Pengikut

Isnin, Mei 18, 2009

ISLAM itu mudah difahami

ISLAM itu sangat mudah difahami dan diamalkan. Itulah satu kesimpulan yang hakiki dan tidak boleh dinafikan. Kenyataan ini bukanlah sengaja dibuat-buat dengan bias (ada kecondongan) melainkan berdasarkan sejarah awal Islam, zaman wahyu diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. Mudahnya untuk memahami hal ini ialah Allah yang mencipta alam ini termasuk manusia, dan Allah menyerahkan pengurusan bumi ini kepada manusia. Allah juga yang menurunkan Islam untuk dijadikan panduan hidup manusia. Maka tidak munasabah Islam itu dilihat sebagai susah difahami dan diamalkan.

Pintu masuk Islam adalah tauhid. Tauhid yang Allah ajarkan kepada manusia sebenarnya mudah, iaitu mudah difahami dan diamalkan dalam kehidupan. Tauhid ini juga merupakan paksi seluruh sistem hidup Islam. Berdasarkan ajaran al-Quran, dan sejarah dakwah Rasulullah, tauhid Islam ialah menerima Allah sebagai satu-satunya Tuhan. Tidak ada apa-apa Tuhan atau perkara lain yang boleh dianggap seperti Tuhan. Kena faham bahawa maksud Tuhan di sini ialah satu kuasa yang berkuasa atas segala-galanya daripada hal sekecil-kecilnya seperti anak kuman kepada yang dianggap paling luas dan besar iaitu alam raya ini (rububiyyah). Bukalah al-Quran dalam kisah para Nabi dan Rasul, inilah dakwah tauhid kepada manusia.

Sebenarnya Allah sendiri telah menjadikan manusia mempunyai fitrah menerima Allah sebagai Tuhan. Dalam surah al-A’raf ayat 172 Allah menerangkan janji roh manusia yang mengakui Allah sebagai Tuhan yang Maha Agung. Kerana fitrah inilah sejak zaman dahulu, di mana pun manusia tinggal mereka mempunyai kepercayaan ketuhanan. Tanpa petunjuk, mereka menyembah alam seperti batu, gunung, matahari dan sebagainya. Sebab itu dakwah pertama Islam ialah tauhid mengenali semula Allah sebagai Tuhan.

Laluan kedua tauhid ialah menyembah Allah selaku Tuhan yang Maha Agung (uluhiyyah). Ibadah merupakan pembuktian terhadap penerimaan Allah sebagai Tuhan. Dalam semua sejarah dakwah para Nabi dan Rasul, mereka bukan sahaja menjelaskan mengenai Allah dan kekuasaannya, tetapi mengajak manusia menyembah-Nya. Tahap kedua tauhid inilah yang mula menapis keikhlasan manusia yang mengakui Allah sebagai Tuhan.

Sesiapa pun boleh mendakwa sudah menerima Allah sebagai Tuhan, termasuk orang yang tidak menganut Islam (lihat surah Yunus ayat 31), sebab itulah Allah mahu manusia beribadah sebagai bukti ketulusan bertauhid kepada-Nya. Ibadah ini wajib mengikut apa yang diajarkan oleh Allah melalui para Nabi dan Rasul-Nya. Ibadah yang bukan berdasarkan petunjuk wahyu tidak sah. Ibadah yang ditambah atau dikurang juga tidak sah.

Sebagai contoh, haji merupakan ibadah yang disyariatkan sejak zaman Nabi Ibrahim, tetapi kemudian terjadi amalan bid’ah (penambahan dalam ibadah oleh manusia). Kemudian Nabi Muhammad membersihkan amalan haji daripada perkara-perkara bid’ah. Solat pun wajib mengikut cara yang Rasulullah ajarkan. Sangat terkenal hadis Nabi yang bermaksud, “Solatlah kamu semua sebagaimana melihat aku solat.” Dan solat cara Nabi itu termasuk zikir sesudah solat mudah sahaja. Pendek kata, ibadah yang ditunjukkan oleh Rasulullah mudah saja, tidak rumit sebagaimana difahami oleh sebagian orang Islam hari ini.

Dengan dakwah tauhid rububiyyah dan uluhiyyah ini semua golongan manusia sama ada yang kurang pendidikan sehingga para cendikiawan mudah saja memahami Islam. Malanglah jika ada yang mengaku pendakwah mengatakan tauhid (akidah) Islam itu rumit dan memerlukan kelas-kelas pengajian yang lama. Lebih malang apabila Islam yang sepatutnya bersih daripada sebarang pengaruh asing diertikan semula berdasarkan aliran-aliran pemikiran dan kelompok. Misalnya kalau hendak faham tauhid Islam kena ikut aliran Asya’irah, hendak faham cara hidup Islam kena keluar 40 hari dan sebagainya atau kena masuk tarekat sufi dan sebagainya.

Dakwah kepada aliran dan kelompok inilah yang merumitkan dan menimbulkan kekeliruan kerana aliran-aliran fahaman ini saling tidak menghormati pendirian kumpulan lain. Sebaik-baiknya, serulah ke jalan Islam yang asal sebagaimana dicontohkan oleh Rasulullah dan generasi awal atau zaman salaf. Pemahaman Islam berdasarkan manhaj salaf bererti mempelajari Islam sebagaimana yang diterima oleh Rasulullah dan generasi para sahabat. Zaman ini Islam belum dicemari aliran pemikiran tamadun Yunani dan India.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan