Pengikut

Khamis, April 15, 2010

ISLAM itu mudah saja diamalkan

SEKARANG kerap terdengar bunyi telefon bimbit sewaktu solat berjemaah. Ada kalanya berulang bunyinya menandakan panggilan berulang kali juga. Ini menandakan pemiliknya membiarkan sahaja telefonnya berbunyi kerana menganggap jika dia mematikan telefon itu bererti batal solatnya. Seorang rakan saya menceritakan pengalamannya melihat seorang ahli jemaah solat di Masjidil Haram yang dalam berdiri solat tiba-tiba bergerak ke hadapan untuk membetulkan ikatan sebuah kerusi roda milik seorang yang kurang upaya. “Saya perhatikan, setelah selesai mengurus kerusi roda itu, dia kembali berdiri menyambung solatnya. Kalau kita sudah batal,” katanya sambil tertawa pula. Tawanya itu dimaklumi untuk perilaku seorang jemaah yang ‘sewenang-wenang’ bergerak dan membuat kerja lain, kemudian menyambung solatnya.
Apakah ada petunjuk Sunah Nabi berkaitan hal bergerak-gerak dalam solat ini?
Daripada al-Azraq Ibn Qais meriwayatkan: Maksudnya: “Kami sedang berada di tebing sungai Ahwaz (di Iraq) untuk memerangi puak Haruriyyah, tiba-tiba Abu Barzah al-Aslami datang menunggang kuda lalu bersolat sambil melepaskan (tali) kudanya. Tiba-tiba kuda itu meninggalkannya lantas beliau menghentikan solat dan mengejar kudanya sehingga dapat. Kemudian, beliau datang semula untuk menunaikan solatnya.
Seorang lelaki khawarij berkata: “Ya Allah! binasakanlah orang ini, dia telah meninggalkan solatnya kerana seekor kuda.”
Abu Barzah tampil seraya berkata: Sesungguhnya aku mendengar kata-katamu. Semenjak Rasulullah s.a.w. wafat tiada seorang pun yang bercakap kasar denganku, sesungguhnya aku pernah menyertai enam hingga lapan peperangan bersama Rasulullah s.a.w. dan aku telah menyaksikan taysir (pendakatan mudah) baginda, sesungguhnya aku lebih suka pulang bersama binatang tungganganku daripada membiarkannya (terlepas) sehingga menyusahkanku. Sesungguhnya jarak rumahku jauh, jika aku solat dan membiarkan kuda itu nescaya aku tak dapat kembali kepada keluargaku sampai ke malam” (Riwayat Bukhari)
Perhatikan bahawa Abu Barzah merupakan seorang Sahabat Rasulullah yang berpengalaman hidup dan berjuang bersama Rasulullah. Beliau mengakui ‘menyaksikan taysir’ dalam ibadah yang dilakukan oleh baginda Rasulullah sendiri. Oleh sebab itu Abu Barzah telah menghentikan solatnya kerana menangkap kuda yang terlepas, kemudian menyambung solatnya. Bagi kebanyakan orang Melayu yang rajin solat pun ‘peristiwa ini dianggap pelik’.
Dalam peristiwa berkenaan itu juga tergambar seorang penentang sahabat dan Sunah Nabi iaitu golongan Khawarij walhal sebahagian mereka hidup sezaman dengan para Sahabat Nabi. Selain itu peristiwa ini menggambarkan Islam itu kelihatan mudah diamalkan dan tidak memberatkan pengamalnya. Apa yang disangka susah dan berat untuk solat misalnya hanyalah pendapat peribadi yang tidak disandarkan kepada Sunah Nabi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan