Pengikut

Selasa, Ogos 16, 2011

TAHNIAH Mismah sebagai ahli keluarga baru Malaysia


DI Pekan Pahang, saya mempunyai kenalan seorang Melayu kelahiran Kemboja yang pandai menjahit pakaian.  Isu kerakyatan Mismah yang lahir di Indonesia mengingatkan saya kepada lelaki Kemboja itu.  Dia bersama keluarganya terpaksa mengungsi ke Pahang sekitar tahun 1975, pada zaman kekejaman rejim komunis Khmer Rouge yang diketuai oleh Pol Pot.  Tidak pernah kembali ke Kemboja sehingga kini, dan telah menjalani ujian lisan dan bertulis Bahasa Melayu dalam proses menjadi warga negara, dia masih memegang status Pemastautin Tetap.

Mismah (tentu ada banyak lagi orang sepertinya) lahir di Indonesia dan memasuki Malaysia secara sah tahun 1982.  Sejak itu dia tidak pernah kembali ke tanah leluhurnya, dan akhirnya permohonannya menjadi rakyat Malaysia diluluskan.  Di mana-mana negara pun proses penerimaan warganegara baru tetap ada dan terus berlangsung.  Di sebalik itu, Malaysia juga telah menggugurkan beribu-ribu status kewarganegaraan rakyatnya kerana mereka memilih menjadi warga negara lain.

Sebagai orang Melayu, saya mengalu-alukan tindakan kerajaan Malaysia menerima Mismah menjadi sebagian keluarga rakyat Malaysia yang berjumlah 28 juta!  Mismah merupakan seorang Melayu yang lahir di daerah Melayu, Nusantara!  Dalam budaya Melayu, sepanjang ribuan tahun sejarahnya seluruh Nusantara adalah negara Melayu.  Telah silih berganti kerajaan-kerajaan yang mentadbir kepulauan Nusantara seperti Sriwijaya, Majapahit, Melaka, Acheh, Johor, Brunei, Sulu dan Pattani sehinggalah kerajaan-kerajaan Melayu moden seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei.  Bukan luar biasa bagi masyarakat Melayu seluruh Nusantara mempunyai sanak saudara di pelbagai daerah yang hari ini berada dalam wilayah Malaysia, Pattani (Thailand), Brunei, Indonesia dan Mindanao (Filipina).

Bagi negara Malaysia yang mempunyai hak untuk menerima atau menolak permohonan orang luar untuk menjadi rakyatnya, orang-orang Melayu tetap berharap agar mereka yang sebangsa Melayu dan seagama lebih diutamakan untuk diterima sebagai rakyat barunya.  Tidak ada kena-mengena dengan politik dalam negara antara orang Melayu dan bukan Melayu, penerimaan orang Melayu dari luar Malaysia sebagai rakyat Malaysia hanyalah proses teknikal mengekalkan kesuburan dan keharmonian satu bangsa Melayu se-Nusantara yang besar.

Selain itu, kesamaan budaya hidup di mana-mana juga bangsa Melayu Nusantara lebih memudahkan proses asimilasi ke dalam budaya Malaysia.  Mengapa hendak menolak manusia seperti Mismah, seorang muslimah yang menutup auratnya tanda mematuhi ajaran Islam.  Pada saat yang sama berapa banyak orang asing yang berada di Malaysia (yang perempuan) hanya memakai seluar pendek, bekerja sebagai GRO dan pelacur, tidak tahu bertutur bahasa Melayu dan jahil dalam budaya Malaysia.  Adakah orang seperti mereka akan diterima sebagai warga negara juga?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan