Pengikut

Khamis, Disember 24, 2009

WAHABI lawan Khilafah Turki Usmaniyyah?



UMPAN psikologi terhadap khalayak yang taklid dalam ilmu merupakan kaedah hujah terbaik!  Inilah yang dilakukan oleh segelintir orang agama ketika menguatkan hujah di hadapan orang.  Dalam keadaan umat Islam serba gawat di mana-mana dan sangat merindui zaman keagungan Islam masa lalu, tentulah umah akan membenci mana-mana pihak yang meruntuhkan zaman keemasan silam.

Daulah atau Khilafah Turki Usmaniyyah merupakan empayar Islam yang unggul merentasi sebagian benua Asia, Afrika dan Eropah merupakan salah satu kuasa besar dunia sebelum runtuh pada tahun 1924.  Sejak itu, muncul negara-negara Islam berdasarkan bangsa dan menjadi mangsa penjajahan bangsa-bangsa Eropah.  Siapakah yang menyebabkan keruntuhan Khilafah Turki Usmaniyyah itu? Inilah umpan psikologi yang paling membangkitkan kebencian dan dendam umah!

Tidak banyak kalangan rakyat Malaysia yang faham sejarah Khilafah Turki Usmaniyyah.  Dalam kurikulum pelajaran sejarah sekolah menengah, hanya sejak tahun 2002 barulah diperkenalkan sejarah tamadun Islam yang merangkumi khilafah ini. Subjek sejarah Islam peringkat STPM pun bukan pengajian naratif sejarah, tetapi lebih kepada aspek perbandingan tamadun dan pemikiran.  Oleh itu, siapakah antara masyarakat awam muslim yang menelusuri sejarah Khilafah Turki Usmaniyyah secara menyeluruh?

Dalam usaha menahan kemaraan pengaruh pemikiran berteraskan al-Quran dan sunnah yang tulen, segelintir orang memberi gelaran ‘wahabi’ terhadap sesiapa juga yang mempunyai pandangan lain dalam tafsiran biasa masyarakat terhadap agama.  Kemudian diceritakan bahawa golongan wahabi inilah yang meruntuhkan keagungan Khilafah Turki Usmaniyyah sehingga negara Turki menjadi sebuah negara sekular. Turki menjadi sekular, kemudian penjajah Barat turut menjadikan Indonesia dan Malaysia pun sama sekular.  Mesej yang diumpan ialah gerakan wahabi yang dipelopori oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab bergabung dengan Bani Saud mengalahkan  Khilafah Islamiyyah, menjadikan seluruh umat Islam jumud, mundur dan dihina oleh blok Barat.  Berhujah begini di hadapan orang jahil, buta sejarah, malas mencari ilmu memang mudah mendapat sokongan.

Secara ringkas fakta Khilafah Turki Usmaniyyah adalah seperti berikut:
1.  Pengasas khliafah ini ialah Usman bin Ertughrul, mendirikan khilafah tahun 1280 masehi di Anatolia (Turki). Sultan Abdul Hamid adalah pemerintah terakhir dan tahun 1924 tamatlah Khilafah (kesultanan) Turki apabila Turki menjadi republik yang diperintah oleh Presiden.

2.  Wilayah pengaruhnya meliputi kawasan Afrika Utara, pesisir barat jazirah Arab, Syam, Iraq dan Balkan di Eropah. Paksi politiknya ialah di Turki dan Balkan, bukannya pesisir pantai barat Arab yang kedapatan Jeddah, Makkah dan Madinah!

3.  Pemerintah khilafah bertahan lama dan kuat kerana memajukan sistem ekonomi, politik dan ketenteraan seiring dengan perkembangan di Eropah. Pertembungan tamadun Islam dan Barat ditandai pada kota Konstantinopel yang dikuasai Turki, menjadikannya IstanbulIstanbul dalam wilayah Eropah.

4.  Dalam Perang Dunia Pertama (1914-1019), Khilafah Turki Usmaniyyah bergabung dengan pihak Jerman dan Itali melawan gabungan negara Empayar Russia, Britain, Perancis dan Amerika.  Malangnya gabungan Turki-Jerman-Itali kalah.  Inilah punca paling besar kejatuhan Turki Usmaniyyah. Episod ini hampir tidak diketahui oleh kebanyakan muslim di Malaysia.

Apabila hendak mengaitkan gerakan Bani Saud dan Muhammad bin Abdul Wahhab sebagai faktor yang meruntuhkan Khilafah Turki Usmaniyyah, inilah faktanya.
1.  Gerakan Bani Saud-Muhammad Abdul Wahab di jazirah Arab (Arab Saudi) berlaku pada akhir kurun ke-18, sedangkan Perang Dunia Pertama pada awal abad ke-20.  Malah berakhirnya Turki Usmaniyyah pada tahun 1924.  Beda zaman itu kira-kira 100 tahun!

2.  Undang-undang Turki Usmaniyyah dan Daftar Perbendaharaan Negeri yang ditulis oleh Yamin Ali Afandi tahun 1609 masehi menyebut wilayah khilafah ini sejumlah 32 dan 14 daripadanya di wilayah Arab, tetapi Nejd tidak termasuk wilayah yang disebutkan. Lokasi Nejd pula berhampiran Teluk Parsi.

3.  Adakah Muhammad Abdul Wahab penentang Khilafah Islam? Ini sebagian perutusan beliau terhadap penduduk di al-Qassam di wilayah Arab,  “Aku meyakini bahawa mendengar serta mentaati pemerintah kaum Muslimin adalah wajib sama ada mereka itu pemerintah yang adil mahupun fasik selagi mana mereka tidak menganjurkan perkara maksiat terhadap Allah. Dan sesiapa yang dilantik menjadi Khalifah dengan persetujuan orang ramai dan mereka meredhai kepimpinannya atau dia bersama-sama dengan mereka menawan Khilafah lalu dilantik memimpin mereka maka ketaatan terhadapnya adalah wajib manakala menentangnya adalah haram.”
Sumber: Muallifat al-Syeikh bertajuk al-Rasail al-Syakhsiyyah yang disemak oleh al-Fauzan dan al-‘Aliqi, al-Riyadh, Jld. 5, hlm. 11. dalam buku Membersihkan Salah Faham Terhadap Dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab (Buku 1) Oleh Abdul Aziz bin Muhammad bin Ali al-Abd. al- Lathif.

Kesimpulannya, mengatakan gerakan dakwah sunah oleh Muhammad bin Abdul Wahhab sebagai faktor atau sebagian faktor keruntuhan Khilafah Turki Usmaniyyah adalah lucu dan lekeh sekali.  Saya hampir ketawa sebab yang menggunakan hujah ini orang yang dikatakan berlimu besar.  Dalam al-Quran ada ayat bermaksud, jika kita benci terhadap sesuatu pihak itu janganlah sampai tidak berlaku adil!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan