Pengikut

Ahad, April 05, 2009

APAKAH keraguan itu Islah (Bahagian 4)

Oleh: Saiful Islam

DALIL YANG MENGUNDANG KERAGUAN

Sekiranya kita masih mahu mencontohi Pencerahan Barat, maka kita perlu berhenti sejenak untuk merenung kesimpulan Eropah terhadap tradisi Pencerahan itu.

“REASON PROMOTES DOUBT”

Seruan kita kepada masyarakat agar mereka mencari sandaran hujah kepada setiap urusan agama, tidak pernah dinafikan keperluan dan kebaikannya. Tetapi ia haruslah bersesuaian dengan keupayaan masyarakat untuk mengatasi keraguan itu. Jika kita hanya rancak menggalakkan keraguan, ia akan mengundang keresahan (anxiety) masyarakat dalam beragama. Ironinya, Eropah juga mengalami era yang disebut sebagai the Era of Anxiety. Daripada usaha murni mahu membetulkan masyarakat, ada sesuatu yang tidak kena hingga umat Islam hari ini, ditimpa keresahan, the Era of Anxiety. Keresahan Sosial (Social Anxiety) itu adalah "an experience of fear, apprehension or worry regarding social situations and being evaluated by others". Maksudnya, "mengalami ketakutan, kekhuatiran atau kebimbangan berkaitan situasi masyarakat apabila sentiasa merasa dinilai oleh orang lain".

Sahihkah agamaku selama ini?

Bagi penuntut agama, yang dekat dengan ilmu sumber buku, internet medan debat, mungkin ada yang ketawa bila masyarakat bertanya begitu.

“Hah, memang patut pun begitu. Senang hati sahaja mereka selama ini. Tak peduli sama ada amalan itu sunnah ke bid’ah”, ulas seorang pendakwah di sebuah kampung.

Komen seperti itu sesuai untuk suasana persekitaran yang kaya ilmu dan maklumat. Tetapi untuk seorang pendakwah yang menjenguk kampung sebulan sekali dan kemudian melontarkan keraguan terhadap keberagamaan penduduk kampung itu, ia mengundang RESAH.

Mampukah pakcik-pakcik di kampung menelaah sendiri kitab Rijal untuk mengenal kredibiliti perawi hadith? Mudahkah untuk penduduk kampung memberhentikan bacaan Yasin pada waktu-waktu tertentu dan digantikan dengan surah yang lebih afdhal atau amalan yang lebih bersandaran?

Persoalan seperti ini tidak bermaksud menggesa pendakwah memberhentikan kerja Islah dan memurnikan keagamaan masyarakat. Tidak sama sekali. Tetapi ia lebih kepada menyeru pendakwah agar lebih bertanggungjawab terhadap dakwah mereka. Jangan hanya membuat persiapan ceramah pada tahap melontarkannya kepada ahli masjid. Tetapi perlu juga difikirkan sama, bagaimanakah kesan lontaran itu? Jangan pula kemungkaran yang mahu dihapus, menimbulkan kemungkaran dan mudarat yang lebih besar dan di luar kawalan (out of hand).

Saya berpendapat secara peribadi, gerakan Islah bermanhajkan apa yang disebut sebagai aliran Salafi di Malaysia ini, bergerak melebihi had laju yang mampu ditampung oleh sebahagian masyarakat kita. Sebahagian yang mampu itu mungkin berada di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Georgetown malah Kangar dan Seberang Jaya. Tetapi pendakwah perlu sedar bahawa ada sebahagian penduduk kampung seperti Kampung Changkat Larang, Kampung Tengah dan Kampung Teluk Sira yang keresahan. Pendakwah datang berkuliah sebulan sekali, meninggalkan penduduk kampung dalam keraguan terhadap keseluruhan agama mereka selama ini.

Di surau pakcik saya di Ipoh, orang-orang tua mengeluh, "kami pun dah pening kepala. Datang seorang ustaz, marah kami berqunut. Datang seorang ustaz yang lain, tegur kami sebab kami tak berqunut. Rasanya lebih baik kita batalkan sahaja aktiviti kuliah subuh sebab ada sahaja masalah yang timbul".

Inilah keresahan sosial yang saya maksudkan.

MEMATIKAN KESUNGGUHAN MENCEGAH MUNGKAR

Kita sukar untuk bertindak sepenuh hati terhadap perkara yang dijangkiti keraguan. Berbelah bagi... menyukarkan tindakan. Keraguan menghalang hidayah. Kerana itulah di dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa al-Quran ini hanya boleh menjadi petunjuk kepada ahli taqwa, jika al-Quran itu diterima tanpa ragu (Al-Baqarah: 2)

Al-Mutanabbi juga pernah berkata:

إذا كنت ذا رأي فكن ذا عزيمة
فإنَ فساد الرأي أن تترددا
“Jika kamu mahu menjadi seorang yang berpandangan, maka jadilah seorang yang berpendirian. Sesungguhnya kerosakan pandangan itu, adalah apabila kamu berbelah bagi”

Masyarakat hari ini berhadapan dengan pelbagai kemungkaran. Ada kemungkaran yang berlaku di kalangan orang ramai, banyak pula yang dipelopori oleh pemerintah dan penguasa. Cara hidup Islam semakin terperosok di dalam lipatan sejarah, dan generasi hari ini semakin memandang asing kepada Islam. Gejala murtad merebak seperti selsema dan batuk kering.

Untuk umat ini bangun dan berdepan dengan kemungkaran ini, mereka perlu kepada keyakinan yang tinggi terhadap garis pemisah di antara Islam dan Jahiliyah. Seumpama seorang yang sedang ghairah berceramah tentang hutang dan keburukannya, tiba-tiba dewan ceramahnya didatangi oleh pegawai bank tempat beliau sendiri berhutang. Tentu sahaja hilang yakin dan ceramah pun menurun kualiti dan keberkesanannya. Pejuang Islam mesti berani dan yakin dengan perjuangan Islamnya.

Tetapi kebelakangan ini, gerakan Islam menjadi salah satu subjek asakan gerakan Salafi. Asas perjuangan mereka dikritik, kefahaman mereka terhadap perjuangan dipersoalkan, kesahihan dakwah mereka dipertikaian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan