Pengikut

Rabu, Ogos 07, 2013

BETULKAH ada hari akhirat?

BERIKUT adalah dialog yang berlaku antara seorang guru (dinamakan Cikgu Ron) dengan seorang remaja (dinamakan Remy) penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam berkenaan tugasan kursus dan markah yang perlu dicapai.

Cikgu Ron
Kenapa Remy berusaha keras menyelesaikan tugasan pada awal semester?

Remy
Tugasan ini sudah 15 peratus markahnya.  Nanti ada midtest lagi.  Jadi kalau nak markah tinggi atau dapat A kena buat tugasan dengan sempurna.

Cikgu Ron
Apa faedah jangka panjang kalau dapat A untuk semua kursus setiap semester?

Remy
Oh, kalau dapat semua bagus tentulah CGPA saya melebihi 3.5.  Jika tamat pengajian dengan CGPA 3.5 atau 3.8 tentulah tahap cemerlang.  Semua pelajar nak dapat begitu, tapi payah hendak dapat.

Cikgu Ron
Tapi nampaknya Remy berusaha keras untuk mendapatkan markah terbaik atau penuh peratusannya.

Remy
Eh, tentulah cikgu.  Kalau dapat Kelas Pertama senang dapat kerja. Syarikat boleh tawarkan gaji lebih tinggi.

Cikgu Ron
Bila Remy akan dapat menikmati akademik yang cemerlang?

Remy
Setelah saya berkerja, maknanya kira-kira tiga tahun lagi.

Cikgu Ron
Oh begitu, ertinya sekarang Remy sedang bekerja keras mendapatkan markah terbaik dan hasilnya hanya dinikmati pada masa akan datang.

Remy
Ya, kenapa cikgu tanya?

Cikgu Ron
Ada perbandingan yang boleh disamakan dengan apa yang Remy cakap, tetapi kita selalu abaikan.  Maksud saya kebanyakan kita tahu perbedaan antara solat sendiri dengan berjamaah di masjid, tetapi kita tidak mahu mencari pahala yang terbaik sebagaimana  dalam pengajian…..

Remy
Saya tidak jelas cikgu.

Cikgu Ron
Kita begitu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan gred tertinggi akademik kerana yakin memberi pulangan pendapatan yang tinggi pada masa depan.  Kalau tidak ada harapan itu, pasti kita tidak mahu mencari hasil akademik terbaik. Cukuplah sekadar lulus.
Tidak ada bedanya dengan jaminan masa depan yang baik di akhirat dengan kerja keras menunaikan solat berjamaah di masjid sekarang.  Hasil solat berjamaah itu bukan dinikmati sekarang, tetapi pada masa depan iaitu pada hari akhirat.  Rasulullah s.a.w. memberi jaminan gandaan 27 kali faedah atau pahala berbanding solat bersendirian.

Remy
Alamak…, cikgu perli saya la…

Cikgu Ron
Tidak, saya menyatakan secara umum kepada semua.  Ambil saja iktibar yang berguna.
Kalau benar kita yakin jaminan pahala berganda-ganda yang menjamin ‘kekayaan’ hidup di akhirat sana, mengapa banyak antara kita sekarang tidak perduli solat berjamaah.  Apa yang berlaku sebenarnya krisis keyakinan terhadap Hari Akhirat. Banyak orang kita tak yakin hidup dengan kekayaan di akhirat daripada usaha keras di dunia sekarang.

Remy
Aduh cikgu, apa nak buat sekarang?

Cikgu Ron
Bukan susah. Teruskan keyakinan dengan markah akademik tertinggi yang membawa lebih kesejahteraan hidup masa depan di dunia.  Kemudian, teruskan bersama keyakinan kerja-kerja ibadah yang menuruti sunah Nabi s.a.w. mesti membawa kemakmuran hidup di akhirat sana.  Sebagai contoh tadi, jangan lagi mudah mengabaikan solat berjamaah jika memang kita seorang yang tinggi keyakinan tentang masa depan.

Remy
Cikgu doakanlah, saya sudah faham sekarang tetapi macam nampak berat saja.

Cikgu Ron
Hahahaha, insya Allah.  Biasalah… seperti pelajar baru masuk Semester Satu, masih tak nampak seni dan caranya kerap pengatakan susah belajar di sini.  Apabila sudah dapat keyakinan dan dimulakan langkah, wah belajar jadi mudah.  Saya yakin apabila Remy sudah mulakan solat berjamaah, selepas itu fikiran kita pun akan meletakkan solat berjamaah itu menjadi salah satu sasaran kerja utama hidup kita.  Allah akan membantu kita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan