Pengikut

Jumaat, Jun 18, 2010

HASSAN Shukri anak Banjar Sabak Bernam

BELASUNGKAWA. Kewafatan mantan Timbalan Presiden Pas, Pesuruh Jaya Pas Selangor dan Senator Haji Hassan Shukri, 71 tahun, pada 14 jun 2010 adalah kehilangan kepada anak watan kampung Baru 2 Sepintas Sabak Bernam, Selangor.  Walaupun saya anak kampung Sepintas, saya hanya mengenali beliau sebagai salah seorang tokoh Pas.  Namun arwah ayah Haji Hassan, Haji Shukri memang kenal saya sebab saya tinggal lama di kampung. Apabila saya merantau, dan pabila pulang saya kerap bertemu di Masjid Abrar Batu 2. Arwah Haji Shukri kerap menyapa dalam loghat Banjarnya, "Bila ustaz pulang?"
Rumah ayah almarhum Hj Hassan di tepi jalan simpang empat kampung Batu 2 Sepintas.  Buka saja rumahnya, itulah tanah perkuburan dan sebelah tanah kubur itulah Masjid Abrar.  Di Kampung Sepintas, penghuninya keturunan Jawa dan Banjar. Bagi keturunan Banjar, kebanyakan mereka tinggal di Kampung Kemboja.

Ayah saya, Haji Siraj Abdul Khanan yang sudah 74 tahun merupakan kenalan rapat almarhum Hj Hassan.  Kalau hendak dibandingkan kesihatan antara ayah saya dengan almarhum Hj Hassan, tampak ayah saya lebih uzur fizikalnya. Maklum, orang kampung yang membanting tulang sejak zaman anak-anak. Sekarang badannya agak bungkuk.  Fizikal almarhum Hj Hassan tetap agam.  Sewaktu mendengar berita Hj Hassan wafat, saya berada di Kuantan dan menelefon ke kampung untuk memaklumkan kewafatan teman ayah.

Rasanya ayah saya macam ralat sebab tidak dapat menziarahi jenazah almarhum Hj Hassan kerana tidak dibawa pulang ke kampung kelahirannya, Kg Sepintas.  Saya pula berada di Kuantan, tidak dapat membawa ayah ke Gombak.  Itulah berakhirnya dalam hayat persahabatan antara ayah saya dengan tokoh Pas pusat yang lahirnya di kampung kecil. Tahun kelahiran almarhum Hj Hassan 1939, apalah yang ada di Kampung Sepintas.  Namun kerana almarhum berjaya dalam pendidikan sehingga belajar ke Iraq, itulah membezakan seseorang. Kerana ilmunya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan