasaannya mempunyai pemahaman yang sama seperti kehendak orang-orang yang berkuasa tadi.

Oleh itu, pemahaman seseorang terhadap Islam sebenarnya dipengaruhi oleh bentuk pemahaman guru-gurunya.  Kalau guru agamanya cenderung kepada aliran sufi, lebih kepada pembersihan jiwa mana pelajar-pelajarnya (baca juga masyarakat dewasa) lebih berpandangan sedemikian.  Jika gurunya mengecam pemikiran orang yang mengaitkan Islam dengan politik, maka khalayaknya juga akan berpendirian sama.

Jika guru agamanya cenderung membahas Islam dari sudut politik, maka khalayaknya juga akan berfahaman bahawa Islam itu sangat dikait dengan politik.  Kalau guru agamanya orang kampung yang tidak ada pemahaman yang luas mengenai perniagaan, maka khalayaknya juga tidak berjaya memahami kaitan Islam dengan perniagaan.

Ada guru agama cenderung mengajar agama secara bandingan dengan mengatakan pihak sana salah. Akhirnya pelajar-pelajarnya juga mempunyai kaedah belajar agama dengan cara menyalahkan pihak yang tidak disetujuinya.  Di mana-mana juga jika mereka bercakap hal agama, isunya ialah pihak di sebelah sana salah atau sesat.

Sebenarnya sumber Islam sama, iaitu al-Quran dan sunah.  Pemahaman seseorang guru agama terhadap dua sumber itulah yang menyebabkan berlakunya perbedaan memahami apa itu Islam.  Orang awam selalunya hanya mengikuti apa yang disampaikan oleh guru-guru agama.  Maka berkembanglah pemahaman seseorang guru agama berkenaan.

Dalam budaya Melayu, guru agama merupakan insan  penting.  Status sosialnya tinggi dalam masyarakat.  Guru agama yang tidak ada ijazah pun akan dihormati dan diterima pandangannya dalam hal agama oleh orang-orang yang ada ijazah dalam kerjaya mereka.  Agama itu memang suci, maka orang yang menyampaikan ajaran agama juga mendapat tempias kesucian itu.  Tamabahan pula orang Melayu tidak faham bahasa Arab, maka penerimaan yang sangat tinggi terhadap guru agama yang selalunya dipercayai boleh memahami bahasa Arab.  Bahasa Arab adalah jalan penting untuk memahami dua sumber asal iaitu al-Quran dan Sunah.

2 ulasan:

  1. "Ada guru agama cenderung mengajar agama secara bandingan dengan mengatakan pihak sana salah. Akhirnya pelajar-pelajarnya juga mempunyai kaedah belajar agama dengan cara menyalahkan pihak yang tidak disetujuinya. Di mana-mana juga jika mereka bercakap hal agama, isunya ialah pihak di sebelah sana salah atau sesat."

    Inilah gambaran kamu.

    BalasPadam
  2. golongan yang perasan kalangan ASWL Aliran Salafi....
    Perasan hebat sangat.

    BalasPadam