Pengikut

Rabu, Jun 08, 2011

CARA musuh melemahkan muslim


DALAM sejarah negara ada penentang British bernama Haji Abdul Rahman Limbong  di Terengganu.  Jika nama-nama ketua penentang British seperti Datuk Bahaman, Mat kilau, Abdul Said, Datuk Maharaja Lela, Mat Salleh dan Rentap merupakan pembesar yang kehilangan hak-hak politik dan ekonomi akibat dasar penjajahan British, Haji Abdul Rahman Limbong bukan seperti mereka.  Haji Abdul Rahman Limbong ialah guru agama yang membangkitkan rakyat menentang British kerana berpendapat cara British menodai hak kehidupan orang-orang Islam.


British cekap mengkaji asas penentangan orang-orang Terengganu di Kuala Brang pada tahun 1927.  Setelah berjaya mengalahkan pergerakan yang diketuai oleh guru agama itu, British tidak menghukum bunuh Haji Abdul Rahman Limbong seperti yang dilakukan terhadap Datuk Maharaja Lela (Perak) dan Tok Janggut di Kelantan.  British dilihat oleh orang Melayu ‘memuliakan’ Haji Abdul Rahman Limbong apabila penjajah itu menghantar guru agama itu bersama keluarganya belajar dan menetap di Makkah. 

Cara British ‘menghukum’ Haji Abdul Rahman Limbong dengan ayat ‘belajar dan bermukim di Makkah’ telah menyejukkan orang Melayu walaupun mereka kehilangan ketua dan guru agama yang dikasihi.  Begitulah caranya orang yang bijak menipu orang yang lemah pemikiran.

Hari ini orang Melayu pun mudah ‘sejuk’ apabila ada pihak yang selama ini tidak berminat pada Islam tiba-tiba menampakkan kecenderungan terhadap Islam.  Pada zahirnya baik, tetapi  patutlah orang Melayu/Islam berwaspada.  Orang-orang bukan Islam cepat faham bagaimana hendak meredakan keresahan orang Islam.  Cukuplah mereka membuat kunjungan ke masjid, memberi bantuan sekolah agama atau menaikkan elaun guru-guru agama.

Misalnya, jika sebuah kerajaan bukan Islam memberi geran khas berjuta-juta ringgit kepada sekolah agama dan pusat tahfiz sehingga banyaklah anak-anak orang Islam belajar di sekolah-sekolah itu, pada zahirnya baik kepada orang Islam. Namun di balik itu, akhirnya orang  Islam lebih banyak mahir pelajaran agama (yang diertikan sebagai amalan ibadah khusus) sedangkan orang-orang bukan Islam terus menguasai kemahiran dalam sains, teknologi, teknikal, ikhtisas dan sebagainya. Orang Islam hidup nampak kuat beribadah tetapi miskin kemahiran dan selok-belok kehidupan di dunia.  Pada waktu yang sama para pemimpin bukan Islam terus memuji mengenai ‘kedamaian dan ketertiban’ masyarakat Islam. Atas nama ‘kebebasan beragama’ tidak ada daripada mereka memeluk Islam, walhal mereka memuji keindahan suasana masyarakat Islam!

Banyak sangat peringatan Allah mengenai kaum yang tidak beriman sebagai musuh yang tidak ada penamatnya terhadap umat Islam.  Kalau mereka gagal mengalahkan umat Islam secara keras, dipilihnya cara halus. Tidak boleh dikalahkan dalam bidang politik, dikalahkan melalui ekonomi.  Syaitan ada banyak idea untuk mereka demi menjadikan muslim tewas, lemah iman dan akhirnya menjadi seperti mereka jua.

1 ulasan:

  1. Izin saya petik balik tulisan tuan.
    “ Misalnya, jika sebuah kerajaan bukan Islam memberi geran khas berjuta-juta ringgit kepada sekolah agama dan pusat tahfiz sehingga banyaklah anak-anak orang Islam belajar di sekolah-sekolah itu, pada zahirnya baik kepada orang Islam. Namun di balik itu, akhirnya orang Islam lebih banyak mahir pelajaran agama (yang diertikan sebagai amalan ibadah khusus) sedangkan orang-orang bukan Islam terus menguasai kemahiran dalam sains, teknologi, teknikal, ikhtisas dan sebagainya. Orang Islam hidup nampak kuat beribadah tetapi miskin kemahiran dan selok-belok kehidupan di dunia.”
    Apa punya lojik ni….
    Misalnya, jika sebuah kerajaan bukan Islam memberi geran khas berjuta-juta ringgit kepada sekolah agama dan pusat tahfiz sehingga banyaklah anak-anak orang Islam belajar di sekolah-sekolah itu, pada zahirnya baik kepada orang Islam. Namun di balik itu, (maksudnya tidak baik) . Pasal dan tu …akhirnya orang Islam lebih banyak mahir pelajaran agama (yang diertikan sebagai amalan ibadah khusus) sedangkan orang-orang bukan Islam terus menguasai kemahiran dalam sains, teknologi, teknikal, ikhtisas dan sebagainya. Orang Islam hidup nampak kuat beribadah tetapi miskin kemahiran dan selok-belok kehidupan di dunia.

    Kamu tak berpijak pada bumi yang nyata. Kamu terlalu pesimis dengan keupayaan pentadbir sekolah2 agama dan pusat2 tahfiz. Ketidak upayaan mereka untuk menggabungkan pengajian agama/tahfiz dan akademik serta kemahiran lainnya, kerana mereka kekurangan dana. Kadang Cuma gaji guru tahfiz pun, mereka bergantung pada yuran pelajar. Jangan fikirkan nak sediakan kemudahan dan perkara2 lain. Cuba kamu beri setiap pusat tu jutaan ringgit pasti mereka mampu memberikan/menyediakan kurikulum /ko-kurikulum yang mungkin kamu pun tak terfikirkan.
    Komen mudah je….buat tengok !!!

    BalasPadam