Pengikut

Ahad, Ogos 19, 2012

EID..eid...termaafkah pengkhianatan masa lalu?


TAQABBALLAHU minna wa minkum…, salam eid. Salam Lebaran maaf zahir batin.  Ini adalah hari kemenangan, hari kegembiraan.  Budaya dan kebiasaannya ialah umat saling bermaaf-maafan, meredai ahlinya yang lain dengan harapan dirinya juga akan diredai oleh ahli-ahlinya yang lain.  Dengan itu diharap Hari Raya menjadi satu ruang saling memberi maaf dan mengapuskan dosa sesama manusia.


Semua orang atau komuniti melalui jalan kehidupan yang bermuamalah dengan manusia yang lain.  Itulah sejarah kehidupan yang adakalanya menempuh zaman yang baik dan buruk.  Ada yang pernah dikhianati dan dirugikan bertahun-tahun.  Ada yang merasa aman tanpa kesusahan dalam sejarahnya.  Sejarah umah pada zaman nabi juga bukan luar biasa malah menjadi satu pengajaran kepada generasi kemudian, termasuk zaman kita ini.  Lihat sahaja sejarah perpecahan, perbalahan dan peperangan antara dua kaum Arab iaitu Aus dan Khazraj  di Yastrib (Madinah) sebelum mereka menerima Islam.  Namun dengan Islam yang terasnya ajaran al-Quran dan Sunah nabi s.a.w. permusuhan berbuyutan dapat dilenyapkan dan diganti persaudaraan yang luar biasa indahnya.

Bangsa Melayu juga telah melalui zaman jahiliyah sebelum Islam yang dirakam penuh perpecahan dan permusuhan.  Kemudian Allah memberi petunjuk atau hidayah iman, maka sebagian besar bangsa Melayu menerima iman dan Islam.  Maka masyhurlah bahawa Melayu Islam itu bersaudara.  Kemudian kerana kepentingan yang bukan daripada ajaran al-Quran dan Sunah nabi, maka berlaku juga permusuhan sesama Melayu yang muslim.

Apakah sikap kita sesama bangsa yang sama-sama mengaku muslim dan beriman pada hari akhirat.  Adakah kita hendak meneruskan perbalahan dan perpecahan yang memang menjadi agenda kaum yang tidak beriman atau memulakan buku hidup baru yang menguatkan persaudaraan, persefahaman serta mengurangkan perbedaan.  Apakah Hari Raya hanya ruang memberi kemaafan sesama muslim dalam hal-hal yang kecil seperti terambil wang RM10.00 atau termakan dan terminum?  Apakah Hari Raya bukan ruang memberi kemaafan kepada saudara muslim kerna kesalahan dan perkhianatan yang dilakukan pada zaman jahiliyah dahulu?

Perhatikan maksud firman Allah ayat 37 surah as-Syura: “…..dan apabila mereka marah segera memberi maaf….”

Ayat 40 surah yang sama pula bermaksud: “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik (kepada yang berbuat jahat) maka pahalanya daripada Allah.  Sungguh, Dia tidak menyukai orang yang zalim.”

Sungguh, Islam bukan hanya memberi ruang kejayaan di dunia, malah sampai ke akhirat.  Ada perkara yang tidak ditunaikan di dunia, maka Allah akan memberi balasan di akhirat kelak.  Itulah keistimewaan Islam yang membuat orang berasa aman  dengan jaminan keadilan dan keselamatan dari dunia hingga akhirat.  Sedangkan semua ajaran hidup selain Islam, hanya terhenti di dunia ini, maka seolah-olah apa yang berlaku di dunia hendak dilunasi sehabis-habisnya di dunia ini saja.

Selamat Hari Raya, maaf zahir batin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan