Pengikut

Rabu, Ogos 30, 2017

DARAH dan nyawa harga Malaysia merdeka!


TANGGAL 31 Ogos hari nasional Malaysia. 31 Ogos 2017 kali ke-60 tahun negara ini menjadi merdeka setelah 446 tahun dijajah beberapa negara asing. Bermula Portugal menjajah Melaka (1511), Belanda, Siam, Jepun dan British, berakhir pada 31 Ogos 1957.

Tahun ke-60 hari kemerdekaan, temanya "Negaraku Sehati Sejiwa" adalah milik semua warga negara 30 juta jiwa. 

Sejarahnya, kemerdekaan atas nama Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 11 buah negeri. 9 daripada 11 negeri adalah negeri Melayu yang berdaulatkan raja-raja Melayu. Sebab itu negara ini dinamakan Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 16 September 1963, negara berubah menjadi Persekutuan Malaysia yang mengandungi empat wilayah iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Tahun 1965, Singapura keluar daripada Malaysia, maka negara Malaysia sejak itu kekal berdiri dengan kekuatan tiga wilayah.

Malaysia sebuah negara besar di Asia Tenggara, tetapi dianggap negara muda jika dibanding dengan negara setaranya seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Myanmar, Vietnam, Kemboja dan Laos. Muda kerna lewat mencapai kemerdekaan dibanding dengan negara-negara berkenaan, malah Thailand tidak pernah terjajah. Lagi pula Thailand (dahulunya Siam) adalah penjajah di sebagian utara Tanah Melayu. Walhal negara yang dikatakan muda ini sedang menyediakan berjuta-juta pekerjaan kepada warga negara jiran-jiran!

Ada yang menyindir kemerdekaan Malaysia kurang bermakna disebabkan cara memperolehinya tidak melalui perang melawan penjajah. Adalah silap menganggap penduduk Malaysia tidak ada yang terbunuh dan bernasib malang sepanjang dijajah negara-negara asing. Mereka membanggakan Indonesia dengan Perang Revolusi melawan Belanda selepas penjajahan Jepun. 

Selepas kekalahan Melaka kepada Portugal, berkali-kali Sultan Mahmud memerangi Portugal bersama rakyat Melayu. Kemudian pada zaman Kesultanan Johor berapa banyak pula tentera Melayu Johor menyerang Melaka. Malah ketika Melaka dijajah Belanda, komander besar perang diketuai armada Johor dipimpin oleh Yam Tuan Raja Haji. Raja Haji (saudara Sultan Selangor pertama) terbunuh ketika berperang mahu mengusir Belanda dari Melaka.

Apabila British mengambil Pulau Pinang daripada Kedah (1786) tidak hentinya Sultan  Kedah termasuk tentera Melayu dari luar membantu Kedah. Malangnya semua perang kemerdekaan itu Kedah tewas. Berkali-kali pula Sultan dan komando Kedah berperang melawan Siam dan British sehingga Perlis dan Setul dikeluarkan dari Kedah (1842). Korban darah dan nyawa tidak terkira.

Membunuh Residen British di Perak (1875), Dato Maharaja Lela dan pengikutnya dibunuh British. Sultan Perak pula dibuang negeri.

Dato Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau mengetuai perang melawan British di Pahang. Berapa banyak Melayu terbunuh di sana. Tok Janggut menyerang polis British di Kelantan. Akibatnya Tok Janggut dibunuh dan mayatnya digantung di Kota Bharu. Perang melawan British di Terengganu tahun 1927 diketuai oleh Haji Abdul Rahman Limbong. Perang yang gagal, pemimpin Melayu dibuang negeri.

Mat Salleh dan Antanum mengetuai perang mengusir kompeni British di Sabah, akibatnya darah pahlawan tumpah di bumi Sabah. Rentap juga memimpin kaum Iban menyerang pasukan James Brooke, namun darah orang Iban yang banyak mengalir. Terakhir nyawa anak muda belasan tahun Rosli Dhobi melayang akibat membunuh Gabenor British Sarawak tahun 1949.

Tidak terkira penentang secara sendirian melawan penjajahan tentera Jepun (1942-45). Kemudian berperang melawan komunis yang disokong dan dibantu negara komunis China. Mempertahankan negara daripada pemberontakan komunis, wanita Melayu di desa-desa yang berkain batik menggalas senjata api mempertahankan kampung halaman.

Begitulah sebagian siri perang berdarah melawan penjajah di negara kita. Jangan fikir orang Malaysia pengecut dan hanya tunduk pada kejahatan penjajah dan ideologi mereka.

Rundingan di London tahun 1956 adalah kemuncak perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu. Indonesia yang berperang bertahun-tahun pun akhirnya ke meja rundingan. Jadi kemerdekaan tanah air pada tanggal 31 Ogos 1957 adalah harga diri bangsa yang mahal. 446 tahun berjuang dengan air mata, darah dan nyawa jangan sesekali digadai semula pertiwi ini. DIRGAHAYU MALAYSIA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan