Pengikut

Isnin, Ogos 05, 2013

KENA kurung baru khatam al-Quran sebulan

RAMADAN 1434 kian berakhir, bermakna tawaran pahala berganda dalam sebulan untuk ibadah kian berakhir.  Untuk secara rasmi banyak masjid dan sekolah telah membuat majlis khatam al-Quran khasnya pada malam 27 Ramadan.  Sebenarnya khatam 114 surah atau 30 juzuk al-Quran hanya sebagai tanda aras pembacaan al-Quran yang berterusan sepanjang bulan Ramadan yang penuh barkah.  Pada bulan-bulan lain, disiplin pembacaan al-Quran kita tidak sebaik pada bulan Ramadan.

datang ziarah setelah lebih 25 tahun berlalu

Walaupun tidak ada hasil kajian mengenai peratusan umat yang tamat bacaan 30 juzuk dalam tempoh sebulan, cukuplah dengan kaedah kajian ringkas.  Misalnya daripada tujuh orang ahli keluarga, berapakah yang telah tamat bacaan 30 juzuk? Di sebuah sekolah, misalnya ada 100 guru muslim, berapakah antara mereka yang tamat bacaan 30 juzuk?  Daripada kajian ringkas ini mudah saja membuat kesimpulan peratusan yang berjaya menamatkan bacaan al-Quran.

Kepada orang awam, membaca al-Quran yang tidak diketahui maknanya dalam bahasa Melayu tidaklah seperti membaca sebuah novel yang dramatik dan penuh unsur suspen. Untuk membaca selama 30 minit dirasakan begitu lama walhal membaca akhbar atau menonton TV tidak cukup dengan masa setengah jam itu.

Kategori pembaca al-Quran bagi ajam atau orang bukan Arab juga pelbagai. Umumnya boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu yang lancar, sederhana dan ‘merangkak-rangkak’.  Tidak ada masalah kepada yang bacaannya lancar, tetapi perlukan motivasi dan kesabaran kepada tahap kedua dan ketiga.  Oleh kerana budaya Melayu kita membaca al-Quran bukanlah bacaan utama seperti membaca akhbar harian, maka banyaklah antara kita yang bacaannya kategori sederhana dan ‘merangkak-rangkak’.     

Ini pengalaman saya. Sehingga usia saya 20 tahun bacaan al-Quran saya yang terbaik pun kategori sederhana.  Oleh itu yang tertanam dalam minda saya ialah ‘tidak mungkin’ menamatkan semua ayat al-Quran dalam sebulan.  Maka sejak khatam al-Quran pada usia kanak-kanak, tidak ada jadual masa menamatkan bacaan dalam tempoh tertentu.  Orang tua hanya memantau setiap malam mesti membaca al-Quran, namun apabila usia menjadi remaja kawalan orang tua semakin longgar. Akibatnya pun buruk!

Dengan takdir Tuhan saya menerima pelawaan seorang rakan untuk belajar terjemahan al-Quran secara harfiah di Maahad Ittiba us-Sunah (MIS) di Kuala Pilah tahun 1986.  Oleh kerna MIS pusat kajian al-Quran maka murid-muridnya (pelbagai peringkar umur) sentiasa membaca al-Quran. Dan apabila tiba Ramadan, semua membaca al-Quran siang dan malam.  Oleh itu saya pun memaksa diri membudayakan membaca al-Quran bersama mereka.  Dengan dibantu murid-murid lain (yang lebih muda usianya) mengenai pembacaan saya, dan pembacaan yang lama setiap masa lama-kelamaan bacaan saya semakin baik dan dapat menghabiskan 30 juzuk sebelum tamat Ramadan!  Barulah pecah ‘persepsi bodoh’ yang memerangkap saya selama ini, bahawa saya tidak boleh menghabiskan 30 juzuk dalam sebulan.

Memang saya sangat berterima kasih kepada keluarga Haji Ahmad bin Abdullah di Kuala Pilah, guru harfiah almarhum Ustaz Hashim A Ghani, Ustaz Khairuddin, Ustaz Azhar dan semua sahabat MIS waktu saya di sana seperti Rahmat (Singapura), Abdul Nasir (Johor, sekarang di Indonesia), Suhaimi (Pahang) dan lain-lain.

Sebenarnya budaya sekitar dan kemampuan yang kita ada menjadi perangkap untuk kita merasa sentiasa kalah.  Apabila kita dikurung dalam budaya baru, kita terpaksa mengubah sikap dan kemampuan kepada sebaik yang boleh.


Kita mungkin bertekad mahu berjaya menjadi pembaca al-Quran yang baik, namun cabarannya ialah budaya sekitar yang tidak memberi bantuan.  Itulah sebabnya banyak mana pun tazkirah  dan nasihat ustaz (termasuk membebel) masih gagal menghasilkan anasir-anasir baru yang punya kesungguhan besar sebagai pembaca al-Quran yang tegar.  Kalau tanya saya bagaimana caranya, saya jawab sebagaimana yang saya lalui: Kurung dalam budaya para pembaca al-Quran!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan