Pengikut

Khamis, Oktober 04, 2018

MUSLIM tidak beribadahnya kaum syirik

Surah ini merupakan surah Makkiyah dan mengandungi enam ayat. Ia dinamakan Al-Kafirun kerana terdapat perkataan Al-Kafirun dalam ayat pertamanya.
Foto untuk hiasan
Surah ini memutuskan harapan orang kafir untuk memujuk Rasul Sallallahu ’alaihi wasallam agar berkompromi dengan mereka dalam aspek penyembahan, peribadatan dan din.

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيم

قُلۡ يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡكَٰفِرُونَ ١

Katakanlah: “Wahai orang kafir

لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ ٢

Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah

وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٣

Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah

وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٞ مَّا عَبَدتُّمۡ ٤

Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah

وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٥

dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah

لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِيَ دِينِ ٦

Untukmu dinmu dan untukku dinku”

Pengajaran

Surah ini memaparkan bahawa terdapat tiga aspek yang tiada titik pertemuan dan persamaan di antara Islam dan kufur.

Dalam aspek penyembahan. Bahawa, antara Nabi Sallallahu ’alaihi wasallam dan orang mukmin dengan golongan kuffar tiada titik pertemuan dalam aspek penyembahan. Sesungguhnya golongan mukmin hanya menyembah atau mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wata’ala yang Maha Esa. Mereka tidak mempersekutukan-Nya. Manakala golongan kuffar pula menyembah sembahan yang lain daripada Allah Subhanahu wata’ala. Mereka menyembah berhala, patung, sesama manusia, malaikat, bintang dan berbagai lagi sembahan yang terdapat dalam ajaran mereka.

Dalam aspek peribadatan. Bahawa, antara Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam dan orang mukmin dengan golongan kuffar tiada titik pertemuan dalam aspek peribadatan. Sesungguhnya golongan mukmin beribadah kepada Allah Subhanahu wata’ala dengan penuh ikhlas kepada-Nya dan mengikut tatacara syari’at-Nya. Mereka tidak syirik kepada-Nya dan tidak menukar syari’at-Nya. Manakala golongan kuffar, jelas mereka melakukan syirik dalam peribadatan dan mereka beribadat mengikut cara ciptaan akal mereka sendiri atau mengikut hawa nafsu mereka.

Sebenarnya semua aliran kekufuran merupakan satu millah (agama yang satu), khususnya dalam konteks menentang Islam. Ini kerana hanya Islam merupakan din yang diakui oleh Allah Subhanahuwata’ala. Asas bagi seluruh ajaran Islam dan peraturannya adalah tauhid kepada Allah Subhanahu wata’ala. Manakala semua aliran kekufuran pula berasaskan hawanafsu atau akal pemikiran yang terbatas. Islam merupakan sistem hidup yang berasaskan sumber Rabbani (sumber wahyu daripada Allah Subhanahu wata’ala), manakala sistem kufur pula bersumberkan dengan sumber-sumber dunia yang cacat dan tercela. Orang yang mengamalkan ajaran Islam menuju kepada Allah Subhanahu wata’ala, manakala orang yang mengamalkan ajaran kufur semakin jauh daripada Allah Subhanahu wata’ala.

Daftar Rujukan Tafsir:

Wahbah Al-Zuhaily, Tafsir Al-Munir, Juz 30 (Terjemahan), Penerbit: Persatuan Ulama Malaysia dan Intel Multimedia and Publication, Selangor, 2001.

Sayyid Quthb, Tafsir Fi Zhilalil Qur’an (Di Bawah Naungan Al-Qur’an), Penerbit: Gema Insani, Jakarta, 2001.

Syaikh Muhammad Ali Ash-Shabuni, Mukhtashar Tafsir Ibn Katsir (Ringkasan Tafsir Ibn Katsir),Penerbit: Jabal, Bandung, 2013.

Dr Muhammad Mahmud Hijazi, Tafsir Al-Wadih (Terjemahan), Penerbit: Pustaka Salam, Kuala Lumpur, 2005.

Sumber: www.dakwahtarbiyah.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan