Pengikut

Khamis, Mei 11, 2017

Al-QURAN mengurangkan kemalangan maut?

BERAPA kematian di jalan raya sehari? Rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tahun-tahun yang lepas ialah 18 orang mati segari atau kira-kira 7 ribu jiwa setahun. Semua yang mati kemalangan itu, tidak satu pun telah menduga kematiannya. 


Antara punca utama kemalangan maut ialah kenderaan dipandu melebihi had yang dibenarkan.  Semua jalan utama termasuk di kawasan perumahan telah ditandai had kelajuan kenderaan. Paling laju ialah 110km/jam di lebuh raya. Namun hampir semua kenderaan khasnya kereta dan motorsikal berkuasa tinggi dipandu melebihi had laju. Itulah antara sifat manusia di jalan raya.

Orang bertanya, jika al-Quran sebagai penawar, bagaimana kitab Allah itu bisa mengurangkan banyak kemalangan maut itu? Secara khusus tidak ada ayat-ayat al-Quran berkenaan cara memandu kenderaan. Namun ayat 59 surah an-Nisa menjelaskan, "Orang-orang beriman diseru taat kepada Allah, rasul dan pemerintah."  Sangat jelas ulama memberi maksud mentaati pemerintah ialah mematuhi seruan, peraturan atau undang-undang yang dikenakan kepada rakyat.  Setelah membuat kajian dan mesyuarat berkali-kali lengkaplah undang-undang jalan raya yang dinamakan Akta Pengangkutan Jalan 1987.  Antara kandungan akta itu ialah kepatuhan had laju di jalan.

Tidak ada perselisihan ulama bahawa mematuhi undang-undang jalan raya adalah wajib, bukan saja untuk keselamatan malah sebagai tanda orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya.  Oleh itu jika orang beramal ayat 59 surah an-Nisa itu, kenderaan besar atau kecil sentiasa dalam kelajuan yang dibenarkan oleh pemerintah, dan kesan besarnya ialah penurunan besar kes kemalangan dan kematian.

Tidakkah al-Quran sebagai jalan keluar masalah kemalangan buruk yg bertimpa-timpa setiap hari? Pokok utama ialah ketauhidan dan keimanan pengguna jalan raya terhadap seruan Allah dalam al-Quran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan