Pengikut

Rabu, April 21, 2010

SALAHKAH mengetahui sejarah Gerakan Islah?

Tulisan Dr Mohd Asri, ‘Cabaran Gerakan Pembaharuan’ dalam Malaysiakini dan web beliau sendiri menyebabkan ’50 NGO’ membuat laporan polis atas alas an mantan Mufti Perlis itu mengina Raja-raja Melayu. Media melaporkan tulisan Dr Mohd Asri menyebut zaman Gerakan Islah (gerakan pembaharuan) disekat oleh Sultan atas nasihat ulama. Kalau sesiapa membaca buku Hikayat Abdullah karya Munsyi Abdullah, lagilah terang-terang kritikan beliau terhadap Raja-raja Melayu. Namun sehingga kini Hikayat Abdullah terus menjadi kajian ilmuan dan tidak pernah pun ada usaha untuk mengharamkan buku itu atas alas an merendah-rendahkan maruah Raja-raja Melayu.
Buku Sejarah Tingkatan Lima yang sedang ditelaah oleh murid-murid Menengah Atas sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM ada menyebut mengenai Gerakan Islah atau pembaharuan yang dicatat oleh Dr Mohd Asri. Jika tulisan Dr Mohd Asri itu ditafsir sebagai menghina Raja-raja Melayu sehingga kumpulan NGO mengharap penulisnya disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, maka apakah bezanya tulisan dalam buku teks yang diajarkan dan dibaca jutaan orang muda Malaysia?
Sketsa ini merupakan satu lagi contoh hilangnya keintelektualan dalam kalangan umat Islam. Hanya kerana wujud perbedaan pendapat, sedaya upaya mungkin mereka yang dianggap mencabar status quo mesti diasingkan, dipenjarakan. Dalam dunia yang pantas berubah, minda kumpulan NGO masih bersifat feudal: Siapa tak setuju, ertinya menderhaka!
Di bawah ini contoh petikan dalam buku Sejarah Tingkatan Lima, terbitan DBP yang diberi pinjam oleh Kementerian Pelajaran Malaysia kepada semua murid-murid Tingkatan Lima sekolah menengah bantuan penuh kerajaan Malaysia.
Ramlah Adam, Shakila Parween Yacob, Abdul Hakim Samuri & Muslimin Fadzil (2003). Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 m/s 49-50. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
GERAKAN ISLAH DALAM MENINGKATKAN MINDA BANGSA
Gerakan Islah merupakan gerakan yang berusaha mendorong masyarakat Melayu supaya membetulkan pandangan mereka terhadap Islam. Pendorong gerakan ini antaranya termasuklah Sheikh Tahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi dan Dr. Burhanuddin al-Helmy. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda. Akhbar dan majalah yang terkenal seperti al-Imam, Neracha, Idaran Zaman dan Pengasuh telah menjadi saluran Gerakan Islah ini.
Kaum Muda menyampaikan idea mereka dan menjana ajaran Islam dari sudut kemajuan dunia, termasuklah gesaan untuk memajukan ekonomi, pendidikan, politik dan sosial orang Melayu. Golongan ini juga berusaha menyematkan sikap mengkritik penjajah ke dalam fikiran orang Islam. Mereka turut mengkritik raja dan pembesar Melayu yang tidak berperanan penting dalam memajukan orang Melayu.
Gerakan Kaum Muda ini ditentang oleh Kaum Tua yang terdiri daripada golongan alim ulama. Golongan ini telah menguasai masyarakat dengan fahaman mereka bahawa Islam itu adalah tentang akhirat dan mereka juga menekankan fardu ain sahaja sehingga amat sukar untuk Kaum Muda mempengaruhi masyarakat Melayu. Gerakan Islah oleh Kaum Muda ini dapat bergerak dengan baik di Negeri-negeri Selat sahaja kerana beberapa undang-undang telah dikeluarkan oleh Negeri-negeri Melayu bagi menghalang pengaruh Kaum Muda. Undang-undang ini tidak membenarkan sebarang kegiatan dakwah Islam dilakukan tanpa kebenaan Sultan. Undang-undang ini juga tidak membenarkan risalah dan buku Kaum Muda dibawa masuk ke negeri-negeri tersebut.
Gerakan Kaum Muda telah menubuhkan beberapa buah madrasah. Madrasah ini menjalankan sistem pendidikan Islam yang meliputi pendidikan untuk dunia dan akhirat seperti pendidikan fardu ain, Ilmu Hisab dan Bahasa Inggeris. Madrasah ini juga memberikan peluang kepada pelajar perempuan untuk mendapatkan pendidikan. Ternyata tekanan British dan Kaum Tua tidak dapat menghalang sepenuhnya Gerakan Islah dalam masyarakat Melayu, terutamanya dalam bentuk pendidikan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan