Pengikut

Sabtu, Mei 01, 2010

DONGENG tasauf mendewakan raja

BUYA Hamka, ilmuan Nusantara telah mendedahkan mengenai ‘Dongeng Kaum Tasawuf mendewakan raja (sebanyak Sembilan siri) dalam bukunya, Dari Perbendaharaan Lama (Jakarta, 1982). Hamka telah mendedahkan pengaruh kitab Al Insan Al Kamil karya Syeikh Abdulkarim Jilani (mati 1410M) dalam penulisan salasilah raja-raja Nusantara: Melaka, Bugis, Minangkabau dan Maluku. Hamka secara tegas mengatakan bahawa penulis buku Sejarah Melayu (Sulatus Salatin), Tuhfat al-Nafiz (Taman Raja-raja), Cindur Mato (Minangkabau) dan Sejarah (Tidore, Ternate, Bacan dan Jailolo) sengaja memasukkan cerita-cerita dalam kitab Al Insan Al Kamil untuk mendewa-dewakan raja.
Semua karya salasilah raja-raja Melayu Nusantara direka untuk membina kesucian peribadi raja. Tujuannya supaya rakyat sangat patuh kerana raja-raja mereka yang ‘sangat bertuah’. Keturunan mereka daripada raja besar seperti Raja Iskandar Zulkarnain, Nabi Sulaiman, Raja Suran, disabitkan pula dengan Nabi Khidir. Ada pula nenek moyang raja Melayu yang hidup dalam alam luar biasa seperti dalam laut dan kayangan di angkasa sana! Hamka mendedahkan bahawa penulis sejarah itu menggunakan ajaran tasauf yang jauh terpesong daripada ajaran Islam.
Dalam Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang, karya yang menceritakan pemerintahan raja-raja Melayu di Melaka. Supaya rakyat taat tanpa berbelah bagi kepada raja Melaka, dikisahkan nenek moyang baginda raja-raja Melaka berasal daripada Raja Iskandar Zulkarnain, raja besar dari Mekadonia. Raja Iskandar berkahwin dengan anak Raja Hindi (India) dan mendapat anak lelaki bernama Aristun Syah. Daripada keturunan Aristun Syah ini muncul Raja Suran yang masuk dalam laut, berkahwin dengan puteri dalam laut. Kemudian anak-anak lelaki Raja Suran di dalam laut turun di Gunung Mahameru Bukit Seguntang di Palembang. Kemunculan anak-anak raja ini ditandai dengan bertukarnya sawah padi menjadi emas dan perak! Daripada salah seorang anak raja itu, Bicitram Syah yang digelar Sang Sapurba. Daripada Sang Sapurba itulah lahir raja-raja Melaka!
Hamka tidak berselindung mendedahkan bahawa kitab tasauf Insan Kamil karangan Sheikh Abdulkarim Jilani menjadi panduan pengarang mendewa-dewakan raja. Dalam kitab itu, Syeikh Abdulkarim Jilani mengatakan setiap tujuh bumi ada kehidupan masyarakat dan di dasar lautan pun ada masyarakatnya. Maka pengarang pun berdongeng bahawa Raja Suran masuk ke laut dan berkahwin di sana sehingga mendapat tiga anak lelaki.
Dalam kalangan ahli tasauf (sufi) nama Nabi Khidir sangat popular. Oleh itu dikatakan pula yang menikahkan Raja Iskandar Zulkarnaen dengan puteri Raja Kida Hindi ialah Nabi Khidir, walhal nama Nabi Khidir tidak ada pun dalam al-Quran.
Dalam sejarah raja-raja Minangkabau pula digambarkan raja yang awal bukan bagai manusia (adalah berdiri sendirinya, sama tajalli dengan alam). Gambaran raja bagai Tuhan ini diambil daripada teks Al Insan al Kamil. Konsep Insan Kamil ajaran kaum tasauf ialah: Insan Kamil adalah khalifah daripada Allah. Padanyalah tajalli ketuhanan. Dan di setiap zaman ada saja insan tempat Allah mentajalli dirinya (ms 232).
Pengkritik sastera mengatakan pengarang salasilah sengaja membuat cerita dongeng untuk membentuk ‘kebesaran raja’ supaya raja (walaupun fizikalnya manusia) ditaati rakyat tanpa soal jawab. Dalam budaya Melayu: Pantang Melayu derhaka kepada rajanya. Lihat dalam Sejarah Melayu digambarkan Bendahara Seri Maharaja menerima saja hukuman mati walaupun sedar dirinya terfitnah.
Mesej Hamka jelas, kaum tasauf yang dikatakan golongan paling awal menyebarkan Islam di Nusantara telah membentuk persepsi yang salah terhadap raja atau sultan. Oleh kerana sumbernya daripada kitab ‘agama tasauf’ maka rakyat pun menerima dengan ‘benar’ cerita-cerita kehebatan asal keturunan raja mereka. Maka patut benar: Pantang Melayu derhaka. Lihat hikayat Laksamana Bentan, apabila raja dibunuh oleh pembesarnya sendiri, maka sumpahannya dikatakan benar walaupun tidak saintifik langsung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan