HADIS berkenaan dengan niat dalam amal
merupakan hadis pertama dalam himpunan Hadis 40 oleh Imam Nawawi. Sungguh, pengajarannya amat penting dalam
kehidupan beribadah kepada Allah kerna pemahamannya membawa arti sebenar sama
ada amalan itu kerna Allah atau selain-Nya.
foto hanya untuk hiasan
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar ibn al-Katthab
r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa
sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya
bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju
kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya.
Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau
kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah
perkara yang ditujuinya itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kemudian, tidak dapat disangkal lagi
bahwa pemikiran orang kita sudah sangat kepada politik kepartaian. Tidak mengira sama ada musim pilihan raya
atau tidak, ada sahaja pergerakan bersifat politik. Seakan-akan semua mahu dilihat untuk
mendapatkan keuntungan politik dan melemahkan politik lawannya. Sampai-sampai dipesankan kepada orang yang
bakal dicalonkan dalam pilihan raya agar sentiasa menyantuni masyarakat, tidak
lain agar dirinya dilihat dekat dan dikenali oleh ahli masyarakatnya. Di sinilah kita hendak memakai maksud hadis
bab niat itu.
Bayangkan saja, amal-amal salih yang
asalnya dilaksanakan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah sudah
diselewengkan untuk mendapat keuntungan politik pilihan raya. Banyak amal yang baik seperti hadir
kenduri-kendara, ziarah orang mati dan member sedekah yang diwar-warkan atau
digembar-gemburkan, tidak lain bertujuan untuk memberitahu umum bahawa si pulan
itu sangat prihatin kepada masyarakat.
Maka, diharap masyarakat akan memilih beliau sebagai Wakil Rakyat pada
masa depan!
Jadi, apakah bedanya dengan maksud
sabda nabi s.a.w. “Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya,
maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana
dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia
mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”
.......Barangsiapa yang memberi bantuan
kepada orang miskin semata-mata untuk memancing undi pilihan raya, maka itulah
yang diperoleh! Inilah perangkap syaitan
kepada para dermawan yang berdiri atas nama politik. Hubaya-hubaya!
Kata guru agama saya di sekolah dahulu
berkenaan bab keikhlasan. Maaf saya
catatkan agak kurang enak. Kata beliau, “ikhlas
ialah seperti kita membuang air besar, yang tidak lagi diingat-ingat atau
disebut-sebut pada masa lain. Diam dan
berahsia tapi telah berlaku.” Agak sukar
orang-orang politik melakukan amal kepada masyarakat tanpa mengharap satu
balasan sokongan dalam pemilihan jawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan