Pengikut

Jumaat, Jun 18, 2010

HARGA bukan Islam dalam Pas



TAHNIAH kepada Parti Islaam Se-Malaysia (Pas) yang baru melaksanakan Muktamar Tahunan di Kota Bharu (11-13 Jun 2010).  Sebagai parti politik yang juga mendakwa jamaah dakwah berteraskan al-Quran dan Sunnah, maka segala perjalanan Pas tetap menjadi sorotan kepada mereka yang sayangkan Islam.  Dahulu musuh Pas daripada kaum Melayu kerap melabelkan Pas parti yang jumud dan perjuangannya sempit.  Harapannya ialah agar umat Islam melupakan sahaja Pas sewaktu semua manusia mahukan kemajuan dan kemodenan.  Dahulu musuh Pas daripada kaum bukan Islam sangat curiga terhadap Pas sehingga menjadi pandangan umum bukan Islam bahawa Pas akan memaksa mereka masuk Islam.

Hari ini Pas tidak lagi menerima celaan dan sindiran demikian daripada dua pihak berkenaan.  Pas memahami kritikan dan suasana semasa, lalu pendekatan parti diubah tanpa menukar dasar Islamnya.  Kesempatan-kesempatan yang ada dalam isu semasa dimanfaatkan untuk membina imej parti di mata umum.  Apabila rakyat resah dengan dasar politik Barisan Nasional (BN), maka Pas mengambil peluang untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang sebelumnya sangat curiga  dengan kecenderungan Pas.  Akhirnya DAP yang asalnya sangat curiga dengan pas telah dapat menerima pendekatan Pas.

Hari ini Pas telah menerima kewujudan bukan Islam dalam organisasi parti apabila diwujudkan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang diberi hak bersuara dalam muktamarnya.  Daripada parti yang dikatakan akan menyunatkan semua lelaki bukan Islam, puluhan ribu bukan Islam sedang bernaung dalam DHPP.  Apa ertinya? Ya, masyarakat bukan Islam telah bebas daripada tembok pemisah dengan  Pas.  Keadaan ini memungkin pada masa akan datang ahli DHPP akan bertanding mewakili Pas dalam pilihan raya. Bukan sahaja itu, malah ahli-ahli DHPP terutama yang kelak menjadi Yang Berhormat akan bermatian-matian mempertahankan dasar Islam yang dibawa olah Pas.

Isu kalimah Allah untuk diguna oleh orang bukan Islam juga menjelaskan Pas lebih terbuka terhadap bukan Islam berbanding Umno.  Hal ini bukan isu politik untuk menambah sokongan bukan Islam terhadap Pas, tetapi memang itulah yang diizinkan Allah dalam al-Quran.  Pahit kepada semua ahli Umno dan sebilangan pemimpin Pas sendiri, tetapi pihak ulama dan Presiden Pas yang konsisten mempertahankan Islam membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah menyebabkan jurang pemisah antara bukan Islam dan Pas kian lebur.

Hubungan Pas dan bukan Islam yang rapat ini mungkin boleh dilihat dari sudut lain juga.  Eloklah antara pemikir dan pakar strategi dalam Pas mempunyai sikap kritikal supaya isu dan fenomena DHPP dapat diurus dengan baik.  Selalunya umat Islam akan mengambil kira juga suara dan kepentingan bukan Islam apabila dasar-dasar Islam hendak dilaksanakan sepenuhnya.  Sebagai contoh, di Kelantan yang peratusan bukan Islam sangat rendah berbanding umat Islam, kerajaan negeri yang diketuai oleh Pas mudah sahaja membatalkan lesen judi.  Tidak ada kelab malam atau rumah urut.  Tidak boleh meminum arak secara terbuka,  walaupun bukan Islam dibenarkan menjual dan membelinya.  Keadaan di Kelantan tidak berlaku lagi di Kedah yang masih mengekalkan kedai judi dan penjualan arak secara terbuka.  Faktornya ialah di Kedah, kuasa dan pengaruh Pas tidak sebesar di Kelantan. Kuasa dan pengaruh Pas yang tidak dipegang Pas itu dipegang oleh bukan Islam dan BN. 

Dengan puluhan ribu ahli DHPP dan akan bertambah banyak lagi, diharap tidak akan menjadi satu tekanan dalam Pas untuk mengubah pendekatan Pas.  Erti kata lain, jika ahli DHPP begitu besar, adakah pendekatan Pas akan seperti pentadbiran di Kedah atau berjaya seperti di Kelantan juga?

Cabaran kepada Pas juga ialah kewujudannya dalam Pakatan Rakyat (PR), satu entiti politik yang tidak berteraskan Islam atau bangsa Melayu.  Jika dalam BN telah jelas Umno (Melayu-Islam) sebagai parti dominan, dengan parti-parti lain akur (tentu dengan tawaran-tawaran tertentu), PR sangat fleksibel dan parti yang dominan ialah parti yang paling banyak mempunyai kerusi di Parlimen.  Keadaan ini memungkinkan sahaja DAP (hampir 100 peratus bukan Islam) dan PKR (dikatakan bukan Islamnya dikatakan hampir 45 peratus) menguasai PR. Jika pengaruh DAP dan PKR lebih besar berbanding Pas, ini akan menjadikan dasar Islam yang dibawa Pas dipinggirkan.  Keajaibannya ialah jika dalam pilihan raya masa-masa akan datang,  Pas mempunyai kerusi terbanyak dalam PR yang membolehkan dasar Islam dalam Pas dimajukan dengan gagah.  Walaupun dalam politik boleh berlaku perubahan tanpa diduga, tetapi dalam kes Malaysia perubahan dalam politik selalunya mengambil masa yang panjang.  Dalam masa yang penjang itu banyak keadaan boleh berlaku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan