Pengikut

Sabtu, Oktober 17, 2009

RASUAH di luar Umno sama busuk


MAAFLAH Umno, yang saya hendak catat ialah pandangan orang biasa terhadap badan siasah ini. Sebenarnya masalah Umno bukan sejak kecundang banyak wilayah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12. Masalah rasuah yang bercokol sejak sekian lama tidak pernah surut atau selesai. Ketika Perhimpunan Agung, semua pemimpin pelbagai peringkat mengutuk perbuatan rasuah yang membarah dalam parti. Semua orang seperti saya ketawa terbahak-bahak kerana mereka semua pemimpin parti dan mengutuk perbuatan rasuah (haram-dosa!) dalam kalangan mereka. Ha ha ha…kalau bukan mereka dalam dewan PWTC yang makan rasuah siapa lagi?


Sekarang mereka meminda perlembagaan parti dengan matlamat menghapuskan amalan rasuah. Punca rasuah bukan berat kepada aturan dalam perlembagaan parti, tetapi matlamat dan sistem politik dalam negara. Maka kalau hendak menghindari rasuah mereka, ubahlah matlamat dan sistem politik.


Apa matlamat Umno? Hendak menampilkan sekian banyak bilangan orang Melayu yang kaya dan terbilang dalam banyak bidang supaya bangsa Melayu dipandang tinggi oleh bangsa-bangsa lain. Inilah asas perjuangan kebangsaan Melayu.


Bagaimana cara mencapai tujuan itu dan apa standard ukurannya? Oleh kerana tujuannya Umno hendak membanyakkan kejayaan anak Melayu dan ukurannya ialah jumlah kekayaan yang dimiliki, maka semua yang masuk Umno mesti mahukan kekayaan termasuk pemilikan saham dalam syarikat-syarikat besar. Orang boleh bercakap yang dirinya masuk Umno kerana agama, bangsa dan negara. Itulah politik yang penuh retorik, yang muluk-muluk indah untuk mengabui masyarakat.

Tidak, tidak…, semuanya kerana fulus, emas, minyak dan jutaan saham. Kita rakyat sudah lama faham sejarah politik semua bangsa di dunia. Berlakunya penjajahan dan peperangan tidak lain kerana berebut kekayaan ekonomi. Tokoh Melayu seperti Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Mat Kilau, Mat Salleh dan Tok Janggut melawan British juga kerana kuasa ekonomi mereka dirompak penjajah. Sama sahaja, orang Melayu masuk Umno pun kerana Umno yang memegang kunci khazanah negara, senanglah mendapat habuan kekayaan melalui Umno.


Kemudian tasawur Melayu itu hanya menganggap yang haram itu babi, maka yang lain dengan apa cara dikira sah dan bedal saja. Orang Melayu cukup marah apabila cuba dikaitkan dengan babi dan anjing. Sejahat-jahat orang Melayu tidak sanggup menyentuh babi, walaupun hukum haram hanya memakannya. Sentuh boleh, tidak dosa, tapi tidak sama sekali. Selain babi, seperti judi, rasuah, rampas harta anak yatim, penipuan dalam perniagaan dan sejuta kerja-kerja yang diharamkan Allah untuk mendapatkan wang, biasa dilakukan oleh orang Melayu. Oleh itu tidak ada harapan Umno hendak bebas daripada rasuah!


Baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan 10 kes rasuah berprofil tinggi. Semua yang terdakwa adalah orang Melayu, yang beragama Islam, yang solat lima waktu sehari dan puasa penuh bulan Ramadan. Kemudian perhatikan tanggapan rasuah dalam negara. Agensi penguatkuasaan yang didominasi kaum Melayu itulah yang banyak terdakwa melakukan rasuah. Mereka ini masih anggap rasuah haram, tetapi apabila banyak rakan muslimnya mengambil rasuah merasakan kesalahannya itu menjadi tidak besar. Mengapa mereka yang di bahagian bawah begitu berani melakukan rasuah? Jawabnya, mereka tahu bos-bos mereka di atas termasuk pimpinan politik pun kaki rasuah.


Sebab itulah dicadangkan Umno memasukkan tarbiyah Islam dalam kurikulumnya. Pendidikan dalam alquran sangat banyak menekankan keimanan pada hari akhirat, tentang hari hitungan amal, perihal balasan buruk neraka sebagai satu ancaman kejahatan manusia. Rasuah dilakukan secara sembunyi antara dua pihak. Pihak ketiga yang tahu ialah Allah. Allah terus kekal sementara perasuah akan mati dan menghadap Allah.


Selagi manusia tidak gerun dengan balasan buruk di akhirat, maka tidak ada siapa boleh mengubah tabiat buruk. Orang sanggup berhujan ke masjid waktu subuh kerana percaya jaminan baik di akhirat. Yang lain sanggup menahan rasa tidak mahu mengambil harta secara haram kerana yakin ada balasan buruk di akhirat.


Sistem politik secara demokrasi yang memberikan kuasa kepada orang bawahan dan rakyat juga membiakkan rasuah. Seorang pemimpin perlukan sokongan orang-orang bawahannya. Orang bawahan akan bertanya, “apa yang saya dapat setelah menyokong kamu sehingga menjadi ketua? Kalau tidak ada imbuhan lebih baik saya berniaga, tidak perlu sibuk berkempen supaya kamu disokong orang.” Kemudian pengundi pun berani bertanya kepada orang-orang politik, “kami sokong kamu dapat apa?” Maka bermulalah kroni mendapat habuan luar biasa dan bermulalah rasuah yang membarah!


Hemat saya, selagi tasawur Islam dalam kalangan rakyat Melayu masih tidak jelas, selagi itulah masalah kejahatan dalam ekonomi tidak dapat diatasi. Kebanyakan pelajaran Islam diperoleh daripada guru agama dan dihafal. Orang yang ada diploma dan digri pun masih sekadar menghafal saja bab agama. Ada pula golongan agama bimbang jika orang tidak terdidik dalam agama memasuki wilayah mereka. Lalu puak ini tidak habis-habis mempersoal kelayakan seseorang bercakap hal agama. Akibatnya masyarakat percaya hal agama itu susah dan yang ada sijil agama saja boleh menyebut agama. Maka masyarakat menyerahkan bulat-bulat urusan akidah dan ibadah kepada orang agama. Lalu taklid buta merata-rata. Itulah jadinya, mereka hanya sibuk yang haram itu babi, sehingga sehelai bulu babi di tapak kasut menjadi isu besar!


Kesimpulannya, saya tidak percaya rasuah dalam Umno akan surut dan selesai. Terlalu banyak lapangan di luar Umno yang boleh mencetuskan amalan rasuah. Namun kepada ahli-ahli Umno janganlah bimbang, bahawa jika rakyat sudah menerima rasuah sebagai satu cara hidup, Umno tetap disokong sekalipun bergelumang dengan rasuah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan