Pengikut

Jumaat, Ogos 10, 2012

IBADAH: ada yang bermusim dan meriah


SAYA tidak ingat apakah istilah yang digunakan oleh mantan Menteri Besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid mengenai kecenderungan orang Melayu yang sukakan perkara bermusim.  Beliau memberi contoh kecenderungan orang Melayu menjadi nelayan atau petani disebabkan kerja-kerja yang bermusim.  Musim menanam kemudian berehat sementara menunggu padi masak.  Begitu juga kepada nelayan di pantai Timur yang ada masa berehat kerna musim tengkujuh.   Di Pantai Barat Semenanjung tidak ada musim tengkujuh, maka orang Melayu tidak berapa banyak menjadi nelayan.  Hal ini ada kaitan dengan keupayaan bekerja dan meraih keuntungan ekonomi berbanding mana-mana kaum yang sanggup bekerja tanpa musim.

foto hiasan

Hemat saya, bukan sahaja dalam ekonomi ada kecenderungan bermusim malah dalam bidang sosial juga ketara kecenderungan bermusim, malah bersifat ‘suka-suka dan beramai-ramai’.  Mungkin itu dianggap lumrah kehidupan manusia, tetapi dalam beragama juga jelas kecenderungan bermusim yang ada ‘suka-suka dan beramai-ramai’.  Berbuihlah mulut orang-orang alim kita mengajak berubah supaya agama jangan dijadikan musiman yang ‘suka-suka dan beramai-ramai’ kerana agama ada faktanya yang sedia ada dalam al-Quran dan hadis sahih nabi s.a.w., bukan senang minda masyarakat Melayu hendak melepaskan ‘suka-suka dan beramai-ramai’.

Contoh terbaik ialah semasa dalam bulan Ramadan ini.  Berapa banyak orang alim memberi maklumat atau ilmu dan menerangkan mengenai solat tarawih yang sepatutnya berpanjangan sepanjang malam Ramadan, bukan hanya ‘suka-suka dan beramai-ramai’ dalam tempoh 10 malam pertama Ramadan.  Setiap kali pertengahan Ramadan pastilah orang-orang alim agama kita mula mengingatkan agar tidak seperti Ramadan tahun-tahun sebelumnya, iaitu orang kita lebih banyak memenuhi pasar raya, bazaar atau ekspo berbanding masjid dan surau.  Maksudnya ialah orang Melayu semacam terbalik dalam mengimarahkan bulan Ramadan: sepatutnya semakin menghampiri akhir Ramadan semakin banyak melakukan amal ibadah, tetapi sebaliknya berlaku.  Inilah contoh amal ibadah orang Melayu yang cenderung kepada ‘suka-suka dan beramai-ramai’.

Contoh lain pun ada juga.  Lihat budaya kenduri arwah orang Melayu mesti ada unsur ‘suka-suka dan beramai-ramai’ walaupun tujuan kenduri itu mengingati si mati.  Si mati itu adalah orang yang dikasihi dan kehilangannya sepatutnya dirasakan hiba.  Sangguplah adik-beradik yang jauh pulang ke kampung untuk memeriahkan kenduri arwah, walhal orang-orang alim kita mengajarkan bahawa di mana-mana saja boleh mendoakan arwah orang yang dikasihi itu supaya sejahtera dan diampuni Allah. Seperti tidak yakin seorang anak boleh mendoakan kesejahteraan roh ibu bapanya, maka dibuat juga kenduri dan makan-makan.  Seperti tidak sempurna doa kepada Allah jika tidak ada hal-hal yang meriah.

Begitu juga doa murid yang akan menduduki peperiksaan.  Walaupun diajarkan supaya murid-murid dan ibu bapanya berdoa setiap selesai solat sejak awal lagi, namun mesti hendak diadakan juga majlis solat hajat: Solat sebagai permohonan kepada Allah agar murid-murid menjawab soalan dengan tenang dan betul!

Begitulah sebagian daripada hidup beragama orang Melayu pun perlukan musim.  Solat berjamaah pun ikut musim: Hari Jumaat atau malam Jumaat, itulah yang meriah.  Hari-hari lain, hanya orang yang benar-benar berpegang kepada ilmu bahawa tuntutan beragama bukan bersandarkan ‘suka-suka dan beramai-ramai’.

Jangan marah……..

1 ulasan:

  1. saya sgt setuju,kerap saya nasihat anak murid saya supaya solat hajat dirumah dan lakukan sendiri kerana itu lebih afdhal dan baik kerana kita yg meminta apa yang kita hendak,tapi malangnya solat itu dilakukan di sekolah,di rmh tak.pulak bermusim bila nak exam.....pastu tak buat dah....

    BalasPadam