Pengikut

Khamis, November 12, 2015

TENTANG Protestant, Kaum Muda dan Salafiyah....

EROPAH pernah mengalami zaman kegelapan selama 1000 tahun, pada waktu yang sama tamadun Islam muncul menjadi obor masyarakat dunia. Selama dalam kegelapan itu agama Kristian didakwa sangat kolot dan para peneraju agama tidak mengikuti ajaran dalam kitab suci mereka, Bible.  Maknanya tafsiran oleh pihak di gereja menjadi keutamaan ketimbang teks dalam Bible. Lalu muncul tokoh Kristian di Jerman, Martin Luther yang menyeru umat Kristian kembali kepada ajaran tulen Bible. Seruan Martin Luther meluas di serata Eropah. Umumnya gerakan Reformation oleh Martin Luther dan pasukannya bermula tahun 1510 dan berakhir 1550. Masyarakat Eropah yang terkesan dengan Renaissance sebelumnya dengan mudah menerima idea pembaharuan Martin Luther. Maka agama Kristian terpecah dua: Katolik dan Protestant.


Apakah yang telah berlaku di Eropah sedang berbunga dalam masyarakat Islam di Nusantara? Sebenarnya telah muncul gerakan Islah (pembaharuan) awal abad ke-20 dahulu dipelopori tokoh seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Abas Kalali, Dr Burhanuddin al-Helmi dan lain-lain. Berlaku pertentangan antara gerakan Islah (disebut juga Kaum Muda) dengan golongan ulama tradisionalyg juga disebut Kaum Tua. Isu yang dibawa oleh Kaum Muda ialah masyarakat Melayu zaman itu telah meninggalkan ajaran tulen al-Quran dan Sunah.  Tafsiran ahli-ahli agama tidak menepati inti sebenar Islam telah menyebabkan orang Melayu ketinggalan berbanding bangsa-bangsa lain zaman itu. Sejarah gerakan Islam seperti tidak dicatat kejayaannya, namun idea-idea supaya orang Melayu zaman itu belajar Bahasa Inggeris, Sains Pertanian, Bahasa Melayu, anak perempuan bersekolah dan menerima ilmu-ilmu dari Eropah, telah diterima oleh semua golongan hari ini.  Ya dulu idea Kaum Muda dianggap pengkhianatan terhadap agama dan tradisi bangsa.

Kini, pada zaman siber gerakan pembaharuan mmembuak kembali.  Gerakan Islah tidak disebut Kaum Muda, sebaliknya penggeraknya menyatakan mereka sebagai Salafiyah atau pengikut golongan Salaf. Manakala penentang Salafiyah menyebut mereka sebagai Wahabi.  Prinsip Salafiyah atau Wahabi sama seperti Kaum Muda dahulu. Mereka menyeru masyarakat beragama dengan menuruti al-Quran dan Hadis seperti pemahaman oleh golongan Salaf yang lebih dekat dengan zaman hidupnya Nabi s.a.w. dan para sahabat Nabi.  Salafiyah mendakwa sebagian amalan agama di Nusantara tidak seperti yang difahami golongan Salaf. Untuk pengetahuan generasi Salaf ialah tempoh 300 tahun sejak zaman Nabi s.a.w.

Wujud pertentangan. Itu lumrah terhadap mana-mana idea yang berlainan daripada keadaan asal. Perbedaan pendapat pasti berlaku antara dua kelompok. Namun sejarah di Eropah, masyarakatnya berpecah sehingga berperang antara penganut Katolik dan Protestant tidak bisa berlaku di Nusantara. Biarlah perbedaan dalam masyarakat Sunni (kontradiknya Syiah) sebagai silang balas ilmu, yang pasti berlaku apabila masyarakat terbuka menerima kepelbagaian ilmu.


Ada pilihan agar tidak berlaku perbedaan ini, jalannya pun ada: Tutuplah masyarakat terhadap ilmu sebagaimana di Korea Utara. Di sana mahasiswanya pun tidak tahu apa itu Piramid yang wujud di Mesir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan